April 16, 2018

PERTEMUAN DENGAN PAID HARAPAN MENGGUNAKAN MASJID



BBB, 28 Rejab 1439H. = 15 April 2018M. (Ahad):
Pertemuan adalah dengan hasrat untuk menggunakan Masjid Al-Umm dengan kadar segera  selepas tiga tahun pembinaan. Menyedari tugas ahli jawatankuasa selama ini adalah membina masjid (Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm), maka disedari, jika tiba tempoh penggunaan masjid, maka fungsi pembinaan akan berakhir dan sebelum berlakunya penyerahan bangunan kepada pihak JAIS dan diadakan pemilihan Jawatankuasa Pentadbiran dan pengimarahan, maka sebagai persediaan ke arah pengimarahan, maka Ahli Jawatankuasa Pembangunan  mulai dari bulan Muharram 1437H = November 2015M.  maka pihak Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al-Umm dikenali sebagai Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm, bahkan bengkel bagi pengisian pengimarahan telah diadakan sejak 26 Zulkaedah 1435H. = 21 September 2014 dan diikuti  bengkel kedua pada 3 Rabi`ul-Akhir 1436 bersamaan 24 Januari 2015. Bahkan pemilihan imam dan pegawai-pegawai masjid telah dibuat sebagai persediaan.
Pertemuan dengan Pentadbir PAID diatur bagi membincangkan persediaan ke arah mengimarahkan masjid Al-Umm. Temu janji telah dibuat ialah pada 16 Rabi`ul-Awwal 1438H. bersamaan 16 Disember 2016. Pada pertemuan  tersebut Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan di ketuai Dr. Shafie Abu Bakar, sebagai Pengerusi,  Ir. Haji Ishak bin Arshad Timbalan Pengerusi, Bendahari Tuan Haji Muhammad Nor bin Yasin, Setiausaha Tuan Haji Suib Maulud dan Ahli-ahli Jawatankuasa menemui Tuan Pegawai Tadbir Pejabat Agama Daerah Hulu Langat, Tuan Haji Hanifuddin bin Haji Roslan dan Ketua Bahagian Masjid Ustaz Nazri.
Dalam pertemuan itu pihak Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid memaklumkan kepada pihak PAID bahawa sehingga ke hari pertemuan itu (16.12.2016) usia pembinaan fizikal Masjid Al-Umm adalah sudah tiga tahum  (mulai dibina 10.12.2013). Kos yang dijangka adalah sebanyak RM20 juta dengan RM4 juta dari Kerajaan Negeri Selangor, manakala dari Zakat Selangor adalah sebanyak RM1.8 juta. Hingga kini pembinaan sudah 98%, yang dengan persiapan ini sepatutnya Masjid Al-Umm sudah wajar dapat digunakan.
Antara perkara yang dimaklumkan kapada PAID, bahawa pihak Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm telah berbincang dengan pihak Masjid Al-Hasanah dan bersetuju agar hanya 15 buah surau berdekatan dengan Masjid Al-Umm saja berada di bawah Masjid Al-Umm sebagaimana yang telah dibicarakan. Walau bagaimana pihak PAID tidaklah terikat dengan apa yang diputuskan antara Masjid Al-Umm dengan Masjid Al-Hasanah, lagi pula Masjid Al-Umm belum berfungsi sebagai sebuah masjid. Penentuan akhir akan dibuat oleh Paid APABILA Masjid Al-Umm berfungsi sebagai masjid sepenuhnya.
Antara perkara yang dibincangkan ialah  status Ahli Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm apabila sudah siap kelak. Pada dasarnya bila pembangunan telah siap dan penyerahan di buat terhadap JAIS, maka Jawatankuasa Pembinaan akan terbubar dengan sendiri. Tetapi menurut Tuan Haji Hanifuddin dari segi kebiasaan, mereka ini dibenarkan meneruskan pentadbiran dan bila masjid sudah dibenarkan beroperasi, maka sebuah ahli jawatankuasa sementara akan dilantik meneruskan pentadbiran sehingga tiba proses pemilihan pegawai-pegawai masjid diadakan setiap tiga tahun sekali itu. Tuan Hanifuddin diberitahu, bahawa Jawatankuasa sekarang dikenali dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm sebagai persediaan bagi melaksanakan tugas pengimarahan secara sementara.
Antara tujuan utama kunjungan pada hari ini ialah bagi membincangkan kemungkinan dengan pembinaan Masjid Al-Umm sebanyak 98% siap, maka adalah dipohon dari pihak PAID kebenaran menggunakan Masjid Al-Umm secara terhad. Walau bagaimana apabila perkara ini dikemukakan Tuan Hanifuddin nampaknya beliau dengan tegas menjawab.
``Untuk menggunakan Masjid Al-Umm hendaklah sesudah mendapat CPC dan CCC, seterusnya perlu mendaftar kepada JAIS dan mendapat kelulusan dan keizinan.``
Beliau nampaknya memberi jawapan yang tegas dan tidak ada ruang untuk dibincangkan kemungkinan penggunaan Masjid lebih  awal. Pemergian nampaknya tidak mencapai hasrat diharapkan dan Jawatankuasa Pembinaan dan Pengimarahan, terpaksa pulang dan menunggu tarikh yang belum ada ketentuan.
Sekian.

No comments:

Post a Comment