April 20, 2018

MENCARI KEPASTIAN TENTANG PERASMIAN MASJID AL-UMM OLEH TUANKU SULTAN



BBB, 03 Sha`ban 1439H. = 19 April 2018M. (Khamis):
Berita tentang Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Sultan Negeri Selangor akan turun ke masjid-masjid pada bulan Ramadhan 1438H. termasuk ke Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi dan merasmikannya, makin jelas. Misalnya pada 19.1.2017 Penulis diberitahu oleh saudara Shahrom bin Abdullah Setiausaha ADUN Bangi yang juga Setiausaha bagi Penulis semasa menjadi ADUN Bangi (2008-2013), bahawa semasa beliau menghadiri Mesyuarat Tindakan Daerah, di Pejabat Daerah Hulu Langat, Bangi mewakili ADUN pada hari itu, bahawa antara perkara yang dibincangkan, ialah mengenai Perasmian Masjid Al-Umm. Bagi mendapat kepastian secara lebih jelas, maka pada Isnin  23 Januari 2017 Penulis ke Pejabat Daerah Hulu Langat bagi mendapat kepastian berita tentang Tuanku Sultan akan merasmikan Masjid Al-Umm. Bila menemui Setiausaha bagi Pegawai Daerah (Dato` Zulkafli), Penulis diminta menemui  Timbalan Pegawai Daerah yang menguruskan perkara yang berhubung dengan Masjid dan surau. Penulis menemui En. Mohd. Raiz bin Razman Timbalan Pegawai Daerah Hulu Langat berkenaan dan Penulis diminta terus ke bilik pejabatnya. Penulis tidak menyangka pemergian untuk mendapat kepastian itu terus dibawa berunding di biliknya.
Tarikh perasmian Masjid pada awalnya ialah pada Juma`at 31 Mac 2017 bersamaan 03 Rejab 1438 dan mungkin tarikh menerima perubahan. Pada pagi itu Penulis dengan En. Raiz  terus berbincang mengenai, antaranya aspek-aspek protokol.
·         Bilik Diraja dan kelengkapan yang seharusnya ada di dalamnya
·         Protokol dari segi pakaian kami dan warna-warna dilarang
·         Ketika solat Juma`at, Tuanku di belakang Imam. Hendaklah disediakan tiga ruang sejadah
·         Masa perasmian, meja Tuanku hendaklah mengadap ke masjid. Bersama Tuanku ialah Dato` Menteri Besar
·         Di sebelah kiri meja untuk cenderahati
·         Di belakang Tuanku ialah meja pegawai-pegawai kerajaan – Termasuk Pegawai Daerah
·         Sebelah kanan meja kerusi penerima bantuan – faqir miskin
·         Di belakang bagi meja cenderahati ialah khemah hadiah
·         Persediaan juga dibuat sekiranya  hadir sama Raja Muda Selangor dan Tengku Laksemana.
Kami berdua juga terus membincangkan mengenai aturcara. Antaranya:
·         MC/Juruacara seharusnya dari JAIS
·         Tiada ucapan dari pegawai atau jawatankuasa masjid
·         Tuanku akan bertitah merasmikan masjid secara ringkas
·         Masjid mungkin dinamakan, oleh itu perlu tutup jika ada nama dan logo
·         Hadiah, persembahan atau cenderahati, contoh Qur`an, buku, keris, baju melayu dalam kotak bercermin dan dapat dilihat dan sebagainya yang bersesuaian dengan suasana dan budaya setempat.
·         Pemasangan bendera terdiri dari bendera Tuanku, negeri dan persekutuan.
Persediaan Buku Cenderamata/program:
Disediakan oleh pihak PAID.  Pejabat Daerah memberi maklumat. Ada sedikit latar belakang masjid, tetapi secara ringkas.
Nasihat:
·         Jangan sebut atau buat tuntutan tambahan RM2 juta (tambahan bagi RM4 juta) yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri
·         Berusaha bagi mendapat kelulusan segera bagi menggunakan Masjid Al-Umm
·         Perlu adakan mesyuarat secara segera bagi membincangkan pembahagian tugas dan kewangan. (Pihak PAID disediakan peruntukan RM150 ribu bagi pengubahsuaian dan kelengkapan bilik VVIP).
Dengan  pertemuan ini, nampaknya semacam sudah pastilah jangkaan pembukaan Masjid Al-Umm akan berlaku. Penulis pulang ke Pejabat bagi memaklumkan `Rancangan Pembukaan` ini kepada Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm. Tugas utama dan penting ialah membuat persediaan dari sekarang.
Sekian.

No comments:

Post a Comment