April 2, 2018

JAIS MAU AMBILALIH PEMBINAAN MASJID AL-UMM ?



BBB, 14 Rajab  1439H. =  01 April 2018M. (Ahad):
Tidak mudah membina sebuah masjid yang meningkat perbelanjaannya sekali ganda dari peruntukan asalnya (2010) sebanyak RM10 juta hingga ke September 2015 meningkat kepada RM20 juta. Dengan keadaan kewangan meruncing, maka satu-satunya harapan ialah pihak kerajaan Negeri Selangor  diharap dapat menunaikan janji untuk memberi RM6 juta yang dijangka dapat menyelesaikan kekurangan kewangan dan dapat melicinkan pengurusan.
Dari desakan Ahli Jawatankuasa Pembangunan terhadap Kerajaan Negeri yang melibatkan pihak-pihak yang lain, termasuk JAIS dan JKR, sebagai akibatnya beberapa pihak dari Kerajaan Negeri turun padang mau melihat perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm. Maka pada 29 September  2015 (Selasa) 10.00 pagi Lawatan Tapak dilakukan oleh beberapa jabatan, iaitu oleh:
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diketuai En. Mohd. Azam bin `Azmi Penolong Pengarah Unit Pembangunan JAIS. Turut disertai:
Ketua Penolong Pembangunan JKR,
Jurutera Daerah, Hulu Langat dan pihak PAID Hulu Langat. Turut hadir Jawatankuasa, khususnya Teknikal selain dari Penulis ialah Ir. Tuan Haji Ishak Arshad, Ir. Tuan Haji Ghazali Husein, Tuan Haji Mohd. Nor Yasin, Tuan Haji Abdul Rahman Daud, Tuan Haji Suib bin Maulud dan Nik Mohammad Adham bin Nik Anuar.
Perlu diingat bahawa Masjid keseluruhannya dari tapak, bangunan dan operasi adalah terletak di bawah kuasa mutlak JAIS-MAIS. Pihak Jawatankuasa sebenarnya bertaraf mengusahakan pembinaan dengan persetujuan JAIS-MAIS yang apabila siap hendaklah diserahkan kepada  JAIS-MAIS. Terpulang kepada budi bicara JAIS-MAIS dari segi pengurusan dan pentadbiran yang antara mekanismenya memberi hak bagi ahli kariah melantik Jawatankuasa Pentadbiran dan Pengimarahan. Namun kuasa mutlak terpulang kepada JAIS-MAIS untuk bersetuju atau sebaliknya.
Demikianlah kehadiran beberapa agensi terutama JAIS, memberitahu, tujuan kehadiran mereka bagi melihat kemajuan pembinaan bagi membolehkan JAIS mengambilalih projek tertakluk kepada syarat-syarat oleh pegawai Kerajaan Negeri. Adalah dikatakan bahawa Pegawai Kerajaan Negeri bersetuju JAIS ambilalih menurut kaedah `BQ & Built`.
Walau apa pun keputusan, kerana kuasa pada JAIS-MAIS,  Ahli Jawatankuasa seharusnya patuh. Namun jika demikian Ahli Jawatankuasa meminta agar perlantikan segera dilakukan, kerana tempoh perlu berurusan dengan kontrektor hanya di dalam 3 bulan sahaja.
Namun menurut procedure Kerajaan Negeri, peruntukan dijangka RM5 juta tidak akan disalurkan kepada Ahli Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm, tetapi akan berurus dengan pihak yang dilantik mengendali dan meneruskan projek
Sesungguhnya dalam hati kecil kami terasa tergores, jika cadangan berkenaan terlaksana, segala kerja yang kami lakukan sejak 2010 berakhir begitu sahaja !
Sesungguhnya hingga ke masa tersebut kerja-kerja jika menurut jadual adalah  89.30 %
Kerja sebenar yang dilakukan ialah                                                                                85.71 %
Kelewatan dan kegendalaan ialah                                                                                    3.59 %
Azam kami betapa kesukaran yang dihadapi, kami akan teruskan projek pembinaan hingga sempurna – Insya Allah.
Keputusan yang ditentukan oleh pihak  Yang Berkuasa di atas belum muktamad. Walau  apa pun kami mendoakan kebaikan untuk masjid.
Sekian.

No comments:

Post a Comment