March 6, 2018

MENDEPANI CABARAN DAN MENGATASI PERMASALAHAN



BBB, 17 Rabi`ul-Akhir 1439H. = 05 Mac 2018M. (Isnin):
Bagi mengatasi permasalahan yang mendepani pembinaan Masjid Al-Falah (Baru) Sungai Ramal Dalam, Kajang beberapa pendekatan yang diambil.
a)      Mengatasi ruang tapak
Sebagaimana Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi menghadapi masalah tapak yang amat terhad keluasannya, iaitu dua ekar, masalah yang sama dihadapi Masjid Al-Falah Sungai Ramal, iaitu luas tanahnya juga dua ekar. Masjid memerlukan ruang yang luas bagi memuatkan  jama`ah yang ramai, Masjid Al-Umm membina bangunannya dengan tiga tingkat, maka demikianlah Masjid Al-Falah, Sungai Ramal Dalam juga membina masjid dengan tiga tingkat sehingga dijangka dapat menampung jama`ah seramai tujuh ribu orang ! Sebagaimana Masjid Al-Umm tidak perlu membayar kos tapak, kerana ianya disediakan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor, maka demikianlah dengan Masjid Al-Falah tidak  perlu mengeluarkan peruntukan, kerana telah mempunyai tanah waqaf untuk Masjid Al-Falah.
b)      Mengurangkan Kos
Pada kebiasaan untuk pembinaan sesuatu binaan yang tinggi harganya dan untuk mengurangkan risiko kegagalan ialah menggunakan arkitek dan kontrektor berkelayakan di samping itu juga menggunakan consultant-consultant yang berkelayakan. Di dalam hal ini didapati kalangan Ahli Jawartankuasa Pembinaan terdapat antara mereka yang berkemahiran dari segi kontrak lantaran itu kita dapati bahawa:
Pemilik Bangunan: Jabatan Agama Islam Selangor
Kontrektor:  Masjid Al-Falah (Baru).
Consultant:  ARM Consultants Engineering Sdn. Bhd.
Piling Contractor:  SNS Piling & Construction.
Turut dilantik ialah sub Kontrektor bagi ukur bahan, mekanikal dan elektrikal. Ianya dilakukan oleh pihak masjid. Ini bererti kontrektor utama adalah pihak masjid sendiri, manakala dari segi consultant engineering dari pihak luar dan begitu juga dari segi piling, elektikal-mekanikal dan ukur bahan. Ini bererti pengawalan yang lebih adalah pada pihak  masjid. Ini juga bererti lebih menjimatkan.
Upacara rasmi bagi `Pecah Tanah Masjid Al-Falah` telah dilakukan oleh YDH Dato` Orang Kaya To` Engku Maha Bijaya Hulu Langat, Tuan `Abdul Jalil bin Dato` Abd  Rani pada 6 Ogos 2016. Masjid dianggarkan siap pada akhir 2018.
c)       Kewangan
Adalah keperluan dan syarat penting bagi pembinaan masjid. Bagi mendapat sumber kewangan bahawa pihak Jawatankuasa Pembinaan tidak mendapat sumber atau bantuan dari pihak Negeri  dan tidak juga dari pihak JAIS (difahamkan hanya sejumlah RM20,000 sahaja didapati) . Bagi menjana kewangan ialah dengan mewujudkan Saham Wakaf bagi Masjid Al-Falah. Kaedah yang digunakan ialah dengan menawarkan kepada orang ramai saham wakaf seharga sebanyak RM150.00 bagi satu kaki persegi. Motto yang digunakan ialah `Waqaf Membangunkan Ummah`.  Pihak AJK juga mengadakan Tabung Khas Pembinaan Masjid Al-Falah, di samping wujudnya Tabung Am (termasuk bagi operasi biasa bagi Masjid Al-Falah - Lama).Pihak AJK juga mendapat pengecualian cukai pendapatan bagi sesiapa yang berwaqaf.
Untuk berwaqaf perlulah mengikut procedure, antaranya hendaklah menggunakan borang khas yang disediakan. Minimum untuk berwaqaf ialah RM150.00 dan tiada had maksimum. Pewaqaf boleh juga mewaqaf menerusi beberapa bank yang dibuka akaun padanya iaitu Affin Bank, Mu`amalat dan CIMB. Matlamat  bagi dana masjid Al-Falah adalah mendapat dana sebanyak RM14 juta dan difahamkan setakat pembinaan yang dilakukan ialah sejumlah RM5  juta dan difahamkan pihak Jawatankuasa pembinaan berusaha untuk mengurangkan kos pembinaan kepada ke bawah daripada RM14 juta.
Bagi mempastikan pembinaan Masjid Al-Falah berjalan dengan betul selain dari wujudnya Pengerusi (Dato` Haji Maulud bin A.Wahid), Timbalan Pengerusi (Hj. Ismail bin Basir), Bendahari (Hj. Ruslan bin Zainudin) terdapat satu jawatan Pemantau Pembangunan iaitu (En. Mohd. Nasir  Mohd. Noor). Kita percaya hasrat mendirikan Masjid Al-Falah secara sempurna  dengan kos minimum, insya Allah akan tercapai. Insya Allah.
Sekian.

No comments:

Post a Comment