October 9, 2017

BEBERAPA PERSOALAN HAL


BBB, 18 Muharram 1439H. = 08 Oktober 2017M. (Ahad):
Dalam membicarakan tentang hal ini, Al-Hujwiri, mengaitkan dengan pendapat Harith al-Muhasibi yang agak bercanggah dengan pendapat ramai yang mengatakan bahawa hal yang antara cirinya berubah boleh bertukar kepada tetap. Misalnya menurut Harith al-Muhasibi `cinta dan rindu`. Demikian dengan maqam redha boleh betukar kepada hal. Namun pendapat ini tidak disetujui ramai.
Sebagaimana telah disebut bahawa, hal ialah apa yang menapak di hati atau yang diterima hati daripada  kebersihan ingatan. Dan sebagaimana telah dikatakan oleh Al-Junayd:
Bahawa hal, ialah sesuatu yang turun bertapak di hati, tetap[i tidak kekal. Dan dikatakan juga,` `hal ialah ingatan yang tersembunyi.``, lantaran Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud:
``Sebaik dzikr ialah secara senyap.``
Dihikayatkan daripada Abi Sulaiman al-Darani, r.a. bahawa dia berkata,
``Apabila berlaku mu`amalah di hati, nescaya rehatlah anggota.``
Apa yang dikatakan oleh Abu Sulaiman ini boleh membawa dua makna.
Pertama,  dimaksud demikian, rehat anggota daripada mujahadah dan kesusahan daripada amalan. Apabila dia bekerja terpelihara hatinya dan menjaga rahsianya daripada lintasan yang mengganggu dan halangan-halangan yang keji yang mengganggu hatinya daripada mengingati Allah.
Boleh juga bermaksud (kedua), ianya membolehkan mujahadah, amalan dan ibadat, maka jadilah hatinya berlazat, mendapat kemanisan dan hilang daripadanya kepenatan dan kesakitan yang wujud sebelumnya.
Sebagaimana kata Al-Junayd r.a.,
``Tidak sampai kepada menjaga hak-hak, melainkan dengan menjaga hati dan siapa yang tidak ada baginya rahsia (sirr)  maka dia  berterusan dan tidak bersih untuk kebaikan.
Antara aspek hal ialah:
a)      Muraqabah
Bermaksud memberi perhatian, mengetahui dan meyakini bahawa Allah itu melihat apa yang di dalam hati dan hati kecil (dhamir) hamba, maka dia memberi perhatian dari berlakunya lintasan-lintasan yang keji yang mengganggu dari mengingati Ilahi.
Firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dan Allah memerhati terhadap setiap sesuatu.`` (Al-Ahzab: 52)
Demikian dengan sabda Nabi s.a.w. bermaksud:
``Sembahlah Allah seolah-olah engkau melihatNya maka jika engkau tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihat engkau.`` (Riwayat Al-Bukhari). Selepas muraqabah ialah:
b)       Al-Qurb (Dekat):
Hal Qurb, bahawa hamba menyaksi dengan hatinya kedekatan Allah dengannya, maka dia mendekati kepada Allah Ta`ala dengan ketaatannya dan segala himmahnya mendepani Allah Ta`ala dengan berterusan dzikirnya.
Firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Dan apabila memohon kepada Engkau oleh hambaku, maka sesungguhnya Dia dekat.`` (Al-Baqarah: 186).
Orang yang dekat kepada Allah itu tiga hal:
Pertama, pendekatan ialah secara taat lantaran diketahui dekatnya Allah dengan ilmu dan qudratNya.
Kedua, orang yang bersifat tahqiq sebagaimana kata `Amir bin `Abd al-Qays, ``Aku tidak memerhati terhadap sesuatu, melainkan aku melihat Allah lebih dekat kepada aku.
Ketiga ialah hal orang-orang yang besar dan pada peringkat nihayah. Tentang hal ini kata Abu Ya`qub al-Susi r.a.:
``Berterusan hamba mendekati Allah yang tidaklah kedekatan sehingga ghaib daripada dekat kepada dekat.``
Dan daripada dekat membawa kepada:
c)       Hal Mahabbah
Hal mahabbah bagi hamba, bahawa dia melihat dengan matanya dengan apa yang diberi nikmat oleh Allah kepadanya dan dia melihat dengan mata hatinya akan kedekatan Allah Ta`ala kepadanya, inayah, hidayah dan menjaganya yang menyuburkan mahabbah dariNya dan kepadaNya.
Kata Sahl, Mahabbah ialah muwafakat hati dengan Allah dan melazimkannya dan mengikut Rasulullah s.a.w.  Hingga mencetuskan rasa manis dalam beribadat kepada Allah.
Firman Allah bermaksud:
``Maka Allah akan mendatangkan kepada kaum yang Dia menyukai mereka dan mereka itu menyukaiNya.`` (Al-Ma`idah: 54).
Ahlu al-mahabbah di atas tiga hal:
Pertama:: Mahabbah am, iaitu hasil daripada ihsan Allah dan kelembutanNya kepada  mereka itu.
Kedua: Hasil dari melihat dengan hati akan kekayaan Allah, JalalNya, Kebesaran, Ilmu dan Qudrat. Ia adalah mahabbah al-siddiqin dan mutahaqqiqin.
Ketiga:  Mahabbah siddiqin dan `arifin. Terhasil daripada melihat dan ma`rifat mereka akan qadim kasih Allah Ta`ala tanpa `illah, maka demikianlah mereka mengasihiNya tanpa `illah.
Kata Dzu al-Nun al-Misri, Mahabbah ialah secara bersih dan tidak ada kekeruhan padanya.
Bersambung.

Sekian.

No comments:

Post a Comment