August 4, 2017

SULAIMAN AL-DARANI : UNGKAPAN BERNAS DARINYA


BBB, 10 Dzul Kaedah 1438H. = 03 Ogos 2017M. (Khamis):
Nama penuhnya ialah Abu Sulaiman `Abd al-Rahman bin  `At*iyyah al-Darani (m. 215H.). Gelaran al-Darani, kerana ia tinggal di perkampungan Darayya salah sebuah perkampungan di Damshiq. Dia adalah sufi yang dihormati dan dipanggil penyedap qalbu, kerana pendapat-pendapatnya yang menyenangkan. Terkenal kerana zuhudnya dan peniadaan terhadap nafsu. Dia dikatakan alim di dalam ilmu yang berhubung dengan waktu. Begtu juga dia alim berhubung dengan penyakit-penyakit jiwa. Dia berbicara dengan menggunakan istilah-istilah yang  tinggi dan membicarakan tentang praktik-praktik ibadat.
Menurut Sulaiman al-Darani, ``Kita perlu menguasai hati dan anggota badan. Contoh kita perlu menguasai rasa takut, kerana dengan takut hilang pertimbangan. Dengan takut waktu menjadi pendek, lantaran di bawah tekanan. Sepatutnya dengan jaga waktu melastarikan hal. Dan jaga waktu, tidak menjadikan sesuatu sia-sia atau terkeluar dari garisan yang diaturkan.
Waktu adalah tawaran yang fleksibal yang boleh seseorang merancang, mengatur menurut waktu yang diberi atau diperuntukkan masa yang sesuai untuk diatur dan dipenuhkan
Waktu boleh juga disifatkan tawaran bagi manusia membuat perancangan dan jadual yang harus diikuti, tetapi kebiasaan manusia kalah dari mematuhi dan mengalami akibat. Lantaran firman Allah mengingatkan. Ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Demi masa,
Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.
Kecuali orang-orang beriman dan beramal salih. Dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran, serta berpesan-pesan dengan sabar.``(Al-`As*r: 1-3).
Sulaiman al-Darani adalah periwayat yang mempunyai sanad Hadith:
Mengkhabarkan kami oleh `Abdul Rahman bin `Ali al-Bazzar al-Hafiz* di Baghdad, katanya bercakap kepada kami Muhammad ibn `Umar al-Fadhl berkata, bercakap kepada kami `Ali bin `Isa, berkata, bercakap kepada kami Ahmad bin Abi al-Hawari, bercakap kepada kami  Abu Sulaiman al-Darani, bercakap kepada kami `Ali bin al-Hasan bin Abi al-Rabi` al-Zahid, daripada Ibrahim bin Adham, daripada Muhammad bin`Ajalan menyebut daripada ayahnya, daripada Abi Hurairah berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Siapa yang tawadhu` kepada Allah Dia mengangkatnya.``
Antara pendapat Sulaiman al-Darani, antaranya kata Ahmad bin Abi al-Hawari, aku mendengar  Aba Sulaiman al-Darani berkata,
``Apabila mengalahkan raja` (harapan) ke atas khauf (ketakutan), maka rosaklah waktu.``
Sebagaimana dikatakan oleh Al-Darani, ketakutan membuat orang di dalam keadaan tertekan dan hilang pertimbangan, di dalam keadaan sedemikian perkiraan waktu tidak kagi normal, mungkin terasa begitu lambat berlalu atau sebaliknya. Dengan raja` yang kuat dapat mengatasi yang abnormal kepada normal. Dia seolah-olah merosakkan permainan waktu.
Abu Sulaiman berkata secara tamsil, Semoga hatiku di dalam hati-hati seperti baju di dalam baju.`` bermaksud menutup dari keaiban.
Katanya, ``Siapa yang menghela dunia, maka dunia menghelanya.``
Berkata Ahmad bin Abi al-Hawari, aku mendengar Aba Sulaiman al-Darani berkata,
``Siapa yang elok pada siangnya, maka disempurnakan juga pada malamnya, siapa yang elok pada  malamnya disempurnakan juga pada siangnya, siapa yang benar meninggalkan sifat nafsu, Allah menghilangkannya daripada hatinya dan Allah memuliakannya daripada meninggalkannya  dari hatinya.``
Kata Sulaiman al-Darini lagi, ``Apabila dunia tenang di hati, maka dia membawa ketenagngan di akhirat.``
Katanya lagi, ``Apabila warid (yang datang) itu benar,, dia membenarkan apa yang ada di dalam hati dan bersamaan dengan apa yang dicakapkan.``
Berkata Ahmad bin al-Hawari, berkata Sulaiman al-Darani,
``Tiap-tiap amal yang tidak ada pahala di dunia, tiada baginya balasan di akhirat.``
Berkata Sulaiman al-Darani, ``akhir langkah orang zahid adalah awal langkah orang bertawakkal.``
Kata Sulaiman al-Darani lagi,  ``Tiap-tiap satu ada hiasan dan hiasan benar ialah khusyu`.``
Katanya lagi, ``Ajarlah diri dengan redha dengan ketentuan qadar, dia adalah ni`mat yang mencapai darjat ma`rifat.``
Kata Abu Sulaiman al-Darani lagi, ``Apabila hati tenang dari ketakutan, dia membakar syahawat dan menolak kelalaian daripada hati.``
Katanya, ``Siapa yang benar perjalanan, maka redha dari Allah balasan.``
Demikian luahan pendapat dari Sulaiman al-Darani yang merupakan pengalaman-pengalaman yang dilalui, semoga menjadi  renungan dan panduan bagi yang gemar menghayati.


Sekian.

No comments:

Post a Comment