December 3, 2012

Merasmikan Kursus Kepimpinan Masyarakat

BBB, 18 Muharram 1434 = 02 Disember 2012 (Ahad):

Kursus berkenaan adalah dianjur oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor dan diperturunkan melalui Pejabat Daerah bagi mengatur giliran kursus berkenaan pada peringkat Dun-Dun. Kursus ini telah berjalan sejak sebulan yang lepas. Menurut jadual asal Dun Bangi sepatutnya menaja kursus berkenaan sejak awal dan terawal bulan November lepas, tetapi diubah kepada hari ini. Pengendalian dilakukan oleh beberapa consultant yang menjalankan kursus secara serentak di tempat-tempat terpilih menurut jadual.


Giliran Bangi hari ini bertempat di Dewan PKNS, tingkat tiga. Kursus bermula jam 9.00 pagi dengan acara pembukaan dirasmikan oleh Adun Bangi. Hadir pada majlis ini ialah pihak Consulton diketuai Jurulatih Utama Encik Nordin Ismail dengan dibantu oleh Puan
Sharimah bt. Yusof Fasilitator bagi Consultant. Jemputan yang hadir ialah Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj, Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj, saudara Shukor Atan, Ketua-Ketua kampong dan pimpinan setempat.


Dalam ucapan Perasmian Adun Bangi selaku Tuan Rumah menyebut bahawa baik Ahli-Ahli MPKj, Ketua-Ketua Kampong dan Pemimpin-Pemimpin setempat, khususnya yang dilantik adalah saluran bagi Kerajaan Negeri menyampaikan maklumat. Sebab itu mereka seharusnya memahami tentang dasar, polisi dan pembangunan yang dijalankan untuk disampaikan kepada rakyat yang seharusnya sama memahami aspek-aspek berkenaan. Kefahaman sekurang-kurangnya melibatkan tiga peringkat, iaitu Negeri, Daerah dan PBT
.

Pada peringkat tertinggi negeri ialah Menteri Besar yang menjalankan pentadbiran dibantu Exco-Exco berdasarkan keputusan yang dibuat oleh Dewan Negeri.
Dewan Negeri misalnya meluluskan peruntukan Belanjawan Tahunan sebagaimana diadakan Sidang Dewan Negeri baru-baru ini dari 19 November hingga 30 November 2012 yang meluluskan Belanjawan bagi tahun 2013 ialah sebanyak RM1,630,000.000. Jumlah ini dipecahkan kepada berbagai-bagai Jabatan, Agensi, Sektor dan bahagian yang melibatkan Exco, Pentadbiran, agensi, jabatan – sejumlah 27 pecahan. Antara Jabatan yang tinggi dengan peruntukan ialah JKR 167,667,368.39, Jabatan Agama Islam RM120,000,000 dan pengairan/saliran ialah RM117,642,878.92. Manakala peruntukan yang agak sederhana seperti bagi Pejabat-Pejabat Daerah antara RM9 juta hingga ke 13 juta. Manakala bagi agensi-agensi tertentu di bawah dari jumlah tersebut contoh Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan RM8,600,000 bagi 2013 berbanding 2012 (RM8,500,000).

Yang penting ialah memahami polisi Kerajaan Negeri, misalnya Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), isu-isu semasa mengenai TALAM, Menstrukturkan kembali pentadbiran air Selangor, Isu Langat 2 dan sebagainya.

Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor dibantu oleh Exco-Exco yang melibatkan 10 forfolio. Untuk memberi penerangan kepada rakyat sewajarnya pihak pimpinan negeri berbagai peringkat. Misalnya memahami pranan Exco Agama Islam yang terletak di bawah Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor,  Peranan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan di bawah Y.B. Teresa Kok, Peranan Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam di bawah Exco Y.B. Yaakob Sapari, Peranan Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan yang terletak di bawah Y.B. Puan Hajah Rodziah bt. Ismail. Exco ini terkenal dengan berbagai-bagai program seperti Skim Usia Emas, Tawas, Mimbar, Anak Masuk Universiti, Memberdayakan Wanita, Pemeriksaan Percuma bagi mengesan Kanser bagi Wanita, Jom Shopping dan sebagainya. Begitu juga perlu memahami Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin di bawah Exco Y.B. Dr. Xavier Jayakumar, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan di bawah Exco Y.B. Dr Halimah yang terkenal dengan Spise dan Bantuan kepada Sekolah Rakyat. Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan di bawah Exco Y.B. Iskandar, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan di bawah Y.B. Ronnie LiuTian Khiew yang sering dikaitkan dengan masalah sampah, Bidang Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar di bawah Y.B. Elizabeth Wong yang terkenal sebagai Pejuang Alam Sekitar dan bidang Pembangunan Kampong Baru & Penyelesaian Kilang Haram di bawah Exco Y.B. Ean Yong Hian Wah.


Dengan memahami portfolio Exco-Exco berkenaan kita bukan saja memahami bidang, tetapi mengetahui saluran bagi membuat pengaduan, permohonan, penyelesaian dan mendapat peruntukan. Untuk mendapat maklumat-maklumat berkenaan ialah seperti menghadiri kursus seumpama hari ini dan juga melalui sebaran maklumat seperti melalui akhbar rasmi negeri seperti Selangor Kini, Tv Selangor dan berbagai maklumat yang disalurkan. Dengan mendapat maklumat yang tepat kita juga dapat menyangkal segala tuduhan yang tidak betul yang perlu diperbetulkan.

Mekanisme yang paling penting yang menjadi pengantara antara kerajaan Negeri, melalui Exco ialah Wakil Rakyat Setempat – iaitu Adun dan juga Ahli Parliman. Segala maklumat dari atas, khususnya dari Dewan Negeri adalah melalui Adun. Adun juga memperturunkan peruntukan kepada kawasan dan menjalankan berbagai kegiatan. Rakyat juga menyalurkan aduan, memohon peruntukan dari Adun dan menyalurkan masalah mereka kepada Adun dan juga Ahli Parlimen. Tetapi bagi lebih melicinkan perjalanan pentadbiran maka di bawah Adun dilantik Ketua-Ketua Kampong sebagai saluran pentadbiran dari dan ke Pejabat. Begitu juga bagi pentadbiran di PBT dilantik wakil-wakil di PBT. Di bawah Dun Bangi misalnya dilantik 6 orang Ketua Kampong di bawah Pejabat Daerah dan 6 orang Ahli di MPKj. Mereka adalah wakil Adun di kedua-dua institusi berkenaan.


Ketua Kampong perlu memahami perjalanan dan pentadbiran Pejabat Daerah dari segi cukai tanah, projek-projek pembangunan dan perjalanan jabatan dan agensi lain di  daerah, kerana maklumat dapat diketahui misalnya melalui Mesyuarat Penyelaran Daerah yang dihadiri oleh Penghulu-Penghulu yang maklumat dapat disampaikan kepada Ketua-Ketua Kampong misalnya tentang kesihatan, jenayah, pencemaran, masalah banjir, Hal Ehwal Islam dan berbagai lagi. Rakyat juga dapat menyalurkan maklumat, permohonan dan berbagai perkara lagi melalui Ketua Kampong ke Pejabat Daerah.

Sebagaimana Ketua Kampong perlu memahami perjalanan di bawah Pejabat Daerah, demikianlah juga Ahli-Ahli MPKj yang dilantik perlu memahami dan berperanan sebagai Wakil Adun dan Kerajaan di PBT-PBT. Mereka hendaklah memberi fikiran dan melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan kepadanya. Baik Ketua Kampong, maupun Ahli PBT hendaklah sentiasa mempertahankan kredebiliti Kerajaan negeri. Mereka boleh memberi cadangan menurut saluran-saluran yang relevan. Kemajuan dan pencapaian Ketua kampong dan Ahli MPKj mencerminkan pencapaian Adun dan juga Ahli Parlimen, sebalik kelemahan dan kegagalan seperti masalah sampah dan tiada kebersihan dan jalan tidak dibaiki, nama tidak baik akibatnya ditanggung oleh Adun, Ahli Parlimen dan juga Kerajaan Negeri. Pendeknya mereka boleh memberi kesan kepada imej kerajaan negeri yang memerintah dan boleh meningkatkan sokongan rakyat atau sebaliknya.

Selain dari memahami mekanisme pentadbiran di atas, Ketua Kampong dan Ahli MPKj bahkan semua yang terlibat dengan pentadbiran harus memahami situasi politik Negara dan negeri, situasi tempatan dan kawasan-kawasan masing-masing bagi diterapkan maklumat dan mendapat maklumat dan kerjasama dari rakyat yang kemudian dapat diterjemahkan kepada sokongan kepada Kerajaan yang memerintah.
Adun rasmikan kursus dengan lafaz Bismillah.

Sekian.

1 comment:

  1. salam, bagus la ada prog mcm ni..bagaimanapun, mcm mana nak pastikan maklumat ini sampai kepada masyarakat...atau setidak2nya masyarakat setempat boleh membuat aduan melalui sakuran yg betul...cth banjir disekstem 4 tambahan, email kepada YB dan MB tidak dijawab sehingga hari ini...mungkin terlalu sibuk sehingga tiada masa mendengar masalah "kecil" ini....

    ReplyDelete