December 11, 2012

Melawat Surau At-Taqwa, Taman Seri Mewah Dalam Pembinaan

Taman Seri Mewah, Kajang Utama, 24 Muharram 1434 = 08 Disember 2012 (Sabtu):


Hasrat AJK Surau At-Taqwa, Taman Seri Mewah yang diketuai oleh Major (B) Adnan untuk mendirikan sebuah surau yang sempurna timbul sejak sebelum tahun 2010 lagi. Selama ini penduduk menggunakan surau sementara di bawah apartment Seri Mewah di sini. Surau sementara di sini tidak selesa dan amat sempit. Adun sendiri beberapa kali ke surau sementara di sini sempena beberapa sambutan dan majlis dan pernah ditunjuk tapak yang dicadangkan bagi mendirikan surau di atas keluasan tanah yang tidak sampai seekar. Tapak di sini merupakan tanah lapang bagi kawasan perumahan.


Keperluan sebuah surau yang sempurna dan berasingan ialah bagi menampung jamaah dari 500 unit kediaman di sini yang dijangkan berjumlah 2,500 orang. Atas hasrat inilah maka pada bulan Mac 2010 Adun Bangi telah dijemput bagi pelancaran tapak bagi Surau At-Taqwa pada bulan Mac 2010 dan sekali lagi menyertai Majlis Penentuan Arah Kiblat pada tahun 2011. Dalam masa tersebut AJK yang diketuai Mejer (B) Adnan telah berusaha mencari dana bagi mendirikan Surau At-Taqwa yang diharapkan. Hari ini Adun turun melawat dan mendapati Surau telah dibina sejak bulan September 2012 dan dijangka siap selepas 3 bulan dibina, iaitu pada akhir bulan Disember 2012 ini.


Sememangnya dari apa yang dapat diperhatikan Surau hampir siap. Yang diperlukan pemasangan tingkap dan pintu serta carpet. Api sudah dimasukkan, tetapi air masih dalam usaha untuk memasukkannya. Pada masa kami hadir, pekerja-pekerja memberi tumpuan pada kerja-kerja menyiapkan bilik air bersebelahan. Apabila benar-benar siap Surau At-Taqwa benar-benar menarik, walaupun bangunannya agak kecil. Adun bertanya kepada Kepten (B) Adnan tentang kos yang dibelanjakan bagi menyiapkan Surau. Menurut beliau setakat ini adalah berjumlah RM200,000. Ia adalah hasil dari derma pihak tertentu dan orang ramai. Menurut Tuan Haji Mejer (B) Adnan yang baru kembali dari menunaikan Haji di Makkah itu menyatakan, ``Saya berdoa di Baitullah memohon kepada Allah supaya pembinaan Surau At-Taqwa berjalan dengan lancar sebagaimana dapat disaksikan.`` Namun menurut Mejer, bahawa, ``Bantuan kewangan masih diperlukan bagi menyiapkan Surau At-Taqwa.``


Dalam pada itu Mejar (B) Haji Adnan melahirkan harapan, bahawa berikut dari siapnya surau yang beliau begitu berterima kasih kepada masyarakat, hasrat beliau dan AJK Pembinaan juga mau mendirikan Sekolah Agama bersebelahan dengan surau. Ini menurut Mejer, adalah bertujuan untuk menampung keperluan anak-anak penduduk setempat belajar agama di Sekolah agama. Tanah yang mau digunakan ialah sebahagian dari tanah lapang yang dijadikan tapak surau yang diharap dapat juga dijadikan tapak Sekolah agama. Dengan itu anak-anak tidak perlu pergi jauh, jika sudah ada bangunan Sekolah. Adun berharap pihak AJK merujuk kepada pihak JAIS terlebih dahulu bagi memudahkan urusan.


Sementara itu Adun menyampaikan cek atas nama surau yang disediakan selama ini. Adun berjanji juga untuk mengeluarkan peruntukan biasa bagi Surau At-Taqwa dan memohon pihak AJK menulis saurat secara formal kepada Adun.


Sempena kehadiran Adun juga pihak AJK sengaja menyediakan jamuan `Pulut Santan Durian’ dan juga buah durian. Kami makan beramai-ramai di dalam surau hingga agak kenyang kerana buah durian yang disedikan begitu banyak. Selepas dari itu kami mohon beredar, meninggalkan Surau At-Taqwa bagi menghadiri program yang lain.

Terima kasih.

No comments:

Post a Comment