November 26, 2012

Sunathon Sebahagian Dari Kegiatan Surau: Upacara Di Surau Al-Muhajirin & Al-Ittifaqiyah

Dun Bangi, 11 Muharram 1434 = 25 November 2012 (Ahad):


Kebanyakan acara berkhatan biasanya dianjur atau dengan kerjasama surau. Ini mencerminkan peranan surau bukan setakat tempat ibadat, tetapi juga bagi kegiatan ilmu dan kemasyarakatan. Pada musim tutup sekolah ini antara kegiatan yang dianjur atau dengan kerjasamna surau ialah melaksanakan ibadah berkhatan. Ini bermakna masyarakat Islam setempat begitu rapat dengan surau. Pihak surau biasanya menjadi penganjur berkhatan dengan kerjasama beberapa pihak. Penganjuran melalui surau lebih mudah, lebih murah dan mendapat kerjasama masyarakat setempat. Kini mengadakan acara berkhatan di rumah agak kurang dan ibu bapa lebih suka menyertai khatan anak-anak mereka di surau daripada menghantar terus ke klinik atau hospital. Bagi anak-anak adalah lebih suka berkhatan secara beramai-ramai bersama kawan-kawan dari berseorang. Ada semacam kemeriahan bila upacara sedemikian diadakan secara ramai-ramai di surau. Pihak yang terlibat dengan kerja ibadat sedemikian tidak merasa kekok, bahkan menyenangkan.


Demikianlah pada pagi ini Adun dijemput hadir ke Majlis berkhitan yang juga dibuat di surau. Pertama mulai jam 8.00 pagi Adun dijemput menyertai acara berkhatan di Surau Al-Muhajirin di Kajang Utama. Setiba Adun di Surau Al-Muhajirin Kajang Utama, majlis perarakan sedia untuk bermula. Pihak Surau, ibu bapa dan anak-anak berhimpun di jalan ke bawah daripada surau. Himpunan disertai pasukan kompang. Majlis bermula dungeon salawat ke atas Rasulullah s.a.w. dan berjalan dan diikuti dengan kumpulan kompang. Perarakan sengaja mengelilingi beberapa lorong perumahan seolah-olah menghebahkan kepada masyarakat acara berkhatan yang diadakan dan setelah perarakan berjalan lebih kurang setengah jam maka tiba balik ke pekarangan surau.


Di anjung surau bermula majlis perasmian. Antara yang hadir dan sama berarak ialah Y.B.Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, saudara Azhar Pengerusi Surau, Tuan Haji Abdul Razak, Timbalan Pengerusi Surau, saudara Ibrahim Martibi Ketua Rukun Tetangga Kajang Utama. Berucap di dalam majlis ialah saudara Azhar yang mengalu-ngalukan kehadiran tamu dan ibu bapa. Menurutnya Sunathon kali ini diadakan selepas majlis seumpama ini diadakan tiga tahun yang lepas. Menurut saudara Azhar, jumlah anak-anak yang akan berkhatan pada hari ini ialah seramai 22 orang – termasuk seorang anak Kristian yang direstui keluarganya untuk turut berkhatan. Beliau mengucapkan terima kasih traumata kepada pihak Hospital Kajang yang menghantar 2 orang doktor bagi menyempurnakan program Sunathon. Manakala Y.B. Teo Nie Ching berterima kasih kerana dijemput hadir ke majlis, walaupun beliau, kata Y.B. Teo Nie, ` Saya bukan orang Islam`, tambahnya, ``Ini bererti amalan sunathon sesuatu yang baik yang boleh diikuti dan diamalkan oleh yang bukan Islam. Contoh seorang anak beragama Kristian turut sama berkhatan. Beliau menasihati anak-anak, `` Jangan takut, kerana tidak sakit.``


Adun Bangi dalam ucapan perasmiannya merasa sukacita melihat majlis dianjur oleh pihak surau sebagai khidmat kemasyarakatan. Adun berkata, ``Anak-anak tidak janggal berkhatan di surau, kerana surau tempat biasa bagi anak-anak yang tinggal berdekatan dengan surau. Adun menyatakan berkhatan pada tutup Sekolah ini paling sesuai, kerana anak-anak tidak lagi tertekan dengan pelajaran dan lebih berada di dalam ketenangan. Berikutan dari merasmikan majlis, Adun sudahi dengan doa semoga Allah memberi keselamatan dan segera sembuh.


Selepas dari Majlis Perasmian Adun bersama Y.B.Teo Nie Ching menyampaikan kain pelikat dan sama-sama menyampaikan cenderahati kepada anak-anak yang berkhatan.

Sementara itu Adun memohon maaf kerana terpaksa meninggalkan majlis kerana mempunyai program sunathon di tempat lain. Adun berharap Y.B. Teo akan terus bersama majlis di sini bagi meraikan anak-anak berkhatan.


Majlis berkhatan kedua pagi ini yang Adun akan hadir ialah di Surau Al-Ittifaqiyah Seksyen 7 berdekatan Kajang Impian, Bangi. Acara berkhatan di sini berasaskan surau yang dikenali dengan nama Surau Al- Ittifaqiyah. Ini adalah pertama kali surau ini mengadakan Majlis Berkhatan. Pada masa ketibaan Adun . pihak AJK, ibu bapa, peserta khatan sudah berada di jalan hadapan surau bagi memulakan perjalanan. Perarakan di sini agak berlainan dari Kajang Utama. Iaitu secara anak-anak dibawa berarak di atas kereta, dibelakangnya ialah pasukan bermotor berkuasa tinggi. Majlis ditangguhkan sekejap, kerana memberi laluan kepada Adun Bangi untuk berucap. Adun bersyukur kepada Allah masih berkesempatan hadir bersama penduduk. Adun menyebut upacara berarak anak-anak berkhatan menjadi kebiasaan bagi upacara berkhatan. Ianya meningkat menjadi satu budaya umat, khususnya bagi masyarakat Islam di Bangi. Dalam majlis ini terdapat elemen kesenian seperti salawat dan marhaban terhadap Junjungan Rasulullah s.a.w. sebelum kereta yang membawa anak-anak berkhatan bergerak dan diikuti pasukan bermotor mengelilingi kawasan taman. Oleh kerana masa Adun terhad dan perlu hadir ke majlis berkhatan yang lain,, maka Adun menyerahkan buah tangan yang merupakan kain pelikat dan sagu hati kepada setiap anak-anak yang berkhatan berjumlah seramai 11 orang kepada Encik Azli Yusof Pengerusi surau al-Ittiufaqiah untuk dibahagi-bahagikan kepada anak-anak. Adun meminta maaf dan terpaksa bertolak bagi menghadiri ke Majlis Berkhatan ketiga pada pagi ini.

Sekian.

No comments:

Post a Comment