November 4, 2012

Janji Tidak Ditepati ! Mana Flyover Di Kajang Utama ?

Kajang Utama, 18 Zulhijjah 1433 = 03 November 2012 (Sabtu):

Rakyat, terutama di Kajang Utama telah terlampau lama menunggu janji Kerajaan BN mau mendirikan Flyover antara Kajang Utama dengan Kajang. Hari ini sejumlah 50 orang berhimpun di tepi jalan ke luar dari Kajang Utama ke Jalan SILK bagi memanjangkan pertanyaan, ``Bilakah lagi Flyover dari Kajang Utama Ke Kajang yang dijanji oleh Kerajaan BN akan dibina ? – Rakyat di Kajang Utama telah lama dan jemu menunggu. Dalam perhimpunan kecil ini hadir YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Ahli-Ahli MPKj, Pemimpin Setempat dan beberapa wartawan. Mereka beramai-ramai membawa sepanduk mempersoalkan janji yang telah dibuat sejak 2002 oleh Kerajaan BN, tetapi tidak ditunai – Sepatutnya Rakyat Diutamakan, Tapi Janji Tidak Ditepati!


Berucap dalam perhimpunan itu Adun Bangi menyatakan, sebelum Jalan SILK dibiua penduduk Kajang Utama tidak bermasalah ke Kajang, melalui jalan dua hala dan turun ke Jalan Bukit ke Kajang, tetapi selepas pembinaan Jalan Silk Kajang Utama terbelah dan terpisah dari Kajang dan untuk ke Kajang terpaksa membuat U Turn yang memakan jarak sehala 5 km dan memerlukan masa 15 – 30 minit untuk ke Kajang atau untuk pulang semula ke Kajang Utama. Pada masa pembinaan hendak dijalankan sejak 1999 Adun Kajang pada masa itu (Adun Bangi kini) bersama penduduk berkali-kali turun menunjuk perasaan mendesak pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) membuat jalan pintas, sama ada secara terowong atau flyover, tetapi hingga siap jalan permohonan penduduk tidak dilayan. Pihak Silk juga mau mengenakan tol kepada penduduk Kajang Utama pengguna harian jalan tersebut. Adun Kajang dan penduduk juga berkali-kali keluar tunjuk perasaan dan mendesak membuat jalan pintas dan tidak dikenakan tol. Sebenarnya akibat dari pembinaan Jalanraya SILK, Kajang Utama bukan saja terasing, tetapi hartanah di kawasan tersebut jatuh teruk, bangunan kedai-kedai tidak laku, harga rumah menurun dan sewa rendah, business lembab dan orang ramai kurang berminat memiliki atau menyewa hartanah di Kajang Utama.


Dari desakan yang berterusan, maka dibuat jejentas antara Kajang Utama ke Kajang Sentral – hanya untuk pejalan kaki dan jalan lencongan yang mengecualikan penduduk Kajang Utama dari dikenakan tol. Namun desakan mengadakan jalan pintas terus didesak. Jalan yang digunakan sejak sejak 2002 itu dirasmikan oleh Samy Vellu Menteri Kerjaraya pada masa itu pada 15 Jun 2004. Dalam upacara perasmian itu Samy Vellu menjanjikan, bahawa selepas 6 bulan dari tarikh perasmian akan dibina flyover sebagaimana yang didesak rakyat. Namun janji itu tidak pernah ditunaikan hingga kini dan rakyat tetap terus mendesak.


YB Teo Nie Ching yang juga berucap selepas Adun Bangi, menyebut bahawa isu flyover telah dibawa ke Parlimen sudah banyak kali dan janji Kerajaan BN untuk membina flyover juga dibuat banyak kali. Peruntukan telah diluluskan, tetapi oleh kerena berlaku kelewatan, maka kos semakin meningkat. Pada tahun 2008 kos bagi pembinaan adalah sebanyak RM25 juta, kini pada tahun 2012 meningkat kepada RM30 juta. Dulu janji projek ini dimasukkan dalam RMK ke 9 tertangguh dan janji mau masukkan ke RMK ke 10, tetapi kini belum nampak tanda pembinaan akan dimulakan, apakah projek ini akan dipindah pula ke RMK ke-11? ke-12?


YB Teo Nie Ching mendesak kepada Kerajaan BN memberi perhatian terhadap permintaan penduduk Kajang Utama yang berjumlah 7,000 orang. Dengan pembinaan Flyover menurut YB Teo bukan saja mengurangkan kos perjalanan, tetapi mengurangkan masa dan kesesakan. Yang lebih penting lebih menjamin dari segi keselamatan, terutama bagi anak-anak Sekolah dan ibu bapa mereka yang menghantar anak-anak mereka ke Sekolah.


Sebenarnya menurut Adun Bangi, kepentingan flyover kini lebih terasa dengan penambahan kawasan kediaman yang baru yang dikenali dengan Kajang Dua. Untuk ke Kajang Dua juga perlu melalui Kajang Utama, bagi melancarkan lalulintas, lebih ekonomik dan selamat jika diadakan flyover.

Penduduk Kajang Utama mendesak Kerajaan BN menunaikan janji dengan membina flyover di Kajang Utama sebagaimana telah dijanjikan!

Sekian.

No comments:

Post a Comment