October 22, 2012

Puteri Raja Berjiwa Rakyat - Mendemonstrasikan Masakan & Merasmikan Sidang - Memberi Impak Yang Baik Bagi Sambutan Di Pahang


Pekan Sungai Lembing, Pahang, 02 Zulkaedah 1433 = 18 Oktober 2012 (Khamis):


Hari kedua pemergian Penulis (Khamis 18 Oktober) menghadiri Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di Pekan, Pahang Darul Makmur (16-22 Oktober 2012) ialah menghadiri Karnival Makanan yang diadakan di Kompleks Muzium & Padang Awam, Pekan Sungai Lembing, Pahang.


Dari awal hasrat ke Pahang ini, Penulis memang ingin ke Sungai Lembing, bukan semata kerana Karnival Makanan. Yang Penulis mau ke Sungai Lembing bagi menyaksi dan menelusuri kembali kenangan Penulis yang pernah datang ke Sungai Lembing pada pertengahan tahun 1950an. Pada masa itu Penulis yang masih Sekolah rendah dibawa ibu saudara (Puan Halimah bt. Abdullah) yang berkahwin dengan orang Pahang (En. Abdul Hamid) yang bekerja di lombong di Sungai Lembing tersebut dan tinggal di kuater pekerja di Pekan Sungai Lembing. Penulis berada di Pekan Sungai Lembing ini semasa tutup Sekolah. Penulis mahu ke Sungai Lembing bagi melihat sejauh mana berlaku perubahan yang pada masa Penulis hadir dulu, Pekan Sungai Lembing begitu maju, sebok dan ramai dengan pekerja. Selepas itu penulis tidak pernah ke sana, bukan kerana jauh, kerana ia diperjalanan ke KL melalui Kuantan, tetapi kerana kedudukannya yang jauh ke hulu dan kini tidak maju.


Penulis bersama saudara Azizi bertolak jam 8.00 pagi dengan kenderaan sendiri dari Hotel Zenith mengikuti kereta yang disewa PADAT di sini dengan 6 ahli PADAT (yang lain ke Pekan menjaga Pameran). Tiba di Pekan Sungai Lembing kami ke Padang Pameran Makanan di bawah khemah berhadapan dengan tempat duduk VIP. Tiba di sini baru Penulis tahu bahawa Karnival Makanan pada pagi ini dirasmikan oleh Tengku Puan Pahang – Tengku Azizah Maimunah bt. Al-Marhum Sultan Iskandar, Isteri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah bin Sultan Ahmad Shah. Kehadiran Tengku Puan Pahang disambut pembesar-pembesar negeri dan pegawai-pegawai Muzium Pekan. Inilah pertama kali Penulis berdepan dengan Tengku Puan Pahang. Berita tentang sifatnya yang rapat dengan rakyat memang sering diikuti. Miisalnya prehatinnya Tengku berhubung dengan ibu-ibu yang tidak mempunyai zuriat untuk mendapat zuriat dan pembelaan Tengku terhadap rakyat miskin dan susah di Pahang.


Sebaik tiba Tengku Puan Pahang majlis bermula dengan doa dan tidak ada ucapan perasmian, sebaliknya sebagai permulaan Karnival Tengku turun dari pentas ke bawah khemah memulakan masakan serawa labu kuning dan ikan patin. Semua keperluan bagi resipi masakan ikan patin telah tersedia. Tengku memotong bahan-bahan seperti bawang besar, lengkuas dan tomato dengan amat mahir dan cepat, Tengku juga mengetuk batang serai dan menumbuk bahan-bahan yang perlu ditumbuk dalam lesung batu dan mencampur bahan berkenaan dalam periuk dan memasaknya lebih awal sambil menambahkan bahan-bahan resipi seperti daun limau purut, daun kunyit, daun kesum, asam dan sebagainya. Tengku menerangkan kepada orang ramai, ``Ikan patin yang siap dipotong ini tidak dimasukkan bersama dalam periuk, kerana jika dimasukkkan lebih awal akan hancur, kerana isinya yang lembut. Tengku seolah seperti seorang ibu yang memasak kepada anak-anaknya yang ghirah menunggu untuk makan, Tengku juga mengecap masakan ikan patinnya, sama ada cukup garam dan sebagainya. Kami kagum melihat kelincahannya, tanpa kekok, tetapi bersahaja memasak. Lebih kurang setengah jam masakan ikan patin yang tentu campur tempoyak sudah masak dan dipindah ke dalam mangkuk, kemudian terus dimasak untuk baki ikan yang belum habis dimasak bagi round kedua. Semasa masakan ikan patin ini sebuah buku resipi dibawa, dibuka dan ditunjuk oleh Tengku Puan Pahang gambar masakan ikan patin dan resipinya. Kemudian kami baru tahu bahawa buku berkenaan adalah hasil dari resipi masakan Tengku Puan Pahang. Masa Tengku memasak Penulis meminta izin melihat buku dan kandungan sepintas lalu. Buku berjudul ``Air Tangan Tengku Ampuan Pahang` setebal 336 halaman berhias gambar-gambar masakan. Dengan kemahiran Tengku memasak dan dengan terbitnya buku resipi masakan Tengku ini sahlah bahawa Tengku seorang yang meminati, bahkan suka memasak makanan.


Selepas memasak ikan patin Tengku berpindah melawat gerai ke gerai, sambil meneliti pameran-pameran masakan dari berbagai negeri itu. Sekali sekala Tengku merasa jenis masakan yang dilihat dan memuji keenakan masakan yang dipamerkan dari berbagai negeri (sayang Selangor tak ambil bahagian dalam masakan). Tiba ke Gerai Masakan dari Kedah. Puteri tertarik dengan masakan ikan talapia bakar tempoyak’ Kemudian tengku ke gerai Kelantan yang antaranya dimasak gula tarik yang dibuat dari manisan kelapa dan Puteri turut menarik gulanya dalam proses masakan sebelum dikerat dan ditabur tepung untuk elak dari melekat. Penulis yang turut mengikuti lawatan Puteri dari gerak ke gerai, melihat Tengku kemudiannya amat tertarik dengan.masakan seorang veteran perempuan juga dari Kelantan yang sedang menarik dan menguli tepung beras bagi dibuat kuih semang. Agak rumit, khususnya menjadikan tepung panjang berbenang sambil diuli dengan tepung kering agar tidak melekat. Tengku mengambil alih menguli tepung, sambil berkata, ``Macam uli buah gomok !``Tengku mengambil masa yang lama menguli tepung bagi kuih semang berkenaan sambil Tengku berkata. ``Ambo nak belajar !`` mengikuti loghat Kelantan.


Walau macam mana semang yang dibuat oleh Tengku tidak seindah yang dibuat tukang masak perempuan dari Kelantan. Akhirnya Tengku kata,
``Tak Apo, masuk dalam perut sama ajo !``. Kami ketawa dengan leluconnya.


Lepas itu Tengku berpindah dari gerai ke gerai dengan lebih cepat dan jam 12.30 tengahari para tamu dijemput makan tengahari. Kami tidak pasti adakah Pameran Karnival Makanan diambil markah dan diberi hadiah secara pertandingan. Kalau dikira dari segi number sudah tentulah masakan-masakan Tengku Puan Pahang sewajarnya mendapat tempat tertinggi!

Kekaguman kami terhadap komitmen Tengku bukan setakat masakan, tetapi juga komitmen Tengku dengan Sambutan Hari Muzium di Pahang itu. Pada keesokan hari (pagi Jumaat 19 Oktober), Tengku Puan Pahang juga turut hadir, bukan saja melakukan Perasmian (tidak disebut dalam buku aturcara), tetapi Tengku juga mengambil bahagian dalam perbincangan (perkara ini telah dtulis pada Sabtu 20 Oktober).

Benarlah sebagaimana kata Tengku Puan Pahang bahawa,``Muzium adalah bahagian dari kehidupan saya`` Tmbah Tengku Puan Pahang,``Saya membesar dan terdidik di Muzium Sultan Abu Bakar Johor sebelum ke Pahang!``


Keterlibatan Tengku Puan Pahang dengan Sambutan Hari Muzium Antarabangsa memeriah dan memberi impak yang baik bagi sambutan yang diadakan di Pahang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment