July 9, 2012

Penduduk Pinggiran Desa Seroja dan Sungai Ramal Luar Menerima Tawaran Pemilikan Tanah

Desa Seroja, 18 Sya`ban 1433 = 08 Julai 2012 (Ahad):

Seramai 36 orang penduduk Pinggiran Desan Seroja dan 4 orang penduduk Sungai Ramal Luar hari ini menerima tawaran Pemberimilikan Tanah Kerajaan Di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara untuk tujuan bangunan kediaman. Kebanyakan dari mereka telah menduduki tapak tanah berkenaan lebih dari 40 tahun. Mereka telah memohon pemilikan berpuluh tahun pada zaman Kerajaan BN. Permohonan tanah ini dijadikan isu pilihanraya oleh BN dengan janji pemberimilikan selepas memenangi pilihanraya, tetapi tidak ditunaikan. Demikianlah isu ini dimainkan secara berterusan.

Selepas Pakatan Rakyat memerintah Selangor, maka Adun Bangi dengan kerjasama Wakil Penduduk Tempatan di Pinggiran Desa Seroja sdr. Nathan A/L Marianandan telah berusaha dengan penduduk setempat, demikian juga Ketua Kag. Sungai Ramal Luar Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir bagi mendapat Pemilikan Tanah Kediaman. Akhirnya setelah permohonan diproses, maka temuduga diadakan pada 8 Ogos 2011 dan lawatan pemastian tapak dilakukan oleh YB Tuan Iskandar Exco sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan dan kelulusan dibuat oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim. Pada hari ini di adakan Majlis Kesyukuran penuh keceriaan bertempat di Padang Awam Taman Desa Seroja diadakan Majlis Penyerahan Tawaran Pemberimilikan Tanah berkenan dengan dihadiri oleh YB Tuan Iskandar bin Abdul Samad Exco, YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, YB Puan Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, YB Tuan Lee Kim Sin Adun Kajang, YB. Tuan Haji Khasim bin Abdul Aziz Adun Lembah Jaya, YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, En. Ahmad Suaidi Ketua Timbalan Pegawai Daerah, Hulu Langat, sdr. Mohd Rashidi bin Raslan Penolong Pegawai Daerah Tanah, Hulu Langat, Tuan Haji Kamaruzzaman bin Salimin dari MPKj, sdr. Nathan A/L Marianandan Wakil Penduduk Pinggiran Taman Desa Seroja, ahli-ahli MPKj, Ketua-Ketua Kampong dan penduduk-penduduk setempat.

YB Iskandar di dalam ucapannya mengucap tahniah kepada penduduk-penduduk yang menerima tawaran Pemilikan dan mengingatkan kepada penerima bahawa tawaran pemberimilikan adalah untuk tanah tapak kediaman. Penerima tawaran perlu pindah ke atas tanah yang ditawar berimilikan dalam tempoh satu tahun. Penduduk bagi kawasan tanah yang ditawarkan akan ditadbir secara kampong, sebab itu pendudk wajar memilih Ketua Kampong sendiri. Bagi rakyat yang tidak mampu, mereka dikenakan bayaran premium sebanyak RM1,000. Jika mereka dapat bayar dalam tempoh 6 bulan, maka akan diberi discount 30%. Pemilik dinasihat jangan menjual tanah yang diberimilik, tetapi jika dijual, maka cukai akan dikenakan menurut taksiran semasa bila berlaku pindahmilik. Menurut YB Iskandar sebelum ini, isu Tanah Pinggiran Desa Seroja ini sering dibawa oleh YB Dr. Shafie baik di dalam ucapan di Dewan Negeri dan dalam soalan lisan dan tulisan. Secara bergurau beliau berkata, selepas ini, saya berharap isu tanah Pinggiran Desa Seroja ini tidak berbangkit lagi !

YB Iskandar juga mengumumkan nama SEROJA digunakan bagi satu Skim Baru bagi menjaga keselamatan kediaman iaitu: Skim Rondaan Kejiranan (SEROJA). Menurutnya skim ini akan diperluaskan kelak.

Sebelum daripada itu YB Teo Nie Ching dijemput berucap. Beliau mengucapkan tahniah kepada semua yang mendapat tawaran pemilikan tanah dan patut bersyukur kepada Tuhan dan terima kasih kepada kerajaan Negeri Selangor yang begitu prehatin menyelesaikan permohonan tanah yang telah berpuluh tahun dipohon, maka di dalam masa pemerintahan Pakatan Rakyat dapat diselesaikan. Beliau juga menyebut berbagai-bagai skim yang ditawarkan oleh kerajaan negeri bagi kepentingan rakyat termasuklah Skim Merakyatkan Ekonomi negeri Selangor, Skim Warga Emas, Tawas, Anak-Anak Masuk Universiti, pinjaman Mimber, Skimsel dan bantuan anak di pra-sekolah.

Adun Bangi dalam ucapannya yang juga mengucap tahniah kepada penduduk memaklumkan bahawa daripada 36 orang yang ditawarkan pemilikan Tanah 24 orang adalah dari kalangan orang India dan 12 daripadanya adalah dari kalangan orang Cina. Mereka telah menetap di sini lebih 40 tahun. Manakala empat orang dari Sungai Ramal Luar adalah orang Melayu. Kelulusan permohonan tanah ini bukan pertama kali di Dun Bangi, kerana pada tahun lepas 50 permohonan berkelompok penduduk di Kampung Bahagia Bangi telah diluluskan. Mereka adalah dari kalangan orang Melayu yang telah memohon tanah tersebut sejak berpuluh tahun yang lepas, tetapi baru diluluskan pada zaman pemerintahan Pakatan Rakyat. Menurut Adun Bangi, kita sedang menunggu permohonan pemilikan tanah bagi penduduk Teras Jernang dan Kampung Bangi. Kita berharap permohonan berkenaan dapat diproses dengan segera. Adun Bangi menyebut kita berterima kasih kepada banyak pihak yang membawa kepada kelulusan tanah dari YAB Dato` Menteri Besar, Exco YB Iskandar, Pejabat Daerah dari Pegawai Daerah dan Penolong Pegawai Daerah (Bahagian Tanah), khususnya Encik Rashidi bin Raslan dan juga Wakil Penduduk En. Nathan. Wakil Penduduk ini juga diberi peluang bercakap bagi pihak Penduduk berterima kasih kepada pihak Kerajaan dan mengharapkan sokongan terus diberi kepada kerajaan yang memerintah sekarang.

Selepas Majlis Perasmian yang dilakukan oleh YB Iskandar, beliau dijemput menyampakan borang tawaran 5A kepada penduduk-penduduk dengan diiringi Adun Bangi, Ahli Parlimen Sedang dan Encik Suaidi dari Pejabat Daerah.

Majlis pada hari ini dimeriahkan dengan sambutan Tarian Singa dan Gendang India oleh Pasukan dari Masyarakat India.

Sekain.

No comments:

Post a Comment