July 3, 2012

Dialog Bagi Persediaan Bajet Selangor 2013

Subang Jaya, 12 Syaaban 1433 = 02 Julai 2012 (Isnin):

Tindakan mengadakan Dialog persediaan bagi Bajet Selangor 2012 dapat disifatkan sebagai bijaksana kerana melalui dialog yang dilibatai oleh berbagai pihak seperti Ahli-Ahli Exco, Adun, Pentadbir-pentadbir dari peringkat negeri hingga ke daerah, Ahli-Ahli PBT, Ketua-Ketua Kampong, Pemaju, kontrektor, perbadanan dan NGO dapat difahami kaedah pendekatan dan masalah yang dihadapi dan cadangan dari mereka bagi persediaan Bajet 2013. Dengan demikian apa yang baik dapat diterus dan dipertingkatkan dan apa yang kurang dapat diperbaiki dan diperkasakan.

Demikianlah pada pagi ini 2 Julai hingga 3 Julai diadakan Dialog Bajet Selangor 2013 bertempat di Hotel Grand Dorsett, Subang dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor. Menurut YAB:

``Dengan pendapat dan pandangan yang disampaikan oleh semua pihak, kita dapat mengatur bajet sebaik mungkin dan hasil negeri dapat sampai kepada rakyat sesuai dengan penekanan kita sejak 2008 – Merakyatkan ekonomi negeri Selangor.``

Menurut YAB Dato` Menteri Besar lagi, ``Rakyat adalah stakeholders sebab itu, kita memberi peluang semua pihak untuk berbincang.`` Namun YAB menarik perhatian, ``Tidak semua permintaan dapat dilaksanakan. Kita mempunyai limited resources dan memberi priorities kepada yang patut diutamakan.`` Kata YAB Dato` Menteri Besar, ``Ekonomi dunia goncang sejak 2008. Kini Kesatuan Eropah menghadapai kemerosotan ekonomi, begitu juga Amerika yang kini menghadapi pengangguran yang tinggi.`` Menurutnya, ``Kita bersyukur Selangor tidak terjejas, bahkan kita terus memberi sumbangan kepada kerajaan Pusat lebih dari 21 % setiap tahun. Selama empat tahun memerintah, kita bergantung kepada kemantapan ekonomi negeri Selangor dan tidak mengharapkan bantuan kerajaan Pusat.``

Beliau seterusnya membicarakan dua isu di Selangor, iaitu masalah lalu lintas yang perlu diatasi dan masalah air yang sengaja diada-adakan, kerana pihak Kerajaan Persekutuan telah menebuk bukit di Pahang, kalau tidak diteruskan kroni tergugat dan kerugian, sedangkan Kerajaan Negeri Selangor semacam buat tidak tahu sahaja!

Sebagai asas perbincangan ialah pembentangan kertas kerja yang boleh disifatkan sebagai kertas dasar oleh En. Lee Heng Guie dari bahagain penyelidikan CIMB Bank. Beliau membicarakan Sejauhmana Malaysia Mampu Mengatasi Kejutan Ekonomi Global. Menurutnya pertumbuhan ekonomi dunia adalah perlahan, namun tidaklah sampai merudum. Menurutnya Eropah menghadapi krisis ekonomi tidak berkesudahan, Amerika mengalami pengangguran tinggi, terpaksa meningkatkan cukai. China lebih mantap dalam menghadapi kegoncangan. Negara-negara Asian mendekati China. Pertumbuhan ekonomi Malaysia di dalam perkembangan ekonomi dunia adalah dalam keadaan sederhana bagi tahun 2012:

US 2.0, Euro -0.1, Japan 2.8, China 8.1, India 5.3, Indonesia 6.3, Malaysia 4.7

Singapura 1.6, Thailand 0.3, Filipina 6.4, Vietnam 4.0.

Sesungguhnya Malaysia terdedah kepada kesan ekonomi dunia yang tidak menentu. Menurutnya Selangor membantu Negara di dalam mengukuhkan ekonomi Malaysia. Menurutnya sumbangan dari segi National GDP dapat dilihat:

Kuala Lumpur 7.6, Selangor 6.1, Kelantan 5.8, N. Sembilan 5.1, Melaka 4.8, Perak 4.7,

Sabah 4.5, P.Pinang 4.2, Kedah 3.8, Johor 3.7, Pahang 3.7, Terengganu 3.6, Sarawak 3.0, Perlis 2.8 dan Labuan 1.5.

Terdapat kritik yang mengurangkan prestasi ekonomi Malaysia yang tidak dibicarakan pembentang. Antaranya hutang Negara berjumlah RM8 bilion, sifat boros di dalam perbelanjaan dan tingginya korupsi.

Selepas Kertas dasar dibentang peserta-peserta dipecah kepada lima bengkel secara serentak mulai jam 2.30 petang hari ini sehingga esok mengenai industri, Jalanraya, Kebajikan, Peranan Pengajian Tinggi Di Selangor Dalam Menyediakan Peluang Pekerjaan, Rumah Kos Rendah dan Rumah Mampu Milik, Kemiskinan Isi Rumah Bandar Dan Luar Bandar, Pengurusan Sisa Pepejal, Peranan Belia, Kempen Hijau, Pembangunan Usahawan. Dialog diakhiri dengan dua forum Ke Arah Pendemokrasian Pilihanraya dan Penyusunan Semula Industri Air Di Negeri Selangor. Setiap bengkel dan forum dipimpin oleh Exco yang berhubung dengan bidang berkenaan.

Adalah diharapkan dari bengkel-bengkel dan forum-forum menghasilkan natijah-natijah bernas yang dapat memandu pihak kerajaan merangka Bajet 2013 dengan lebih mantap dan menyeluruh.

Sekian.

No comments:

Post a Comment