July 10, 2012

Dewan Negeri Selangor Kembali Bersidang: Kecoh Ketua Pembangkang Hadir Tak Masuk Sidang

Shah Alam, 19 Sya`ban 1433 = 09 Julai 2012 (Isnin):

Sidang yang berlangsung pada 19-27 Mac yang lepas dianggap sebagai sidang terakhir bagi Dewan Negeri Selangor, kerana dijangka pilihanraya diumumkan bila-bila masa selepas itu, tetapi jangkaan itu tidak tepat, kerana pihak Kerajaan BN masih tidak yakin peluang untuk menang dan situasi tidak menentu itu berterusan hingga kini.

Hari ini Dewan Negeri Selangor kembali bersidang bagi Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan Kedua Belas dari 9 hingga 13 Julai 2012. Antara kertas-kertas mesyuarat yang dibentangkan ialah Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2012 dan Rang Undang-Undang Enakmen Peruntukan Di Raja (Pindaan) 2012.

Sebagaimana biasa sidang bermula selepas Proklamasi ialah menjawab soalan-soalan lisan. Bagi soalan-soalan lisan ini semua soalan lisan yang dihantar oleh Adun Bangi (maksimum 10) diterima. Pagi ini sebanyak 11 soalan sempat dijawab bermula dengan soalan YB. Azmin (Bukit Antarabangsa) berhubung dengan Skim Mikrokredit Miskin Bandar (Mimbar). Soalan pertama Adun Bangi keluar bagi kali pertama ialah no.5 berhubung masalah sampah yang dijawab oleh Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan YB Ronnie Liu. Adun Bangi membuat soalan tambahan berhubung dengan apa yang dijawab Exco mengenai Zon Bersih dan Hijau. Ini diikuti dengan soalan tambahan dari ahli-ahli Dewan dari pihak Kerajaan dan Pembangkang.

Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan Tambahan 2012 dibentang oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor. Perbelanjaan tambahan bagi tahun 2012 adalah berjumlah sebanyak RM120,115,327.23 yang dipecah kepada 29 bahagian. Antara peruntukan tambahan tertinggi ialah bagi B-29 Perbendaharaan (Perbelanjaan Am) sebanyak RM18,155,122.00 diikuti peruntukan kepada B-14 Jabatan Agama Islam sebanyak RM15,550,833.05. Peruntukan ini pertama sekali dibahaskan oleh YB Azmin Ali (Bukit Antarabangsa) dengan panjang lebar. Peluang kedua menurut prosedur biasa diberi kepada Ketua Pembangkang YB Dato` Mohamad Satim (Seri Serdang). Agak kecoh YB Seri Serdang hadir, tetapi duduk di tempat rehat luar Dewan. Beliau tidak masuk, dijangka beliau tidak bersedia dengan bahan ucapan. Akhirnya tempat beliau diambil oleh YB Tuan Wong Koon Mun (Kuala Kubu Bharu). Demikianlah sikap Ketua Pembangkang yang membawa contoh yang tidak baik dan memalukan. Apakah sikap sedemikian layak untuk memimpin pemerintahan?

Sekian.

No comments:

Post a Comment