July 20, 2012

Berlumba-Lumba Membuat Kebajikan Sempena Ramadhan: Lembaga Zakat Selangor Mengeluarkan Peruntukan Bagi Penerima Zakat

Beranang, 28 Sya`ban 1433 = 18 Julai 2012 (Rabu):

Semua pihak berlumba-lumba membuat kebajikan sempena bulan Ramadhan. Kerajaan negeri Selangor mengeluarkan sebanyak RM1.7 juta untuk diagihkan kepada masjid dan surau bagi seluruh daerah di negeri Selangor. Adun-Adun juga mengeluarkan peruntukan mereka untuk diagih kepada masjid, surau dan golongan fakir-miskin di kawasan masing-masing. Syarikat, institusi dan orang perseorangan juga mengeluarkan peruntukan sempena bulan Ramadhan al-Mubarak.

Pihak Lembaga Zakat Selangor yang memungut zakat di negeri Selangor juga berkewajipan mengagihkan zakat kepada asnaf-asnaf yang ditentukan pada setiap kariah di daerah-daerah melalui pemimpin-pemimpin setempat bagi mengagihkan jumlsh yang ditentukan. Pungutan zakat di negeri Selangor meningkat dari tahun-ketahun.. Peningkatan ini bukan saja hasil dari pertambahan penduduk, tetapi juga dari kesedaran keislaman yang makin tinggi di negeri Selangor, khususnya selepas kerajaan Pakatan Rakyat memerintah. Misalnya pada tahun 2009 pendapatan zakat di bawah 200 juta, pada 2010 meningkat kepada RM240 juta dan pada tahun 2011 kepada RM320 juta. Ini bermakna peratusan yang didapati oleh Daerah, kawasan dan individu makin naik.

Pada hari ini Adun Bangi ke Beranang bagi menyertai Penyampaian Zakat fakir miskin di sana bertempat di Masjid Raja Alang, Beranang. Adun Bangi sepatutnya menyertai penyampaian bantuan Zakat di Masjid Al-Hasanah pada 9 Julai, tetapi oleh kerana pada tarikh itu Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor berjalan, Adun Bangi tidak dapat menyertai dan diganti oleh Ahli Parlimen Hulu Langat YB Dr. Che Rusli Che Mat, jadi pemergian Adun ke Beranang hari ini sebagai menggantikan tempat YB Dr. Che Rusli Che Mat. Menyertai urusan penyampaian di Masjid Raja Alang, Beranang, Hulu Langat hari ini ialah En. Nasaruddin bin Mohd. Ali, Pengurus Besar Kewangan Lembaga Zakat, En. Khairul Azhan bin Ahmat Ketua Operasi Daerah Hulu Langat, En. Kamaruzzaman bin Che Husein Penyelia Program, Ustaz Khaizir Penceramah, penghulu, ketua kampong, nazir, imam dan penerima-penerima bantuan zakat.Adun diberitahu oleh En. Nasaruddin Pengurus Besar, bahawa peruntukan yang dikeluarkan untuk Fasa Pertama di seluruh negeri Selangor ialah berjumlah RM17.7 juta bagi yang layak menerima peruntukan zakat, iaitu seramai 22,000 orang.

Hulu Langat ialah Daerah Kedua teramai menerima peruntukan bagi fakir-miskin, iaitu seramai 3,919 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3,003,470.00, iaitu selepas Petaling Jaya yang jumlah penerima ialah 4,000 orang. Bagi kawasan Beranang yang layak menerima peruntukan hari ini ialah seramai 258 ketua keluarga dengan sejumlah peruntukan sebanyak REM196,220.00. Setiap seorang menerima antara RM500 hingga RM1,000..Sebelum Majlis Penyerahan En. Nazaruddin berucap menerangkan peruntukan yang dikeluarkan pada tahun ini dan jumlah penerima di kawasan Beranang. Beliau menasihat mereka supaya menggunakan zakat yang diterima secara terbaik dan bermanfaat. Beliau juga memaklumkan jenis bantuan, tidak saja dengan kewangan, tetapi dalam bentuk bantuan modal juga latihan. Pihak zakat juga terlibat di dalam membina atau membaiki kediaman mereka yang daif.

Adun Bangi dalam ucapan ringkas menyebut bahawa para penerima peruntukan zakat hendaklah bersyukur kerana terpilih menerima zakat. Jumlah wang yang diterima adalah wang yang dikeluarkan oleh pengeluar-pengeluar zakat dengan tujuan murni, sebab iti gunakan wang yang diterima secara baik dan murni. Zakat antaranya untuk membantu orang miskin. Tuan-tuan dan puan-puan hendaklah bercita-cita bukan selama-lama untuk menjadi penerima, tetapi juga menjadi pengeluar dengan memasng azam untuk berikhtiar untuk mendapat pendapatan yang lebih agar dapat pula mengeluarkan zakat.

Adun mengucapkan Selamat Berpuasa pada bulan Ramadhan yang akan disambut dua hari lagi dan juga mengingatkan kewajipan mengeluarkan zakat Fitrah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment