June 29, 2012

YB Dato` Mahfoz Omar Rasmi Markas Pilihanraya Di `Rumah Sarawak` Bangi

Bandar Baru Bangi, 08 Syaaban 1433 = 28 Jun 2012 (Khamis):

Malam ini YB Dato` Mahfoz Omar Naib Presiden Pas merasmikan Markas Gerakan Pilihanraya bagi Seksyen Satu, Bandar Baru Bangi. Markas ini seberang jalan, betul-betul berhadapan dengan Pejabat Khidmat Masyarakat Adun Bangi yang juga sebagai Markas Pas Serdang. Rumah ini dibeli oleh Abang Ahmad Kerdee Masagos dan sebelum beliau berpindah ke sini sebagai kediaman tetapnya, beliau meminjamkan sementara kepada Pas Cawangan Seksyen Satu di BBB ini bagi dijadikan Markas Pilihanraya ke 13 sehingga selepas pilihanraya. Sejak sebulan lepas rumah yang telah rosak (rumah lama di Seksyen terawal di BBB) ini diperbaiki atas perbelanjaan Abang Ahmad sendiri. Beberapa kali gotong royong telah diadakan oleh ahli-ahli Cawangan Pas 1/7 dan 1/3 yang diketuai oleh Haji Kamaruddin Yusof Ketua Cawangan 1/7 BBB. Kami namakan markas ini `Rumah Sarawak`, bukan saja kerana rumah ini dibeli Abang Ahmad berasal dari Sarawak, tetapi kami juga akan menolong mengatur strategi dari markas ini bagi membantu pilihanraya di Sarawak yang dijangka Abang Ahmad akan bertanding di Sarawak. Sebelum ini beliau pernah bertanding pada peringkat Dewan Undangan Negeri di sana, tetapi kalah dengan majoriti tipis 300 undi. Dari markas ini akan dijadikan juga Markas Membantu Pas Sarawak menghadapi pilihanraya di sana. Sebagai bukti Majlis Penerangan dan Penerangan pada malam ini juga melancarkan pungutan derma bagi membantu Pas Sarawak, khusus Abang Ahmad bagi menghadapi pilihanraya ke 13 di Sarawak. Pungutan bantuan bukan setakat malam ini, tetapi berterusan dan sesiapa yang mau turut sama membantu dan berderma bolehlah menghubungi Pejabat Khidmat Masyarakat Adun Bangi.

Majlis Penerangan dan Perasmian pada malam ini bermula dari petang dengan pembacaan Yasin dan doa selamat, Penerangan mengenai pilihanraya dari Pengarah Tuan Haji Mazwan Johar, solat Maghrib berjamaah, makan malam dan Isya` berjamaah. Majlis Penerangan dan Perasmian bermula dari jam 9.00 malam dihadiri oleh YB Dato` Mahfoz Omar Naib Presiden Pas, Adun Bangi yang juga Ketua Cawangan 1/3, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang, Tuan Haji Mazwan Johar Timbalan YDP, Tuan Haji Kamaruddin Yusof Ketua Cawangan 1/7. Abang Ahmad selaku Tuan Rumah, Dr. Tajul Ariffin Noordin Mantan YDP Persatuan Penduduk BBB, Tuan Haji Sufi Munassir YDP Persatuan Penduduk BBB, ahli-ahli dari kedua-dua cawangan Seksyen Satu dan para hadirin yang berjumlah 500 orang.

YB Dato` Mahfoz yang datang dari Parlimen menyertai sidang hari terakhir hari ini dalam ucapannya menyatakan pihak BN kini paling takut kerana berdepan politik tidak menentu. Kemenangan Ikhwanul Muslimin di Mesir memberi kekuatan semangat kepada Pas tetapi menakutkan BN, kerana bimbang trend ini akan berlaku di Malaysia, bahawa BN akan jadi seperti rejim Mubarak! Sabah, Sarawak dan Johor adalah tali hayat BN. Mereka memasang agen-agen mempastikan tidak berlaku `Berpaling Tadah` pimpinan di ketiga negeri ini. Bagi kita Jalan ke Putrajaya, walau pun begitu dekat dengan Bangi ini, tapi bagi mempastikan kejayaan, perlu diruntuhkan ketiga-tiga kubu yang mereka anggap kuat bagi mereka. YB Mahfoz berkeyakinan rakyat makin sedar dan makin menyokong Pakatan Rakyat. Beliau menyebut, walaupun Dato` Dr. Hasan Ali menyerang Pakatan, tapi makin ramai tokoh-tokoh menyertai Pas. Ini memeningkan Dr. Hasan Ali. Ini bererti dia bukan faktor menggugat Pakatan Rakyat. Beliau berpendapat Rakyat mampu membuat perubahan. Kesedaran ini menjadi asset bagi Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya.

Sebelum daripada itu Adun Bangi menyampaikan ucapan menyelar pihak BN menggunakan wang rakyat berbilion-bilion ringgit bagi membeli undi rakyat secara rasuah kewangan melalui BRIM 1, mungkin BRIM 2 dan pemberian wang secara langsung kepada berbagai-bagai pihak. Tiada Perdana Menteri sebelum ini mengambil pendekatan menggunakan wang rakyat secara boros dan langsung. Dengan tindakan ini ia membawa Malaysia ke jurang bankrupsi sebagaimana negeri Greek. Idris Jala sendiri membuat spekulasi Malaysia akan bankrupt pada 2019. Kiranya mereka kalah mereka meninggalkan masalah kepada kerajaan baru – Kerajaan Pakatan Rakyat Insya Allah. Adun Bangi juga bercakap tentang ketiadaan leadership dari BN di Selangor. Mereka jangan harap untuk menawan Selangor. Najib tidak yakin dengan pimpinan BN yang ada di Selangor, kelihatan dalam mencari-cari. Dijangka pada hari Ahad nanti Dia akan turun dengan Ummi Hafilda ke Bangi, khabarnya. Kita tidak takut. Rakyat kenal siapa Ummi Hafilda sebagaimana mereka kenal Altantuya dan Rosmah!

Ustaz Shafie Ngah memberi tumpuan dalam ucapannya mengenai Umno yang tidak boleh diharap dari segi membela orang Melayu. Beliau menyebut pada tahun 1995 tanah reserve Melayu tinggal 1.7 juta hektar, hilang 44% dari jumlah asal. Akibat dari Projek Wilayah Iskandar di Johor orang Melayu kehilangan 20,000 hektar tanah dan dikuasai pemilik luar, khususnya Singapura. Pulau Redang Terengganu dikuasai Syarikat Vincent Tan. Mereka beli tanah dengan harga RM500 seekar dan jual dengan harga RM700,000. Felda yang disahamkan di BSKL melibatkan 20,000 hektar tanah reserve Melayu yang boleh tergugat jika saham Felda menghadapi kerugian.

Manakala Abang Ahmad bercakap tentang kedudukan ekonomi Sarawak yang dulu berada terkehadapan di Malaysia, kini makin menurun. Beliau berkeyakinan Sarawak akan berubah dan Pakatan Rakyat cerah pada pilihanraya ke 13 nanti

Sementara itu pada 25 Jun 2012 lepas satu ceramah juga telah diadakan di Padang Taman Putra Kajang (Dun Bangi) disampaikan oleh YB Dr. Mariah, YB Dr. Shafie Abu Bakar, Ustaz Shafie Ngah, Dato` Fauzi Shaari, sdr. Thani Hamzan, Ustaz Khalil bin Abdul Hadi dan sdr. Adram Musa. Pada malam itu diadakan Majlis Penyerahan borang-borang keahlian Pas oleh pemuda-pemuda yang keluar dari Umno.

Sekian.

No comments:

Post a Comment