June 15, 2012

Menyampaikan Peruntukan Negeri Selangor Kepada Sekolah Sri Al-Amin Bangi

Sekolah Sri Al. Amin, Bangi, 24 Rejab 1433 = 14 Jun 2012 (Khamis):

Petang ini Adun Bangi menyerahkan kepada Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Sri Al-Amin Tuan Haji Muhammad Ridzuan Jaafar cek dari Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor YB Dr. Hajah Halimah Ali cek berjumlah RM100,000 bagi pembangunan Sekolah Sri Al-Amin.

Majlis penyerahan cek ini dilakukan selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Adun Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar. Sekolah Sri Al-Amin adalah salah sebuah dari 180 sekolah yang diberi peruntukan pada tahun ini, iaitu dari peruntukan sejumlah RM6 juta. Berbanding dengan Sekolah Cina berjumlah 89 buah yang juga peruntukan RM6 juta. Sebelum ini Adun telah menyampaikan bantuan kepada Sekolah Yoke Min Pekan Bangi pada 7.6.2012 sejumlah RM40,000.

Hadir sama pada majlis penyampaian cek tersebut ialah Penasihat Sekolah Profesor Dr. Kamal Nasharudin, YDP Pertubuhan IKRAM Hulu Langat Tuan Haji Sufyan Mohd Nor, YDP PIBG Dr. Mohd Fadzil Md. Siam, Pengetua Sekolah Menengah Sri Al-Amin Bangi Muallimah Rohida Jamaluddin, Guru Besar Sekolah Rendah Al-Amin Bangi Muallim Ahmad Fadhli Mohd Faudzi, guru-guru dan kakitangan Sekolah Sri Al-Amin, Bangi, para ibu bapa, pelajar, murid dan Ahli IKRAM Daerah Kjang, Hulu Langat dan Sepang.

Berucap pada Majlis Penyerahan Peruntukan Tuan Haji Redzuan melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana Sekolah Al-Amin berjalan dengan baik, ditambah kerjasama dengan Kerajaan Negeri dan JAIS. Sekolah mendapat pengiktirafan yang tinggi misalnya beliau sebagai Pengerusi Lembaga Sekolah dijemput menyampaikan kursus kepada guru-guru Sekolah agama swasta dan persendirian anjuran JAIS dalam minggu ini bertempat di Banting, pihak Sekolah mendapat kerjasama dengan Universiti Sultan Idris yang membolehkan guru-guru mengikuti diploma pendidikan – termasuk guru-guru dari Rangkaian MUSLIH. Sekolah juga bekerjasama dengan Sekolah Agama Al-Junaid, Singapura dan Hadnyai Islamic School, Thailand. Tuan Haji Redzuan juga menceritakan kejayaan pelajar-pelajar Sekolah Sri Al-Amin. Beliau memaklumkan antara program yang akan diadakan ialah Program Semarak Kasih (23 Jun) bagi mengumpul dana bagi kegunaan musalla dan Al-Amin Evergreen yang mengumpulkan alumni Al-Amin bagi bergotong royong bagi menghijaukan kampus Al-Amin.

Turut berucap ialah Tuan Haji Sufyan Mohd Nor YDP Pertubuhan IKRAM HUlu Langat yang bersyukur Sekolah Sri Al-Amin menjadi pilihan Ibu bapa dan ramai dari mereka mau hantar anak-anak mereka belajar di Sri Al-Amin, tetapi sebahagian terpaksa ditolak oleh kerana kekurangan tempat. Sekolah Al-Amin menurutnya mempunyai matlamat yang jelas iaitu meningkatkan Islam yang salah satu pendekatan ialah melalui pendidikan. Melalui saluran inilah jamaah dalam IKRAM usahakan.

Adun Bangi dalam ucapannya mengucap tahniah di atas pencapaian Sekolah dan pengiktirafan yang diberi oleh negeri, JAIS, institusi-institusi, masyarakat dan ibu bapa.

Adun Bangi berpendapat, kemajuan Sekolah yang dicapai dengan adanya modal insan yang terdiri dari kalangan intelektual yang menjana fikiran dan mentadbir Sekolah serta merangka kurikulum dan pendekatan pendidikan yang comprehensif. Menurut Adun, Sekolah Sri Al-Amin adalah Sekolah swasta yang termaju di Bangi, di Hulu Langat dan di Negeri Selangor. Adun berbangga. Sekolah Sri Amin secara langsung atau secara tidak langsung menyerlahkan imej Bangi Bandar Ilmu.

Berhubung dengan Bangi Bandar Ilmu, pihak Adun akan mengadakan sambutan ulangtahun pengisytiharaan Bangi Bandar Ilmu pada 22 Jun 2012, iaitu tarikh yang dirasmikan Bangi Bandar Ilmu oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor pada 22 Jun 2008. Berbagai kegiatan akan diadakan. Adun menekankan bahawa bidang pendidikan antara bidang yang diberi keutamaan oleh Adun dalam gerakerja dan kegiatan yang dianjur oleh Adun.

Majlis Penyampaian cek disampaikan oleh Adun kepada Tuan Haji Muhammad Ridzuan Jaafar Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Sri Al-Amin Bangi. Turut disampaikan tiga naskhah buku Bangi Bandar Ilmu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment