May 6, 2012

Pelajar Tuisyen DUN Bangi Berkunjung Ke Pameran Buku Di PWTC

BBB, 09 Jamadil Akhir 1433 = 01 Mei 2012 (Ahad):

Kerajaan Negeri Selangor di bawah Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan amat prihatin tentang pelajaran. Antara perhatian yang diberi ialah membuka kelas-kelas tuisyen sebagai bimbingan kepada pelajar-pelajar miskin untuk menghadapi peperiksaan SPM setiap tahun. Sebagaimana di Dun-Dun yang lain, maka demikianlah di Dun Bangi juga diadakan Kelas Tuisyen sebanyak 3 kelas atau jumlah pelajar yang dibimbing bagi satu Dun biasanya 100 orang, tetapi ada yang atas inisiatif Adun di Dun masing-masing menambah jumlah kelas dan pelajar.

Di Dun Bangi juga Kelas Tuisyrn ini tidak saja dibiarkan dijalan menurut tadbiran pada peringkat negeri, tetapi pihak Pejabat Adun mengadakan nilai tambah bagi meningkat prestasi pelajar-pelajar yang dibimbing melalui PAKSI,Bangi Bandar Ilmu dan badan bimbingan. Misalnya di Dun Bangi:

  1. Menambah mata pelajaran bimbingan, iaitu mata pelajaran Sains dengan peruntukan tambahan dari Adun.
  2. Mengadakan seminar dan bimbingan menghadapi peperiksaan – beberapa kali setahun sama ada pada peringkat Dun, atau kerjasama antara Dun-Dun.
  3. Membawa pelajar-pelajar ke kawasan rekreasi, seperti tepi laut, kem latihan, di pusat pengajian tinggi. Mereka diberi motivasi dan bimbingan oleh pakar-pakar motivasi.
  4. Mengadakan majlis-majlis keraian kepada pelajar-pelajar bagi memberi semangat belajar atau penghargaan di atas kejayaan selepas peperiksaan.
  5. Menghantar mereka ke Pameran Buku, bagi memupuk jiwa mereka sukakan buku dan suka membaca.

Maka pada pagi ini pihak badan yang dinamakan Team Circle yang ditubuh oleh Usrah Nisa` bagi mengendalikan urusan bagi membawa pelajar-pelajar Tuisyen Dun Bangi ke Pameran Buku di PWTC sebagai pendedahan luar bagi mereka dan memupuk semangat cintakan buku dan membaca.

Kumpulan Team Circle ini dipengerusikan oleh Saudari Nulyanti binti Ahmad dengan Timbalannya saudari Asiah binti Abdul Ghani. Manakala pembimbing pelajar lelaki yang lebih kecil jumlahnya dibimbing oleh saudara Waliyuddin bin Baharuddin, kakitangan dari Pejabat Pas di Bangi. Kertas kerja disediakan sebulan sebelum hari ini bagi mendapat peruntukan dari Adun dan permohonan mereka diluluskan. Dua buah bas ditempah bagi membawa 80 orang pelajar.

Dalam masa seminggu sebelum tiba hari ini, Adun melihat hampir setiap malam AJK bermesyuarat dan membuat persediaan. Mereka tidak setakat melawat, tetapi ada usrah, penerangan dan bimbingan. Pada malam sebelum bertolak paginya, AJK membuat persediaan sehingga melewati tengah malam.

Tempat bertolak ke PWTC adalah dari Pejabat Adun bermula jam 9.00 pagi. Pelajar-pelajar dihantar oleh ibu bapa mereka dan mereka makan pagi di pejabat yang disediakan oleh pihak pengurusan. Makan minum di tempat lain juga disediakan oleh pihak pengurusan.

Sebelum mereka bertolak Adun datang bercakap dan bergambar bersama mereka dan seterusnya melepaskan mereka bertolak ke Pameran Buku di PWTC. Pemergian dan kepulangan pada sebelah petangnya berjalan dengan baik dan tidak ada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Syukur Al-Hamdulillah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment