April 2, 2012

Program Jelajah PADAT: Kelima Di Hulu Langat

BBB, 08 Jamadil Awal 1433 = 31 Mac 2012 (Sabtu):

Satu program yang dijalankan oleh Perbadanan Permuziuman, Adat Melayu dan Warisan (PADAT), ialah program Mencungkil, Memperkenal Dan Menghidupkan Elemen Bahan Permuziuman, Adat Melayu Dan Warisan yang releven melalui Jelajah Daerah sejak tahun 2011 yang lepas. Setakat ini lima program di lima daerah dapat diadakan, iaitu bermula dari Klang, Sepang, Kuala Langat, Gombak dan terakhir hari ini di Bangi, Hulu Langat. Empat program yang dijangka akan berlangsung ialah di Kuala Selangor (April), Sabak Bernam (Mei), Hulu Selangor (Jun) dan terakhir di Ibu Negeri, Shah Alam (Julai) – Tertakluk pada perubahan.

Mekanismenya pihak PADAT bekerjasama dengan jabatan-jabatan seperti Pejabat Daerah, JKR, PBT, PAID, dan agensi-agensi Kerajaan seperti PKNS, Pelancongan, Penghulu-penghulu, Ketua-ketua kampong, NGO dan badan-badan tertentu bagi mengadakan program di satu-satu daerah. Program yang diisi bermula dari malamnya diadakan Forum Perdana atau ceramah di stadium, padang atau di masjid sesuatu daerah yang terpilih. Pada hari program dijalankan diisi dengan Acra Perasmian, Pameran, Pertandingan Masakan, Pertandingan Permainan, Acara Perkahwinan, Tarian & Muzik (termasuk Peralatan Muzik), Pertandingan Membaca Qur`an (berlagu), Barzanji dan Marhaban, Nasyid & Lagu, Pertandingan Menggubah Bunga, Sireh Junjung, Pertandingan Permainan Tradisional seperti Dam, Layang-Layang, Gasing, Sepak Raga (Takraw), Galah Panjang, Pertandingan Pakaian Tradisional, Menjahit, Memakai Pakaian Tradisional, tudung, serban, tanjak, bersongkok – Pertandingan Bersastera seperti berpantun, bersyair, berteromba, membaca puisi, membaca teks cerpen atau fragmen dari noval, Pertandingan Menganyam Ketupat, Tikar, Atap Rumbia, Bidai Rotan, Buluh dan Bemban, Menggubah Bahan Tanah Liat dan Tembikar, Pertandingan Ukiran Kayu, Cermin dan Besi – termasuk Bengkel Membuat Senjata, Pertandingan Menulis Khat & Kaligrafi, Pertandingan Membuat Bubu, Tuau, Pukat dan Jala, Pertandingan berperahu, Menarik Upih, membuat Timba (dari Upih), Pertandingan Membaca, Mengira, Mengeja, demonstrasi herba-herba yang mempunyai nilai perubatan dan kesihatan, menjejaki tokoh dan sejarah tempatan dan sebagainya.

Sebagai contoh Jelajah PADAT di Hulu Langat hari ini bertempat dihadapan Komplek PKNS adalah mengikut pattern jelajah yang lepas dalam mana kegiatan di bawah khemah dan atas pentas dengan dihadiri oleh VIP-VIP seperti Y.B.Dr Che` Rusli Che` Mat Ahli Parlimen Hulu Langat, Puan Nur Faezah bt. Omar Ketua Timbalan Pegawai Daerah Hulu Langat, En. Zulkifli Khalid Timbalan YDP MPKj, Puan Hajah Azlinda bt. Azman Ketua Executif PADAT, Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampong dan orang ramai. Perasmian Program PADAT pada pagi ini patut dilakukan oleh Y.B.Dr. Ahmad Yunus Exco Belia, Sukan dan Adat Resam Melayu, tetapi oleh kerana beliau mempunyai program di Shah Alam, Adun Bangi selaku Pengerusi PADAT diminta merasmikannya dan Y.B.Dr. Ahmad Yunus akan merasmikan Penutup pada petang nanti.

Program yang bermula malam tadi dengan ceramah Adat dan Warisan Dari Perspektif Islam di Masjid Hasanah oleh Ustaz Muhammad bin Abdullah penceramah bebas, maka pagi ini dibunga-bunga dengan acara pra-perasmian seperti menyambut Perasmi dengan Silat Menyambut Tetamu, taridera pembukaan. Ucapan alu-aluan selamat datang disampaikan oleh Puan Faezah beliau bertrima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama bagi menjayakan Program Jelajah PADAT, manakala Adun Bangi Selaku Pengerusi PADAT menrangkan tentang program dan objektif Program Jelajah PADAT serta program mendatang. Menurut Pengerusi PADAT, sebenarnya Selangor tidak miskin dari identiti, tetapi selama ini tidak dikenal-pasti. Beliau berharap melalui penerokaan dan penggalian sumber Permuziuman, Adat Melayu dan Warisan akan menyerlahkan ciri dan identiti negeri Selangor.

Pengisian Program pada pagi ini adalah menurut program dan pola pendekatan yang dilakukan beberapa kali yang lepas, Cuma berlainan ialah dari segi pilihan yang ditonjolkan. Program melibatkan anak-anak dan pelajar-pelajar seperti melukis, bermain buah dadu, bermain congkak. Bagi kalangan wanita yang paling popular ialah memasak makanan dan lauk tradisional berbagai kategori, menggubah Bunga dan Sireh Junjung (Lelaki juga turut menggubah), manakala bagi lelaki seperti bermain dam Haji.

Kegiatan berterusan dari pagi ke petang. Pengadil dijemput dari kalangan professional dalam bidang masing-masing. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Y.B. Dr. Ahmad Yunus yang datang pada sebelah petang dan secara ringkas merasmikan acara penutup selepas menyampaikan ucapan ringkat. Beliau juga berterima kasih kepada semua yang menjayakan program dan di atas kehadiran orang ramai. Beliau berharap kepada hadirin, terutama dari kalangan generasi muda dapat memahami cara hidup masyarakat tardisi dengan keperluan dan penggunaan alat-alat yang jarang di dapati kini. Melalui program dapat kita menghayati kehidupan nenek moyang kita, cara kehidupan, makan, pakaian, bahkan sumber ekonomi dan kehidupan mereka.

Dilihat dari segi objektif biasa, program disifatkan sebagai berjaya tidak kurang daripada apa yang telah diadakan sebelum ini, tetapi dari objek dan hasil yang dapat dicapai tidak sepenuhnya. Misalnya Pameran seharusnya tidak bersifat dari satu pihak, iaitu dari PADAT. Apa yang diharapkan dari Penghulu-Penghulu dan Ketua-Ketua Kampong dapat mempamerkan barang lama dan menarik yang mungkin terdapat di kampong-kampong. Barang-barang yang menarik boleh didapati atau dibeli oleh Muzium menjadi koleksi tambahan. Bagi pertandingan memasak menu hendaklah disertakan secara bertulis agar ianya menjadi koleksi muzium yang boleh diterbit dan disebarkan penggunaan contoh masakan lauk JONGET yang unik, menarik dan sedap dimakan. Sebenarnya program agak sedikit, ianya boleh ditambah dari contoh-contoh perkara yang disenaraikan di atas. Tujuan untuk mendapat maklumat hendaklah dipentingkan dari hanya memberi maklumat, tetapi seharusnya juga bermanfaat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment