April 17, 2012

Poliklinik Pakar An-Nur Adakan Hari Terbuka: Adun Bangi Rasmikan - Adun Bertukar Cenderahati Buku Dengan Tesis Ph. D. Perubatan

Reko Sentral, Kajang, 23 Jamadil Awal 1433 = 15 April 2012 (Ahad):

Hospital An-Nur yang beroperasi di Seksyen 9 berdekatan Hospital Az-Zahrah berhadapan Masjid Al-Hasanah kini mempunyai 6 cawangan. Cawangan terbaru ialah Poliklinik Pakar An-Nur di Reko Sentral yang baru dibuka pada awal April 2012 ini.

Dalam rangka mempromosi dan menghebahkan kewujudan dan kehadiran Poliklinik Pakar An-Nur di sini, maka pihak Poliklinik mengadakan Hari Terbuka pada hari ini.Adun Bangi diberi penghormatan merasmikan Hari Terbuka Poliklinik An-Nur ini.

Majlis Perasmian bagi Hari Terbuka bertempat di bawah khemah berhadapan Poliklinik bermula dari jam 10.30 pagi dengan dihadiri antaranya Tn.Hj. Shaharom Md Shariff Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar An-Nur, Dr. Amaluddin Ahmad (Dr. A. Ahmad) Pakar Perunding Kanak-Kanak, Dr. Nor Aliza Abd. Ghaffar Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan seterusnya peserta-peserta dan pengunjung-pengunjung bagi rawatan percuma sempena Hari Terbuka..

Dalam ucapan ringkas Dr. Amaluddin mengucapkan terima kasih di atas kehadiran Adun bagi merasmikan Hari Terbuka dan juga kehadiran para hadirin yang datang menyertai Hari Terbuka. Beliau memaklumkan, bahawa Poliklinik ini adalah Poliklinik keenam dibuka di bawah Hospital Pakar An-Nur. Menurutnya, ``Matlamat kami ialah menyediakan kemudahan perkhidmatan kepada masyarakat di samping bertujuan beribadat.`` Berikutnya beliau membaca doa untuk memberkati Majlis Pembukaan. Dr. Amaluddin adalah tenaga Pakar Utama di Hospital dan rangkaian Poliklinik An-Nur memperolehi Ijazah pertama Perubatan M.D. (UKM), M.Med (Paeds), Ijazah M.Sc (Community Paediatrics) UK dan Doctor of Philosophy (Ph. D) in Medicine (Community Child Health) Warwick University 2011. Beliau adalah Mantan Pensyarah di Fakulti Perubatan USM.

Tuan Haji Shaharom adalah Tenaga Tadbir Utama Hospital dan Poliklinik An-Nur. Di bawah kepimpinannya rangkaian Hospital & Poliklinik An-Nur berkembang sehingga kepada enam cawangan. Beliau mengambil pendekatan Mesra Rakyat antaranya sebagaimana contoh yang dilakukan pada hari ini. Menurut Tuan Haji Shaharom menyatakan dalam ucapannya, ``Dalam perancangan bagi jangka panjang, Hospital An-Nur akan mempunyai bangunan utamanya tersendiri yang tapaknya bersebelahan kompleks yang sedang dibina berhampiran Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi Seksyen 15 yang merupakan Gateway yang begitu strategik berdekatan dengan jalan masuk Tol Bangi. Hospital An-Nur di sini merupakan bangunan 8 tingkat yang dapat memuatkan lebih dari 200 katil. Di hospital ini menurut Tuan Haji Shaharom akan mempunyai 45 orang pakar. Ianya juga merupakan Hospital Latihan.

Adun Bangi Dalam ucapan perasmian menyatakan kegembiraan dan mengimbau kepada jemputan seumpama ini pada tahun 2009 di Hospital Pakar An-Nur hadapan Masjid Al-Hasanah, bahawa cadangan untuk mendapat tapak bagi pembinaan Hospital Latihan dan Pendidikan telah dimaklumkan kepada Adun pada masa itu. Oleh kerana pada zahir tidak nampak berkembang, Adun menganggap sebagai tidak jadi, hari ini jelas projek berkenaan berjalan dan sebagaimana dimaklumkan kini pada peringkat pembinaan tapak. Kita berharap bila siap kelak ianya menjadi sebagai landmark dan pusat perubatan penting di sini yang dapat menarik pengunjung-pengunjung perubatan tempatan, dalam dan luar Negara dan mengukuhkan Bangi Bandar Ilmu dari segi perubatan.

Dalam kehidupan canggih dan moden dan penduduk Bangi yang boleh dikategorikan sebagai golongan menengah atas dan sederhana memerlukan perkhidmatan perubatan yang standard yang mungkin tidak dapat diisi keperluan berkenaan oleh hospital biasa, tetapi oleh pihak swasta sebagaimana akan ditawarkan oleh Hospital Pakar An-Nur. Dengan pertambahan penduduk di Bangi melebihi 120,000 sememangnya Hospital Pakar diperlukan. Suasana sekarang mencerminkan keperluan berkenaan, walaupun sudah ada beberapa hospital dan poliklinik, masih tidak cukup hospital dan klinik bagi penduduk BBB, peranan inilah menurut Adun dapat dipenuhi oleh Hospital dan rangkaian Poliklinik An-Nur.

Walau bagaimana Adun mengingatkan, janganlah jadi hospital atau poliklinik sebagai sumber bagi menghimpun pendapatan kewangan semata-mata, tetapi hendaklah juga mempunyai niat untuk berkhidmat dan membuat kebajikan. Ini seharusnya dapat dilihat oleh masyarakat, sebagaimana Hari Terbuka hari ini. Banyak khidmat-khidmat masyarakat yang dapat dilakukan. Khidmat dan kebajikan terhadap masyarakat, pada hakikatnya bukan menyebabkan kerugian, sebaliknya berperanan sebagai publisiti dan promosi yang dapat menarik masyarakat. Jadikan hospital dan poliklinik sebagai saluran pendapatan dan juga saluran kebajikan. Adun doakan semoga Hospital dan rangkaian Poliklinik An-Nur akan terus maju jaya dengan mendapat sokongan dan kepercayaan masyarakat.

Hari Terbuka pada hari ini dipenuhi dengan pemeriksaan kesihatan percuma – kanak-kanak, ibu mengandung, pemeriksaan payu dara dan pemeriksaan orang dewasa, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, Aksi Belon Man, ceramah oleh Dr. Amaluddin Ahmad Pakar Perunding Kanak-kanak berjudul Imunisasi Kanak-Kanak, Penjagaan Ibu Mengandung oleh Dr. Nor Aliza Abd. Ghaffar, Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan.

Selepas perasmian ialah penyampaian hadiah. Antaranya Adun bertukar-tukar hadiah dengan Dr. Amaluddin, Adun menghadiahkan kepada Dr. A. Ahmad buku Bangi Bandar Ilmu, manakala Dr. A. Ahmad menghadiahkan satu salinan Tesis Ph. D Perubatannya berjudul, ``A Study On Social Determinants of Infant Mortality In Malaysia`` yang dipersembahkan kepada Warwick Medical School Section of Child Health, University of Warwick 2011.

Sekian.

No comments:

Post a Comment