April 28, 2012

Kemahiran Amal Islami (KAMIL) Zon Kajang Meriah


Sungai Ramal Luar, 29 Jamadil Awal 1433 = 21 April 2012 (Sabtu):
Program KAMIL adalah merupakan Program  Tahunan dilibati oleh semua Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRI) di negeri Selangor.Ia melibatkan pertandingan ko-kurikulum antara Sekolah pada peringkat Daerah sebelum tiba pada peringkat negeri. Tetapi bagi daerah yang luas dan mempunyai banyak SRA & SRI, bagi melicinkan perjalanan pertandingan dan kesesuaian masa yang dapat dihabiskan dalam sehari, maka bagi daerah ada yang memecahkan kepada zon. Contoh bagi Hulu Langat Ada 100 buah Sekolah, dipecahkan kepada Zon Ampang dan Zon Kajang.


Pada hari ini adalah merupakan pertandingan bagi peringkat Zon Kajang, Daerah Hulu Langat 2012. Sekolah yang dipilih bagi Zon Kajang bagi KAMIL pada kali ini ialah Sekolah Rendah Agama Sungai Ramal Luar. Bagi zon ini melibatkan sebanyak 22 buah Sekolah Rendah Agama. Pertandingan bermula dari jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang. Adun Bangi dijemput bagi Penyampaian Hadiah & Perasmian Penutup.


Hadir pada Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutup pada tengahari ini ialah Tuan Haji Yusof Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Ustaz Jamaludin Sihab selaku Pengerusi Sambutan, Ustaz Zunnurain selaku Timbalan Pengerusi, Ustazah Zarina Mat Nor selaku Setiausaha dan Ustazah Tujimah Ali selaku Bendahari disamping AJK-AJK, guru-guru, ibu bapa dan pelajar-pelajar. Pengerusi mengalu-ngalukan kehadiran Adun dan tamu-tamu. Beliau berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama sehingga berjayanya KAMIL. Adun juga di dalam ucapan perasmian berterima kasih di atas jemputan. KAMIL menurut Adun, bukan setakat pertandingan tetapi mempraktik dan memperbaiki apa yang dipelajari di dalam berbagai-bagai bidang – terutama yang dipertandingkan seperti Tilawah Al-Qur`an, Kalam Jama`I, Solat janazah, Khutbah Jumaat, Azan, Iqamah, Nasyid, Pidato, Tafsir, Khat, Muhawarah, Bahasa Arab dan sebagainya. Melalui Kamil menurut Adun, ``Dapat mencungkil bakat-bakat terpendam yang dapat diketengahkan, bahkan boleh menjadi kerjaya bagi mereka pada masa hadapan. Contoh bagi yang mahir dan berkebolihan membaca Al-Qur`an boleh menjadi guru Al-Qur`an, yang berkemahiran berpidato boleh menjadi pemimpin, yang baik di dalam nasyid boleh menubuhkan kumpulan nasyid. Adun berpendapat KAMIL sebenarnya jauh mendahulu pertandingan memilih Imam Muda yang dipopularkan di dalam TV. Sebab itu Adun berpendapat, ``Usaha hendaklah dilakukan bagi menonjolkan bakat dan menggunakannya bagi kepentingan KAMIL misalnya dengan menerbitkan lagu-lagu nasyid terpilih bagi disebarkan ke tengah masyarakat. Merakamkan pembacaan Al-Qur`an dari pelajar-pelajar yang baik di dalam bacaan Al-Qur`an dan sebagainya.


Sebagai acara puncak yang ditunggu-tunggu oleh guru dan pelajar setiap sekolah ialah pengumuman pemenang-pemenang setiap kategori pertandingan. Setiap kali pengumumam pertandingan dibuat pelajar-pelajar menyambutnya dengan sorakan kegembiraan di atas kemenangan masing-masing berikutnya penyampaian hadiah.

Dari keputusan-keputusan yang diumumkan, nampaknya tidak semua hadiah dimonopoli oleh Sekolah-sekolah terkenal. Sebaliknya ada Sekolah yang tidak begitu terkenal dan terpencil memenangi hadiah baik bagi peringkat individu dan kumpulan.

KAMIL nampaknya menyediakan wadah yang baik menyerlahkan bakat-bakat pelajar dan juga kemajuan sesebuah Sekolah. Tahniah kepada semua yang berjaya dan bagi yang kurang berjaya mempunyai peluang bagi memperbaiki kedudukan pada masa akan datang.


Sekian.

No comments:

Post a Comment