March 16, 2012

Bersama Dengan Peserta Kem Saintis Mukmin

Masjid Al-Hasanah, 23 Rabiul Akhir 1433 = 16 Mac 2012 (Khamis):

Sempena cuti Sekolah, walaupun seminggu, pihak prihatin mengambil kesempatan mengisi masa lapang pelajar-pelajar, agar masa yang berharga tidak berlalu begitu saja. Tradisi menganjurkan Kem Motivasi, Kelas Bimbingan, Retreat, Daurah, Bimbingan Al-Qur`an dan sebagainya dianjur oleh badan-badan seperti Nisa` , Paksi dan sebagainya dengan kerjasama Adun dan pihak yang lain.

Sebagai lanjutan dari Kursus Bimbingan Al-Qur`an yang pernah diadakan sebelum ini maka pada hari ini sempena tutup Sekolah selama seminggu ini pihak Paksi, Nisa` dan Jasa dengan kerjasama Masjid Al-Hasanah dan Pejabat Adun Bangi menganjurkan satu kelainan program yang dinamakan

Kem Saintis Mukmin – Dengan Motto `Saintis Mukmin Harapan Ummah`.

Bertempat di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi mulai dari 12 hingga 15 Mac 2012 kem diadakan. Tawaran bagi mengikuti Kem ini terbuka kepada pelajar-pelajar Sekolah Rendah di sekitar Bandar Baru Bangi. Penyertaan amat menggalakkan, seramai 73 pelajar menyertai Kem dengan tenaga pengendali 27 orang. Terdapat beberapa orang pelajar datang dari luar Bangi kerana berminat mengikutinya.

Hari ini Adun dijemput bagi merasmikan Majlis Penutup bagi Kem Saintis Mukmin. Turut sama di dalam majlis ialah Tuan Haji Hanafiah Sha`arani Nazir Masjid Al-Hasanah yang merasmikan Pembukaan Kem Saintis Mukmin ini pada Ahad 12 Mac 2012.

Dalam kata-kata aluannya Ketua Pengarah Program saudara Mohd Zaid bin Sabran menyatakan, ``Tujuan Kem Saintis Mukmin diadakan ialah bagi memberi pengisian bermanfaat kepada kanak-kanak semasa musim cuti Sekolah dan menanamkan sifat ingin tahu kepada generasi muda di samping menekankan hubungan rapat sains dan Islam.`` Objektif Kem Saintis Mukmin ialah:

  • Membimbing dan membantu kanak-kanak agar dapat mempertingkatkan pengetahuan dan amalan Al-Qur`an
  • Membimbing kanak-kanak mengamalkan Sunnah dalam kehidupan seharian dan hikmahnya menurut perspektif sains.
  • Memupuk semangat ingin tahu dan mengkaji sesuatu ilmu.

Dalam ucapan perasmian penutup Adun Bangi mengucap tahniah kepada penganjur kerana mengadakan Kem Saintis Mukmin secara pendekatan inovatif yang dapat menarik jumlah peserta yang agak ramai. Beliau menyebut bahawa kita umat manusia hidup dalam rumah yang bernama alam yang luas – termasuklah bumi, matahari, bulan, segala planet dan bintang-bintang. Bagi kesempurnaan hidup kita kena kenali dan memahami alam keliling kita, bahkan mengambil manfaat daripadanya bagi kepentingan hidup kita. Memahami dan mengambil manfaat daripadanya tidak lain daripada memerlukan ilmu. Sebab itu, maka Islam menuntut kita mempelajari ilmu sebagaimana ayat Qur`an pertama diturunkan menyuruh kita membaca, ialah bagi mempelajari ilmu. Ilmu keliling kita, ilmu yang bersifat benda dan bukan benda. `Saya percaya``, kata Adun, ``Anak-anak – pelajar-pelajar didedahkan dengan asas-asas ilmu, mengenali huruf, membaca dan mengira. Melihat tumbuh-tumbuhan yang berada di keliling kita, binatang yang hidup, bahkan kenderaan bergerak yang kita naiki. Memahaminya tidak lain dari ilmu.`` Tambah Adun, `Dalam istilah keilmuan Islam amat rapat dengan alam seperti ilmu, alam, maklumat, alim, ilmiah, ulama` yang menandakan kaitan rapat ilmu dengan kefahaman terhadap alam keliling.` Kata Adun, ``Saya percaya daripada Kem ini dapat menanamkan minat terhadap pelajar-pelajar mencintai ilmu dan menyediakan asas yang kukuh bagi anak-anak meneroka ilmu pengetahuan secara bertahap.` Adun berharap kem atau kursus yang advance akan dapat diadakan pada masa akan datang. Adun bersedia bekerjasama di dalam berbagai kegiatan keilmuan yang memang diberi priority oleh Adun.`

Pada majlis ini juga ditayangkan pertunjukan multi media, demonstrasi sains yang menarik minat pelajar-pelajar mengerumuni guru yang menjalankan demonstrasi berkenaan. Ibu bapa yang turut hadir sebok sama mengambil gambar.



Pelajar-pelajar dilatih dan digalakkan menggunakan minat dan kreativiti mereka seperti membuat roket dan rekaan-rekaan yang diminati mereka. Selepas itu penyampaian hadiah diadakan bagi individu dan juga pasukan. Peserta lelaki terbaik ialah:

Lutfi Kamaruzzaman, manakala

Peserta perempuan terbaik ialah:

Fatimah Ummu Aiman.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Adun.

Terima kasih. Sekian.



No comments:

Post a Comment