February 8, 2012

Tumbuhan Juga Perlu Kepada Rasa Kemanusiaan Dan Berhak Hidup Bagi Kepentingan Kehidupan !

(Anekdot)

Sebagaimana biasa pada tengahari itu aku pulang dari pejabat, sedang isteri masih lagi di dapur memasak makanan tengahari. Biasanya sebelum tiba waktu makan bersama, sambil menunggu, aku duduk bersandar di kerusi mengikuti berita dan perkembangan semasa dari tv. Kadang-kadang kerana keletihan tidak sebanyak mana berita diikuti aku tertidur yang menjadikan aku bukan lagi melihat berita, tetapi berita melihat aku.

Tatkala menghadapi makan tengahari dihidang isteri dan aku lihat ada sambal belacan, aku segera bangun mahu bergerak keluar. Isteriku bertanya, ``Hendak ke mana?`` Aku spontan menjawab,

``Mahu petik pucuk daun jambu golok untuk dibuat ulam!``. Mendengar jawapan dariku isteriku berkata secara bersungguh dengan tangannya bergerak sebagai memanggil ke arahnya dan berkata, ``Jangan petik pucuk jambu golok itu, ada bunga keluar nak berbuah!`` Dari larangan isteriku itu, aku terhenti dan tak jadi keluar.

Sebenarnya, sejak lebih lima tahun lepas, aku beli dari Pasar Tani satu pokok jambu golok atau lebih dikenali buah gajus, yang disemai dalam bekas plastik hitam. Pokok ini aku tanam di tepi rumahku yang tanahnya agak sempit bertujuan untuk memetik daunnya bila tumbuh besar sebagai ulam. Pokok ini dan pokok-pokok lain di tepi rumahku aku siram sekali setiap hari jika tidak hujan. Pokok jambu golok ini terus tumbuh dan mengeluarkan pucuk berwarna merah dan enak dijadikan ulam nasi atau ulam laksa kuah putih yang biasanya kami beli atau order dari Terengganu. Boleh dikatakan seminggu sekali pucuk jambu golok ini dipetik dan pokok berkenaan tidak berpeluang berdaun lebat dan tidak membesar, bahkan bila tumbuh dahan-dahan, aku sengaja mencantasnya, agar pucuk tumbuh lebih banyak dan dapat digunakan buat ulam dan pokok tidak membesar. Bukan banyak sangat pucuk dapat dipetik. Habis sangat dapat secekak daun, tapi cukuplah untuk membuat ulam. Pendek kata untuk ulam daun jambu golok, tidaklah sampai kami membeli.

Entah macam mana dalam beberapa minggu ini, aku terlampau sibuk dengan tugas di Bangi dan juga Shah Alam, sehingga aku tidak hirau untuk memetik daun jambu golok, menyebabkan pokok jambu golok berkesempatan mengeluarkan daun. Jika isteriku yang petik, biasanya dia petik tidak sebanyak aku petik, aku ambil semua yang ada, tetapi isteriku lebih bertimbang rasa. Dia memetik sekadar satu dua pucuk yang dipatahkan. Nampaknya dia lebih bersimpati kepada pokok jambu golok untuk mengeluarkan daun dan membesar, sedang selama ini aku lebih zalim, tidak memeberi peluang pokok berkenaan membesar rendang.

Demikianlah hari ini masa aku nak keluar memetik daun jambu golok ini adalah musim cuti perayaan dan aku mempunyai masa rehat yang mendorongku untuk memetik daun jambu golok berkenaan. Sebenarnya sebelum dari aku nak keluar memetik daun jambu golok berkenaan, isteriku sudah memerhati bersama pucuk-pucuk jambu golok yang keluar dengan agak banyak, terdapat kuntum-kuntum bunga yang pertama kali berkesempatan berbunga. Bunga berkenaan muncul di antara pucuk-pucuk yang agak banyak lahir, kerana tidak dipetik! Bagiku tak berpeluang memetik, tapi bagi isteriku lebih dari simpatinya terhadap pokok berkenaan dan berkat dari rasa kasihannya terhadap pokok, maka sebagai rahmat maka pokok jambu golok berkenaan berpeluang berbunga.

Sebenarnya dari larangan isteriku untuk memetik, spontan timbul dalam jiwaku keinginan untuk sama melihat keindahan bunga pokok jambu golok muncul dan mengembangkan bunga, lebih dari itu aku bayangkan dalam imaginasiku, kelak akan bergayutan buah-buah jambu golok yang unik itu. Sebenarnya buah jambu golok adalah buah yang unik dan cantik. Bila berbuah keluar menghulur buah seperti jambu yang bujur dengan keunikan utamanya bijinya di luar pada bahagian bawahnya. Keunikan ini menjadikannya sebagai bahan teka-teki:

Terdapat banyak buah enak di makan
Bijinya kebiasaan berada di dalam
Tapi ada sejenis buah mengkagumkan
Tekalah bijinya di luar bergantungan?

Buah jambu golok apabila besar semasa belum masak enak disayur lemak! Tetapi bila cukup masak dapat dimakan begitu saja, tapi rasanya agak kelat dan perit tekak yang boleh membuat kita terbatuk dan mendehem. Sebab itu buah ini juga dipanggil `Jambu Dehem` di samping beberapa nama lagi diberi.

Tetapi yang paling mahal dari buah jambu ini, ialah bijinya yang terhulur keluar. Dalam biji ini ada isi kekacang yang berwarna putih yang enak dimakan dan menjadi bahan masakan, dicampur sama nasi beriani atau menjadi bahan cokelat yang tinggi mutunya. Cara mengeluarkan isi kekacang dari biji jambu golok ini dengan membakar bijinya hingga hangus kulit luaran dan diketuk bijinya hingga biji kekacangnya dapat dikeluarkan. Kekacang ini boleh juga dikeluarkan secara membelahnya terus dan kekacangnya dikeluarkan, tapi jika belah dilakukan dengan tangan, getah bagi biji ini membahayakan kulit yang boleh melepuh! Kepentingan biji kekacang sebagai isi bagi biji buah jambu golok ini, menyebabkan pokok jambu golok ini ditanam secara komersil. Ianya menjadi permintaan bukan saja tempatan, tetapi dunia! Tempat yang paling subur bagi tanaman pokok jambu golok ialah tanah berpasir, terutama kawasan-kawasan yang dekat dengan pantai.

Kembali kepada larangan isteriku dari memetik pucuk jambu golok, aku patuhi, kerana di dalam hati kecilku, ingin melihat bunga jambu golok bersembur keluar dan kelak mengeluarkan buah yang unik dan cantik yang menghiasi pokok di tepi rumahku. Keunikan buah jambu golok bagiku adalah seunik pokok `Periuk Kera` yang tumbuh liar di tanah berpaya. Semasa kanak-kanak dulu, pokok periuk kera ini kami gunakan sebagai tali membuat tuar menahan ikan di musim tengkujuh di alur dan paya tidak jauh dari kampungku. Larangan isteriku dari memetik daun jambu golok, sebenarnya diganti dengan irisan mentimun sebagai ulam makan tengahari itu.

Sebenarnya pada tengahari itu sebelum keluar ke pejabat, secara senyap aku ke tepi rumahku dan meneliti antara daun-daun pucuk jambu golok itu terdapat beberapa ranting pokok berkenaan yang mulai mengeluarkan bunga, sudah tentulah dengan tidak menggetus daun-daun yang baru tumbuh itu, kelak lebih banyak lagi muncul bunga-bunga jambu golok. Aku membayangkan kelak buah-buah jambu golok ini bergayutan dari pokoknya ini. Alangkah indahnya nanti. Pada kesempatan ini aku merakamkan foto-foto bunga jambu golok berkenaan.

Sesungguhnya peristiwa kecil dari larangan isteriku dari memetik pucuk-pucuk muda jambu golok ini memberi ilham yang berharga kepadaku. Ianya memberi pengajaran kecil kepadaku, bahawa kita bukan saja tidak boleh zalim kepada binatang, tetapi juga pada pokok yang berhak untuk membesar dan mengeluarkan buahnya secara tabii. Begitulah tumbuh-tumbuhan di muka bumi berhak tumbuh menghijau bagi melindungi bumi dari segi cuaca dan simpanan air di muka bumi bagi kesejahteraan hidup. Keganasan manusia yang merosakkan hutan-hutan menghijau dengan menggantikannya dengan hutan-hutan batu menyebabkan tanah kekeringan dan suhu meningkat dan menjadikan rumah dunia yang sama kita hidup semakin tidak selesa dihuni!

Sekian.

No comments:

Post a Comment