February 18, 2012

Dialog TNB & Anekdot

TNB, BBB, 23 Jamadil Awal 1433 = 15 Februari 2012 (Khamis):

Jam 2.30 petang pihak TNB menganjurkan dialog antara Adun, Penghulu dan Ketua-Ketua Kampong berhubung dengan khidmat TNB di Hulu Langat, khususnya di kawasan DUN Bangi. Dialog bertempat di Bilik Mesyuarat TNB, BBB. Hadir bersama selain dari ADUN Bangi, ialah Wakil Adun Kajang Encik Ong Seng Peng, En. Mohd. Suaidi bin Ibrahim Ketua Penolong Pegawai Daerah yang mewakili Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat, Encik Abdul Salam bin Mat Isa Ketua TNB Bangi, penghulu-penghulu dan ketua-ketua kampong yang jumlah mereka semua lebih kurang 30 orang

Encik Abdul Salam dalam perutusan dan alu-aluan, mengucapkan terima kasih kepada hadirin ke majlis yang pertama kali diadakan, secara khusus sedemikian. Majlis ini dinamakan Costumers Leadership Outreach – tapi di sini dinamakan dialog sahaja.Encik Abdul Salam menyebut bahawa, ``TNB adalah hak rakyat yang asetnya berjumlah RM70 bilion dengan slogannya, ``Powering The Nation``. TNB banyak bergantung pada tenaga gas, tapi sekarang bermasalah tak dapat supply dari Petronas, terpaksa guna petrol.`` Ini menjadi tanda tanya kami. Petrol lebih mahal

Menurut En. Abdul Salam, ``Lebih murah, jika kita dapat guna kuasa hydro, tapi tak cukup sungai yang sesuai, tapi lebih murah lagi jika dapat gunakan tenaga neuklear, tapi ada risiko bahaya, seperti berlaku di Jepun.

``

Seorang peserta bertanya, ``Mengapa TNB tidak dapat gunakan gas, sedangkan syarikat swasta seperti YTL di janakuasa di Paka gunakan gas ?`` Tambah penanya, ``Tenaga seperti api dan air sepatutnya milik Negara, mengapa dibenarkan ada syarikat swasta mengaut untung dan lebih mendapat kemudahan ?``

Encik Abdul Salam teragak-agak menjawab dan berkata, ``Ini perkara besar, saya tak dapat jawab, kena tanya orang itu,`` sambil tangannya menunjuk kepada gambar Dato` Seri Najib Tun Razak yang tergantung di dinding bersama gambar-gambar yang lain. Sedang hadirin ketawa dengan jawapan dan gayanya menunjuk secara lucu .

Pada waktu lain, seorang peserta bertanya, `Mengapa lampu jalan di Bangi sering kali, sekejap ada, sekejap tak ada ?`` Hadirin ketawa dengan pertanyaan itu. Bagi soalan ini En. Abdul Salam menjawab, ``Lampu jalan di Bangi di bawah MPKj dan jalan di bawah JKR, masing-masing tak mau pikul tanggungjawab, kerana kos terpaksa ditanggung, sebab itu berlaku tolak menolak, akhirnya dipersetujui di bawah JKR, sebab itu kata En. Abdul Salam, ``Sudah tidak ada masalah sekejap ada, sekejap tak ada.TNB pun tak ada masalah dari segi bayaran bil letrik !`` Sambil hadirin ketawa dan bertepuk tangan, terdengar suara, ``Betul ka begitu !`` menyebabkan ketawa bertambah.

Seorang peserta bertanya, ``Sekarang ada alat kononnya boleh mengurangkan penggunaan tenaga letrik, betulkah dan adakah mendapat kelulusan Sirim ?`` Kata En. Abdul Salam. ``Tidak betul, alat ini hanya untuk penggunaan syarikat besar-besar seperti kilang, tapi bukan mengurangkan, tetapi menyelaraskan penggunaan, tapi juru jual menjadikan orang kampong mangsa yang sebenarnya alat itu tidak memberi makna apa-apa bagi penggunaan biasa.`` Beberapa orang mengeluh kerana tertipu dan yang lain ketawa. Menurut En. Abdul Salam, ``Cara yang baik ialah berhemah menggunakan letrik dan jangan membazir !``

Seorang lagi bertanya, ``Mengapa pada satu malam, pihak pekerja letrik datang ke rumah (waktu malam) di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi dengan membuka siren yang kuat. Penduduk menyangka ada berlaku kecurian, masing-masing keluar bersiap dengan batang kayu dan senjata untuk memukul dan membelasah pencuri, jika berdepan.`` Pekerja letrik yang datang terpaksa mengangkat tangan dan bersuara, ``Kami dari TNB !!!``

Dalam ketawa ramai-ramai En. Abdul Salam mengaku, ``Kami silap teknik. Sepatutnya kami tidak membunyikan siren, tapi seharusnya mempamirkan kereta TNB dan memberitahu penduduk dengan loudhealer, supaya penduduk tidak terkejut. Kami minta maaf.`` Tamah En Abdul Salam,

``Masalahnya pemeriksa meter letrik datang periksa siang hari, tak dapat bertemu tuan rumah untuk masuk memerisa meter. Bil terpaksa buat anggaran berterusan. Kami perlu buat penyelarasan sekali sekala dan terpaksa datang malam dengan jangkaan tuan rumah ada di rumah.``

Seorang peserta bertanya, ``Sekarang bukankah sudah ada kaedah baca meter dari jauh secara tembak dari luar, mengapa tak guna kaedah itu ?``

Dengan agak teragak-agak En Abdul Salam menjawab, ``Oh ya, memang ada, tapi teknologi itu masih belum dapat kami gunakan. Mungkin mahal. Nampaknya kami masih perlu keluar malam bagi cek meter di samping membaiki kerosakan.``

Sekian.

No comments:

Post a Comment