January 2, 2012

Siri Akhir Menyampaikan Peruntukan Ke Sekolah - Kafa Integrasi Al-Hidayah, Kajang Utama

Kajang Utama, 07 Safar 1433 = 01 Januari 2012

Pada hari Ahad tahun baru 2012 ini, Adun Bangi melengkapkan penyerahan cek-cek bantuan dari Kerajaan Negeri Selangor kepada Sekolah-sekolah rakyat yang terpilih menerima bantuan. Penyerahan hari ini ialah yang keempat bagi siri kedua – separuh kedua tahun 2011. Sekolah-sekolah terpilih berkenaan ialah:

1) 20.12.2011 SJK© Pekan Bangi

2) 26.12.2011 Sekolah Al-Amin, Sungai Tangkas, Bangi

3) 30.12.2011 Sekolah Tahfiz & Arabic Malaysia, Sungai Ramal Dalam

4) 01.01.2012 Sekolah Kafa Integrasi Al-Hidayah, Kajang Utama

Penyampaian cek kepada Sekolah Kafa Integrasi Al-Hidayah, Kajang Utama pada hari ini ialah pada jam 3.00 petang bertempat di Sekolah berkenaan. Adun hadir bersama isteri dan Nabilah Pegawai di Pejabat Adun serta diikuti saudara Faizal bagi merakamkan program, saudara Azizi juga turut sama datang dihantar isterinya bagi membuat liputan. Ketibaan kami jam 3.15 majlis siap sedia dengan kehadiran YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, Tuan Haji Shafie Ngah Ahli MPKj, Tuan Haji Ibrahim Martibi Pengerusi PIBG Sekolah Kafa Integrasi yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk dan Rukun Tetangga, Encik Azhar bin Arshad Timbalan Pengerusi PIBG yang juga Pengerusi Jawatan Kuasa Surau Al-Muhajirin, Kajang Utama, Mejer (B) Adnan Pengerusi Usia Mas, Tuan Haji Othman Subuh Mantan Pengerusi Surau, tamu-tamu jemputan warga mas, guru-guru dan hadirin. Majlis hari ini nampaknya bukan untuk menyerahkan cek semata-semata, tetapi disekalikan pada sebelah paginya dengan gotong royong dan bersama penyampaian cek ialah Majlis Meraikan Warga Emas di sini.

Majlis bermula dengan ucapan En. Ibrahim Martibi di hadapan hadirin di bawah khemah di tepi bangunan Sekolah (kedai) dengan memaklumkan kejadian denggi di kawasan ini yang melibatkan sembilan orang dan seorang daripadanya dalam keadaan kritikal. Kematian kes denggi juga pernah berlaklu di sini. Beliau menyebut perlunya Sekolah diperbesarkan, kerana di Kajang Utama terdapat 1,200 orang murid Sekolah rendah. Hanya 800 orang daripada mereka dapat bersekolah agama, yang lain tidak dapat bersekolah kerana kekurangan tempat. Pihak Sekolah sendiri menghadapi beban sewa 7 buah bangunan kedai yang sewanya makin meningkat dan kini sewa bulanan ialah sebanyak RM8,000 sebulan. Beliau mencadangkan agar tanah berhampiran Sekolah yang merupakan tapak kawasan menjaja seluas tiga ekar diusahakan agar menjadi tapak bagi Sekolah Agama.

Ustaz Shafie Ngah yang berucap ringkas teroja dengan kerjasama penduduk. Semua pihak menurutnya mesra memberi khidmat dan bersedia memberi cadangan. Ini . menunjukkan ada keterlibatan dan komitmen semua pihak. Manakala YB Teo Nie Ching memaklumkan beliau tiba ke majlis terlebih awal 15 minit dengan seorang warga emas tiba iaitu Puan Teresa. Beliau mengucapkan Tahun Baru 2012 kepada semua pihak. Beliau amat tertarik dengan kerjasama penduduk dan bersatu padu. Beliau menimbulkan soal `bila tarikh pilihanraya`. Secara bergurau, ``Yang tahu barangkali ialah Rosmah isteri PM.``. Walau macam mana tugas tuan-tuan dan puan-puan kata YB Teo ialah mengundi dengan bijaksana. Bagi yang belum mendaftar dan layak mengundi hendaklah mendaftar dan gunakan hak sebagai rakyat Malaysia.

Adun Bangi dalam ucapan perasmian, memaklumkan bantuan kepada Sekolah Rakyat bagi setengah tahun kedua 2011 di Dun Bangi ialah sebanyak empat buah Sekolah dan Sekolah Kafa Integrasi Al-Hidayah adalah Sekolah keempat dan terakhir bagi tahun 2011 di Dun Bangi. Beliau memaklumkan peruntukan bagi Sekolah-sekolah agama bagi tahun 2011 adalah sebanyak RM6 juta. Permohonan bagi setengah tahun pertama 2011 ialah 41 buah Sekolah dan separuh kedua 2011 ialah 134 sekolah, dicampur kedua-duanya berjumlah 175 buah Sekolah. Jika dibahagi sama rata hanya dalam lingkungan RM35,000 satu Sekolah, tetapi pertimbangan bergantung kepada keperluan dan kewajaran, sebab itu ada yang dapat sehingga RM50,000 dan ada yang hanya RM10,000. Sekolah Kafa Integrasi Al-Hidayah ini telah membuat permohonan pada 2 Julai 2011 sebanyak RM33,800.00 bagi tujuan Membaiki dan melengkapkan Pusat Sumber, iaitu bagi mengubahsuai bilik Pusat Sumber, pembelian peralatan dan menambah bahan-bahan bacaan. Setelah dipertimbangkan oleh AJK, maka diluluskan sebanyak RM25,000.00.

Adun berharap dengan jumlah yang diluluskan ini dapat membantu membaiki dan menambah bahan bagi Pusat Sumber. Adun juga mengingatkan bahawa bantuan yang diberi adalah bersifat tahunan, sebab itu jika ada keperluan boleh dibuat permohonan dengan menggunakan borang yang ditentukan. Adun Merasmikan Majlis. Berikut Adun bersama YB Teo Nie Ching menyampaikan cek bernilai RM25,000 kepada Ustazah Hjh. Tujimah bt. Ali Ketua Guru dengan disaksikan oleh En. Ibrahim Martibi selaku Pengerusi PIBG Sekolah dan lain-lain. Berikutnya disampaikan cenderahati dan sedikit bantuan kepada warga-warga emas yang berjumlah lebih kurang 50 orang. Jamuan ringan diadakan sebelum berpisah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment