December 30, 2011

Sekolah Al-Amin Buka Ma`had Tahfiz: Adun Bangi Sampaikan Sumbangan Kerajaan Negeri Selangor

Sungai Tangkas, Bangi, 01 Safar = 26 Disember (Isnin):

Sekolah Al-Amin yang terletak di Sungai Tangkas, Bangi adalah merupakan salah sebuah Sekolah Agama Swasta termaju di Dun Bangi. Sekolah yang dibina 1992 di Sungai Tangkas ini ditadbir oleh kumpulan intelektual dan professional yang membuat pendekatan terkini dan berinovasi dalam pengajaran serta menambah nilai dari segi kurikulum. Dengan pendekatan terkini, banyak pihak yang merasa yakin dengan pendekatan yang dilakukan dan ramai dari kalangan ibu bapa yang sedar dengan kepentingan agama dan pendekatan terkini menghantar anak-anak mereka belajar di sini. Keyakinan bertambah dengan ramai keluarnya pelajar berjaya yang menyambung pengajian di dalam dan di luar Negara. Sekolah ini menyediakan pengajian pada peringkat rendah dan menengah. Pentadbiran dikendalikan oleh satu jamaah yang terdiri dari:

Pengerusi PIBG: Tuan Haji Ridzuan bin Jaafar

Pengetua/G. Besar: Pn. Rohida bt. Jamaluddin

Ahli Lembaga Executive: Pn. Norain bt. Hayun

Dan Ahli-Ahli Jawatankuasa yang lain.

Sekolah ini tidak saja bergantung pada yuran pelajar-pelajar, tetapi dengan ikhtiar dari PIBG & Lembaga dan sokongan ibu bapa yang bersemangat tinggi, maka pihak Sekolah dapat mendirikan bangunan-bangunan sekolah hasil dari dana yang diusahakan. Pada tahun lepas Sekolah juga berjaya mendirikan Musalla yang agak selesa seharga RM500,000/=.

Sekolah Al-Amin yang berada di bawah badan Muslih dan berdaftar di bawah JAIS ini mempunyai Lembaga Pemegang Amanah yang ditubuh di bawah Lembaga Pengelola Sekolah bagi mencari dana dan menambahkan asset Sekolah. Lembaga Pemegang Amanah ini terdiri dari Engku Zairul dari Islamic Relief, Prof Jailani dari Kumpulan Serdang Bangi Berhad, Tuan Haji Shahrom Mohd Sharif, Dr. Mohd Nor Ghani dan Enche Muhammad (maaf jika nama dan title tidak lengkap). Pihak PIBG dan Lembaga kini dalam usaha menyiapkan bangunan Ma`had Tahfiz yang dijangka dibuka pada awal tahun 2012 dan seramai 23 pelajar sudah mendaftar. Sudah tentulah dengan adanya Ma`had Tafiz Al-Qur`an ini menjadi daya tarikan bagi ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke Sekolah ini. Sekolah ini juga bekerjasama dengan Islamic Relief bagi menolong kanak-kanak miskin meneruskan pengajian.

Adun Bangi hadir ke Sekolah Al-Amin pada pagi ini ialah bagi menyerahkan cek bantuan kepada Sekolah ini dari Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal insan sejumlah yang tidak begitu besar, iaitu sebanyak RM30,000/=. Tuan Haji Ridzuan dalam ucapan alu-aluan mengucapkan terima kasih di atas sumbangan kerajaan negeri Selangor. Menurutnya, Walaupun jumlah RM30,000/= adalah tidak begitu banyak, tetapi sekurang-kurangnya dapat menampung kekurangan yang diperlu Sekolah. Beliau memaklumkan bangunan Ma`had Tahfiz 90% siap dan masih memerlukan derma. Dari segi pembangunan, tapak Sekolah begitu sempit dan kemungkinan Sekolah yang bangunan setingkat akan diroboh bagi memberi laluan kepada bangunan bertingkat bagi menambahkan ruang.

Dalam ucapan Adun memaklumkan. Peruntukan yang dibawa adalah merupakan sebahagian dari peruntukan RM6 juta bagi Sekolah-sekolah agama. Pada separuh kedua tahun ini sebanyak 134 buah SAR membuat permohonan. Separuh pertama 41 buah membuat permohonan. Maka ianya diagih-agihkan kepada Sekolah-sekolah berdasarkan keperluan dan proposal yang dihantar. Adun juga mengingatkan, bahawa bantuan adalah bersifat tahunan. Ini bererti untuk tahun hadapan permohonan boleh dibuat pula. Adun Bangi sudahi ucapan dengan harapan yang tinggi agar Sekolah lebih mencapai kejayaan dan menjadi keyakinan dan rebutan ibu bapa bagi menghantarkan anak-anak mereka. Berhubung dengan kekurangan tempat Adun mencadang agar pihak PIBG & Lembaga Pengelola meninjau kawasan dan bangunan-bangunan di Sibertel berdekatan untuk mengguna atau kemungkinan memilikinya, kemungkinan Lembaga & PIBG Sekolah dapat berunding dengan pihak Sibertel dan mengambil alih kawasan yang luas (lebih 30 ekar) dan perumahan yang terbengkalai menjadi kampus baru Sekolah Al-Amin dan dapat membesarkan pengajian kepada peringkat kolej, kolej Universiti atau universiti.

Sekian.

No comments:

Post a Comment