December 1, 2011

Meraikan Veteran Dun Bangi Dan Kawasan Serdang

BBB, 02 Muharram = 28 November (Isnin):

Mencontohi kejayaan pihak kerajaan Negeri Selangor prihatin terhadap warga emas di negeri Selangor, maka pihak Adun Bangi dengan kerjasama pihak Kawasan Serdang mengadakan majlis secara kecil meraikan veteran, tetapi meriah. Sudah tentulah untuk menjemput semua veteran seluruh kawasan agak ramai dan memerlukan masa dan peruntukan untuk menguruskannya, sebab itu buat permulaan lebih tertumpu di Dun Bangi dengan sejumlah jemputan dari kawasan. Dalam masa terhad pihak AJK Kebajikan mengenalpasti lebih kurang 200 orang veteran dan membuat jemputan terhadap mereka untuk hadir pada malam ini bertempat di Dataran Usahawan berdekatan dengan Pejabat Adun Bangi di sini.

Hadir pada malam ini selain dari Adun Bangi ialah YB Dr. Che Rusli Che Mat Ahli Parlimen Hulu Langat sebagai veteran yang tinggal di BBB, Ustaz Shafie Ngah selaku YDP Pas Hulu Langat, Tuan Haji Mazwan Johar Timbalan YDP, saudara Shukor Atan Naib YDP, Puan Zuryati Yassin Ketua Muslimat, Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan, Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar dan sejumlah jemputan seramai 90 orang.

Tujuan menjemput kalangan veteran ini adalah untuk kenal mesra, bertanya khabar dan mengeratkan hubungan. Terima kasih khususnya di atas kehadiran veteran-veteran walaupun sebahagian daripada mereka semi-uzur, tetapi sanggup juga hadir. Tidak ada sumbangan yang diberi kepada mereka, kecuali sehelai sajadah seorang tanda ingatan dan sedikit makan, tetapi ternyata mereka bergembira dan menghargai jemputan. Majlis juga adalah secara santai. Selepas kehadiran dan pembukaan majlis, para jemputan dan pimpinan setempat dijemput makan makanan yang disediakan seadanya. Kemudian selepas itu diadakan ruang pimpinan berucap dan penyampaian cenderamata. Majlis yang dipengerusikan oleh saudara Harun Ar-Rashid AJK Kebajikan menjemput Ketua Muslimat Puan Zuryati yang mengucap selamat datang dan berterima kasih di atas kerjasama dan sokongan selama ini, khususnya kepada veteran dari kalangan muslimat. Mereka adalah merupakan benteng hadapan terutama di dalam program-program ziarah dari rumah ke rumah.

YDP Pas Serdang Ustaz Shafie Ngah, memuji kalangan veteran. Mereka ialah orang lama yang banyak pengalaman dan jasa mereka tidak dapat dibalas dengan sekadar ucapan. Walau bagaimana jasa dan pertolongan mereka tetap diperlukan secara berterusan dan kerjasama ini diharap berkekalan.

YB Dr. Che Rusli Che Mat dipilih berucap mewakili veteran-veteran. Beliau bukan saja veteran dari segi umur, tetapi veteran dari segi parti. Beliau mengimbau tatkala Bangi di bawah kawasan Dengkil (1986) yang ahli hanya sejumlah 50 orang sahaja. Beliau pernah memimpin Pas pada tahun-tahun 1990an di Hulu Langat. Menurutnya, ``Tetapi dalam pilihanraya 1999 saya memilih untuk bertanding di Perlis dan YDP Hulu Langat dipangku oleh Timbalan YDP. Begitu juga pada tahun 2004 saya sekali lagi memilih Perlis untuk bertanding. Walaupun kedua-duanya kalah tidak mematahkan semangat.`` Tambah beliau, `` Hinggalah pilihanraya 2008 bila tidak ada yang mau bertanding pada peringkat Parliman Hulu Langat, atas dasar `As-sam`ah wat-ta`ah` saya menerima pencalonan dan al-hamdulillah menang.`` Beliau berpesan, ``Di dalam apa urusan hendaklah menggunakan approach yang lembut dan hormatilah veteran.`` Beliau memuji majlis yang dibuat meraikan veteran pada malam ini.

Adun Bangi bercakap lebih memberi tumpuan terhadap usaha kerajaan negeri Selangor memperbaiki pentadbiran, mempertingkatkan prestasi ekonomi dan memesrai rakyat.

Menurutnya hasil negeri makin meningkat. Bajet Kerajaan negeri meningkat kepada RM1.7 bilion. Sebelumnya RM1.3 bilion dan meningkat kepada RM1.4 bilion. Ini menandakan ekonomi negeri makin meningkat. Jika kerajaan persekutuan 15 tahun berturut-turut deficit dari segi bajet, tapi kerajaan Selangor berkelebihan. Tahun ini kerajaan mempunyai simpanan RM1.1 bilion. Selangor menerima penanaman modal tertinggi. Misalnya dalam tempoh antara Januari – Ogos 2011 Selangor menerima pelaburan sebanyak RM5.9 bilion. Daripada jumlah itu pelaburan asing berjumlah RM3.49 bilion (Jawapan di dalam Dewan Negeri Selangor kepada soalan Adun Bangi pada 9 Nov. 2011). Selangor memberi sumbangan lebih daripada 20% bagi hasil Kerajaan Persekutuan, tetapi yang dipulangkan lebih kurang RM300 juta sahaja. Daripada bajet negeri Selangor bagi 2012, RM1,000 juta adalah bagi pentadbiran dan RM700 juta adalah bagi pengurusan. Daripada jumlah ini RM500 juta digunakan untuk Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor. Nikmat sampai ke Bangi diperuntukkan bagi Adun Bangi bagi khidmat masyarakat RM500 ribu dan ditambah lagi RM100,000 bagi tahun 2011. Perkembangan Islam di Selangor makin meningkat dan kesedaran berzakat juga meningkat. Terbaru hasil zakat 2010 sebanyak RM336 juta berbanding sebelumnya RM240 juta. Kemajuan negeri Selangor adalah hasil kebijaksanaan pimpinan negeri Selangor yang diketuai oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim yang mentadbir negeri Selangor secara telus dan membasmi penyelewengan. Kerajaan negeri akan terus memperbaiki pentadbiran dan meningkatkan pendapatan kiranya tuan-tuan dan puan-puan terus memberi kepercayaan terhadap pimpinan sekarang.

Ketika majlis dialog dibukakan, hanya seorang veteran, iaitu Ustaz Radhi yang tampil memberi pendapat dan menasihati pimpinan dalam Pas supaya lebih menonjolkan kebaikan dari mencari kelemahan, berusaha membaiki dari merosakkan dan jangan ada dalam Pas usaha `ceh keting`. Menurutnya, ``Tidak semestinya yang tua tidak layak, contohnya Dato` Nik Abdul Aziz Nik Mat, tetapi jika ada yang muda yang layak, patut diterima dengan syarat diterima masyarakat.`` Beliau menekankan perlu diberi keutamaan pada`Aqimu daulatal Islam` . Tiada yang lain yang mengambil kesempatan bercakap dan majlis disambung selepas penyampaian cenderamata dengan jamuan, terutama bagi mereka yang datang lewat. Selepas itu tamu makin berkurang dan hari makin malam dan majlis berakhir secara tak rasmi jam 11.00 malam.

Sekian.

1 comment:

  1. salam,
    syabas dgn majlis tersebut.
    dr.hamidin turut dijemput ke tak?
    dr.hamidin dan dr.rosli kedua2nya merupakan mentor saya

    ReplyDelete