December 12, 2011

Menyampaikan Bantuan Kepada Mangsa Banjir Di Kg. Bangi & Sungai Tangkas

Kg. Bangi & Sungai Tangkas, 14 & 15 Muharram = 10 & 11 Disember (Sabtu & Ahad):

Hujan lebat luar biasa pada petang 2 Disember menyebabkan berlaku banjir di Pekan Kajang, Kg. Bangi dan Sungai Tangkas. Pada petang itu Adun sendiri menyaksikan banjir di Sungai Tangkas, mewakili Adun saudara Azizi ke Kajang dan di Kg. Bangi, Ketua Kampong Tuan Haji Zakaria bin Bujang sendiri membuat pemantauan.

Pada Ahad 4 Disember Adun dan Lajnah Kebajikan membuat lawatan ke Lembah Mewah, Kajang yang termasuk di bawah DUN Bangi dan pada Jumaat 9 Disember pergi membuat lawatan dan kepastian tentang kerosakan yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir di Kg. Bangi.

Hari ini pada pagi Sabtu 10 Disember Adun dan AJK Lajnah Kebajikan diketuai Tuan Haji Rushdi dan beberapa yang lain turun ke Kg. Bangi bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir bertempat di Balairaya Kg. Bangi. Hadir bersama ialah Tuan Haji Zakaria Bujang Ketua Kg. Bangi, Tuan Haji Rushdi Ketua Lajnah Kebajikan, beberapa AJK, AJK JKKK Kg. Bangi dan mangsa-mangsa banjir berjumlah 20 orang.

Tuan Haji Zakaria dalam ucapan ringkasnya memaklumkan, perkiraan mangsa banjir yang rumah mangsa dimasuki air dan berlaku kerosakan barang-barang. Jumlah mereka adalah seramai 20 orang.

Adun Bangi berucap memaklumkan, bahawa Adun telah mewakilkan Tuan Haji Zakaria memantau banjir pada hari berlakunya banjir dan petang kelmarin turun sendiri membuat kepastian sebelum turun hari ini untuk menyampaikan bantuan. Adun memaklumkan, terakhir banjir berlaku di Kg.Bangi ialah pada April 2008. Selama tiga tahun selepas itu tidak berlaku banjir, kerana sungai diperdalam dan diperluaskan. Pada kali ini, di samping hujan lebat luar biasa, ialah berlakunya penebangan pokok di hulu bagi pembangunan rumah, sekatan-sekatan pasir dan penyempitan tempat laluan air menyebabkan berlaku banjir. Semasa datang ini, kata Adun, ``Saya nampak boldozer di dalam Sungai Bangi sedang menyodok pasir dan membersih sungai. Kita berharap dengan pembersihan yang baru tidak akan berlaku lagi banjir. Banjir tahun ini, tidak kurang teruknya dari 2008. Semalam saya menyaksikan ada kesan rumah ditenggelami air hingga ke paras pinggang. Kita bersyukur kerana tidak berlaku kehilangan jiwa. Adun memaklumkan, pada hari ini Adun membawa sedikit bantuan yang mungkin tidak dapat menampung kerosakan yang dialami sepenuhnya.

Bersama Ketua Kg. Adun menyampaikan bantuan kepada 20 orang mangsa yang merupakan wang, beras dan makanan. Selepas penyampaian bantuan jamuan ringan diadakan.

Sementara itu pada pagi Ahad 11 Disember ini Adun dan AJK Lajnah Kebajikan yang dikertuai Tuan Haji Rushdi melawat Kg. Sungai Tangkas bersama Ketua Kg. di sini Tuan Haji Abdul Hadi bin Husin. Lawatan dibuat ke rumah Makcik Sa`adiah bt. Abidin dan di sini berhimpun mangsa-mangsa banjir atau wakil mereka berjumlah 8 orang dan disampaikan bantuan terhadap mereka. Selepas itu Adun dibawa oleh Ketua Kg. Tuan Haji Abdul Hadi melawat sebuah rumah yang mengalami ribut seminggu sebelum berlakunya banjir. Bumbung dan atap rumah rosak teruk. Semasa kami tiba mangsa (En. Aminuddin Bin Mohd Yusof) menunjukkan kerosakan yang

berlaku dan bahagian-bahagian yang telah diperbaiki. Mereka dua beranak masih lagi membaiki rumah dan memperbetulkan kerosakan dan melakukan operasi kebersihan,kerana menurut En. Aminuddin, anaknya yang sedang bekerja membersih bersamanya akan berkahwin pada akhir Disember ini. Kami menyampaikan bantuan sebagai simpati terhadap kerosakan rumah mereka dan berharap dapat mengurangkan sedikit bebenan yang ditanggung.

Sekian.

No comments:

Post a Comment