November 27, 2011

Di Ambang Hijrah: Amalkan Islam Cara Hidup Menyeluruh. Selangor Tertinggi Mengimarahkan Rumah Allah

Pasar BBB, Seksyen Satu, 30 Zulhijjah = 26 November (Sabtu):

Siri Ceramah Di Pasar BBB kembali diadakan dianjur oleh Persatuan Penduduk BBB dengan kerjasama Persatuan Peniaga Pasar dan Adun Bangi. Penceramah khas dijemput dari Kota Bharu, iaitu Ustaz Mohd. Khairul Ikhwan Mohd Zaki Al-Hafiz (24) atas tajuk Amalkan Islam Sebagai Cara Hidup Menyeluruh. Hadir sama di Majlis menyertai ceramah selain Adun Bangi ialah Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk BBB, Tuan Haji Mohd. Ghazali Abbas Timbalan YDP yang juga adalah Pengerusi Surau An-Nur, AJK-AJK Persatuan Ustaz Hashim Nawawai, Tuan Haji Hussein Yunus, Tuan Haji Sufi Munassir dan Ustaz Zul Nurain Guru Besar Sekolah LEPAI BBB.

Dr. Tajul Ariffin Nordin menggariskan tujuan mengadakan cemarah di Pasar pada pagi ini ialah untuk membiasakan masyarakat di Bangi mengamalkan cara hidup Islam, memberi bimbingan keagamaan dan bagi memungut dana bagi Sekolah Lepai yang bakal dijenamabarukan dengan nama `Kompleks Islam Bangi`. Menurut beliau, Kerajaan Negeri Selangor memulakan peruntukan sebanyak RM240,000/=. Berasaskan peruntukan ini kita perluaskan untuk mendapat sejumlah dana RM3 juta ringgit. Setakat in RM1.3 juta telah dibelanjakan dan rangka tiga tingkat bangunan telah didirikan.

Adun Bangi yang diminta menyampaikan ucapan, mengucap tahniah di atas penerusan ceramah di pasar yang telah dimulai oleh Pejabat Adun dan Persatuan Penduduk. Adun Bangi menyokong penuh di atas usaha yang dilakukan oleh Persatuan. Bahkan Adun mencadangkan dahulu pada permulaan menerima derma dari Kerajaan Negeri supaya ditambah pelan dari dua tingkat kepada tiga tingkat. Al-Hamdulillah bangunan sudah terdiri dan memerlukan penyempurnaan. Adun menyeru di ambang Hijrah, agar kita sama berhijrah dengan semangat dan tindakan bagi menyokong dan membantu segala kerja-kerja dan amalan kebajikan. Ambillah peluang sama membinanya dengan derma kebajikan bagi menyempurnakan bangunan yang menjadi sebagai mercu tanda di kawasan seksyen 16. Bangunan ini memberi peluang bagi anak-anak kita mendapat pelajaran, bahkan menggunakannya untuk kegiatan kebajikan dan kemasyarakatan.

Sementara itu penceramah yang dijemput khas dari Kelantan Ustaz Mohd Khairul Ikhwan Mohd Zaki Al-Hafiz, melahirkan sokongannya mengadakan ceramah di pasar sebagaimana di Kelantan diadakan di tengah Bandar Kota Bharu. Pengajaran di masjid-surau adalah baik`, tetapi biasanya dihadiri oleh orang yang sama, sebab itu adalah wajar sekali sekala disampaikan pengajaran di pasar sebagai salah satu strategi dakwah yang baik dan mungkin lebih memberi kesan, terutama bagi kalangan yang tidak berkesempatan ke surau dan masjid oleh kerana halangan dan sebab-sebab tertentu.

Ustaz Khairul yang mendapat pengajian awal di Bunut Payung, Kelantan dan kemudian menyambung pengajian di Syria dan Yaman dan kini membuka Pusat Pengajian Al-Hadith di Pengkalan Chepa melahirkan kekagumannya tentang minat yang tinggi penduduk negeri Selangor terhadap ceramah dan pengajaran-pengajaran di masjid dan surau di Selangor yang mengatasi negeri-negeri lain termasuklah Kelantan. Beliau menyebut bahawa beliau turut menghadiri di masjid di Terengganu yang berpuluh juta harganya, tetapi dihadiri oleh sejumlah 7 orang jamaah. Mereka adalah dari kalangan yang uzur seperti gaut, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Tiada kalangan muda yang menghadiri dan mungkin sengaja diusahakan agar kalangan muda tidak menghadirinya dan tidak mencintai masjid.

Di Selangor di tempat-tempat beliau dijemput mengajar dan berceramah, bukan saja jamaah biasa yang hadir, tetapi pekerja-pekerja yang baru pulang dari kerja singgah dan bersama berjamaah dan mengikuti pengajaran. Mereka bersama selepas menyalin seluar dengan kain pelikat atau terus dengan pakaian pekerjaan. Lantaran itu kelihatan yang berpakaian berlogo seperti Hitachi, Okomuru, Proton, Meditop, Oxiden, York dan sebagainya. Pada hari Jumaat pula para jamaah bukan saja datang ke masjid dengan kereta biasa, tetapi dengan kenderaan-kenderaan syarikat dan lori-lori berbagai jenama yang pemandu-pemandunya singgah menunaikan Jumaat. Demikianlah semaraknya Islam di Selangor.

Berhubung dengan Hijrah Ustaz Mohd Khairul tidak setuju dengan penggunaan istilah `Ma`al Hijrah`, kerana istilah ini terputus dan tidak memesrakan kita dengan Rasulullah. Menurut Ustaz Mohd Khairul, ``Kita di Kelantan menggunakan Hijratur-Rasul` menjadikan kita mesra menyebut Rasulullah, sedangkan Ma`l Hijrah terputus.

Ustaz Mohd. Khairul menganjurkan kita teguh dengan keimanan kepada Allah dan bersyukur kepadaNya , kerana dengan keimanan dan bersyukur kita dapat merasa manisnya keimanan dan bahagianya kehidupan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment