October 17, 2011

Ungkapan Paling Tepat Oleh Bob Lokman Yang Kena Tangkap (Puisi) Makhluk Halus Suka Bergayut Di Dahan Dan Ranting Pokok Ciku?(Anekdot)

``Mengapa semasa saya jahat tak ditangkap
Bila saya insaf dan baik pula ditangkap ?``
Ungkapan paling jujur dan spontan
Paling sinis dan tajam !
Tapi kita lebih dipertajam
Undang-undang penjajah
Yang memisah - ditinggalkan
Bukan langsung dari Hadis dan Qur`an
Sebagai perlembagaan.

Bob Lokman !
Jika surau-masjid dikehendak menolakmu
Pentas bagimu masih terbuka
Tapi bukan sebagai anak wayang
Atau penyanyi rock garang
Tapi sebagai pendakwah mapan
Anak muda masih bersamamu
Yang tua juga memberi sokongan
Jangan bimbang teruskan perjuangan
Menegak kebenaran dan keadilan
Allahu Akbar !!!


Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
16 Zulkaedah 1432
14 Oktober 2011.

2) Anekdot:

Makhluk Halus Suka Bergayut Di Dahan Dan Ranting Pokok Ciku ?

Rumah teres dua tingkat yang aku sekeluarga tinggal sejak awal Bandar Baru Bangi di buka (perpindahan awal akhir November 1977) merupakan rumah tepi tengah. Sebagai rumah tepi mempunyai sedikit tanah di bahagian tepi, di samping bahagian depan. Ruang ini aku, terutama isteriku menggunakannya untuk bercucuk tanam dari yang kecil seperti sayur-sayur dari keperluan dapur juga kunyit, lengkuas dan halia hingga kepada pokok-pokok bunga seperti ros, bunga kertas, bunga burung, daun-daun herba seperti pokok darah tinggi, limau purut, cekur dan sebagainya. Turut ditanam pokok-pokok besar seperti mempelam, mengkudu, mata kucing, rambutan, jambu batu, bunga tanjung dan ciku. Sebahagian dari pokok ini telah ditebang dan berganti yang lain. Tetapi pokok yang kekal sejak ditanam hingga kini ialah pokok ciku. Pengekalan pokok ini kerana ianya berterusan berbuah tanpa musim.

Ruang bertanam di tepi rumah ini memang menjadi tempat aktiviti exersais harian bagi isteriku dan anakku. Petang-petang isteri menggunakan masa membela tanaman, membaja dan menyiram dan kadang-kadang anakanda kami memotong rumput dengan mesin letrik ringan yang dibelinya. Sebagai satu keseronokan sama ada pagi atau petang isteriku mengait buah ciku yang subur dan besar yang tak habis dimakan dan sering beri hadiah kepada jiran atau kepada sesiapa yang datang – terutama anak-anak dan cucu-cucu.

Sebagai rumah tepi tengah, di tepi rumahku ada jalan ke rumah-rumah di belakang. Ianya menjadi jalan pintas bagi pejalan-pejalan kaki untuk ke kedai dan pasar yang tidak jauh dari rumahku. Turut menggunakan jalan pintas ini ialah tenaga pekerja di pejabatku – Pejabat Adun Bangi yang juga terletak di hadapan rumahku. Pada satu petang lebih kurang jam 5.00 petang tenaga pekerja di pejabatku yang bernama Nurina pulang dari pejabat ke rumah (sewa beramai-ramai) yang terletak di barisan belakang rumahku. Sebaik dia melalui di bawah pokok ciku tepi rumahku, tanpa hujan, tanpa angin, sebuah dahan yang agak besar sekah dan jatuh ke jalan. Nurina yang melalui di bawah terkejut dan berteriak,

`Ustazah tolong ! Tolong !. Ustazah ialah panggilan popular kepada isteriku. Pada masa itu isteriku sedang menjahit di tingkat atas di rumah. Dia menyedari dahan pokok jatuh, tetapi tidak jelas mengenai panggilan. Nurina sebenarnya terselamat, dia mendahului beberapa langkah ke hadapan, tetapi agak terkejut dan pulang dalam keadaan trauma. Pada masa dahan ciku itu sekah jatuh aku masih di pejabat. Bila aku pulang, isteri memaklumkan dahan ciku jatuh. ``Mujur tak kena pondok stor, kalau tidak rosak atap dan pecah pondok,`` Dia juga memberitahu, jiran sebelah mengatakan ada seorang perempuan lalu hampir ditimpa dahan gugur. Pada petang itu juga aku memotong dengan gergaji dahan yang runtuh yang banyak dengan buah-buah ciku, tetapi masih putik.

Keesokan pagi, Nurina yang hendak ke pejabat bertembung dengan kami yang sedang membersih kawasan tepi pagar dari runtuhan dahan ciku. Isteriku memberitahu kepada Nurina,

``Semalam dahan ciku ini jatuh, jiran beritahu ada seorang lalu hampir ditimpa dahan berkenaan, tapi tak tau siapa !`` Spontan Nurina menjawab,

``Sayalah Ustazah ! Dengar tak saya berteriak !`` Tanya Nurina. Jawab isteriku,

``Ada dengar jauh-jauh, tapi tak pasti, kerana bising dengan bunyi dahan runtuh, tapi bila turun dah tak ada.`` Tapi macam mana, ada kena ke dahan yang jatuh ?`` Tanya isteriku.

``Al-hamdulillah syukur, walaupun dekat dengan dahan yang jatuh, tapi tak kena apa-apa, tapi terkejut juga !`` jawab Nurina.

Kemudian dengan agak serius Nurina memberitahu Ustazah, ``Saya dengar ada orang kata, makhluk halus suka bergayut di dahan dan ranting pokok ciku !``, Tambah Nurina, ``Orang tua kata, jika ada pokok ciku tepi rumah, anak-anak kecil selalu menangis, kerana diganggu makhluk halus !``

Aku yang bersama isteri lebih bersifat mendengar, apabila Nurina memberitahu berhubung dengan makhluk halus itu, tersenyum dan ketawa kecil dan turut bercakap,

``Bukan makhluk halus saja suka bergayut, tetapi juga kelawar yang suka datang malam hari memakan buah ciku datang bergayut, juga datang tupai, musang dan pernah juga kera-kera liar datang bergayut waktu malam kerana memakan buah ciku.``. Isteriku yang mendengar jawapanku turut sama ketawa kecil dan menambah, seolah-olah menasihati Nurina,

``Kita tak nafikan ada makhluk halus di mana-mana, tapi dia tak boleh memberi manfaat dan mudarat, biarlah dia nak bergayut di mana-mana, termasuk dipohon ciku ini !``, Tambah isteriku. Aku mencelah,

``Pada pokok ciku ini juga beberapa kali lebah datang buat sarang dan kami dapat manfaat dari madunya..`` ``Nampaknya banyak makhluk Allah, termasuk kita manusia mendapat manfaat dari pokok ciku ini, biarlah mereka sama mendapat manfaat,`` jelas isteriku.

Nurina yang mendengar nasihat Ustazah mengangguk, tapi sebelum sempat dia menambah apa-apa, aku berkata,``

``Sebenarnya dahan ciku ini jatuh, kerana buahnya lebat dan berat, lihat bersepah buah-buah yang belum tua jatuh dengan dahan yang runtuh.`` Aku menambah,

``Dahan jatuh ini bukan kali ini saja, tetapi sudah banyak kali, termasuk jatuh dengan yang memanjat beserta dengan dahan.`` Nurina dan isteriku ketawa, sambil isteriku berkata, ``Kami minta pekerja Indonisia memanjat,``

``Terukka dia ?``celah Nurina. ``Al-hamdulillah, tak cedera, kecuali luka kecil, nasib baik tak kena tembok !`` kata isteriku.

Aku menambah. ``Sebenarnya larangan orang menanam ciku tepi rumah, kerana akarnya boleh merosakkan struktur tanah dan boleh memecahkan lantai semin dan sebagainya.

Nurina bertanya, ``Rumah Ustazah ni, tak rosak ke ?`` Jawab isteriku, ``Al-hamdulillah hingga kini sesudah berpuluh tahun, tak ada lantai yang pecah. Ke mana akarnya melebar tak diketahui.`` Isteriku menambah lagi,
``Tanaman pokok bunga tanjung bahagian hadapan rumah setelah besar, akarnya memecahkan tembok, sebab itu kami tebang dan musnahkan.`` kata isteriku.

Sambil itu isteriku menyapu sampah dan buah ciku yang runtuh di jalan dan Nurina meminta maaf dari Ustazah dan memohon diri ke pejabat.

Kami harap Nurina tidak lagi mempercayai perkara-perkara khurafat !

Sekian.

No comments:

Post a Comment