October 18, 2011

Pelajar UKM & UNIKL Bergotong Royong Di Surau Al-Umm & Kawasan 1/3 BBB. Gotong Royong Juga Di Taman Tun Perak, Balakong Dihadiri Adun Bangi

Seksyen 1/3, BBB, 17 Zulkaedah = 15 Oktober (Sabtu):

Pagi ini 80 orang pelajar dari Kolej Tun Hussein Onn, UKM dan Asrama UNIKL (Asrama Idris Al-Marbawi, kini digunakan oleh pelajar UNIKL) turun ke Seksyen Satu, kawasan 1/3 bergotong royong bersama dengan penduduk setempat. Gotong royong di bawah anjuran pihak Surau al-Umm dan penduduk setempat dengan kerjasama MPKj. Sebelum bergotong royong mereka berhimpun di bawah khemah dipasang di padang rekreasi di sini bagi mengikuti Majlis Pembukaan dan taklimat berhubung dengan gotong royong.

Hadir ke Majlis Pelancaran ialah Adun Bangi Dr. Shafie Abu Bakar, Ustaz Shafie Ngah Ahli Majlis MPKj Zon 23, Pengetua Kolej Tun Hussein Onn En. Azhan, Pengerusi Surau Datuk Dr. Abdul Wahid dan Cik Rozana dari bahagian Kesihatan MPKj. Berucap mengalu-ngalukan peserta Datuk Dr. Wahid mengalu-ngalukan kehadiran pelajar-pelajar dari Kolej Tun Hussein Onn dan UNIKL. Ini membuka ruang bagi mereka berinteraksi dengan penduduk setempat. Gotong-royong hari ini bermula dari cadangan di Surau al-Umm yang membawa kepada cadangan kerjasama dengan pihak kolej-kolej agar pelajar-pelajar turun sama bergotong royong. Beliau berharap melalui surau dapat dijalankan banyak lagi aktiviti yang akan dijalankan bagi faedah penduduk di kawasan di sini.

En. Azhan Pengetua Kolej Tun Hussein Onn dan bagi pihak Kolej UNIKL berterima kasih kerana memberi peluang pelajar-pelajar mencari pengalaman berinteraksi dengan masyarakat. Ini akan lebih mematangkan pelajar-pelajar. Ianya juga melengkapkan kegiatan ko-kurikulum pelajar-pelajar. Sementara Ustaz Shafie Ngah, bercakap tentang kebersihan di Bandar Baru Bangi yang akan dipertingkatkan, khususnya selepas MPKj mengambil alih pengurusan sampah sejak 16 Oktober yang baru lalu. Beliau juga menyebut tentang usaha mencantikkan Bandar Baru Bangi dalam mana ketiga –tiga bulatan akan dihiasai dengan tumbuh-tumbuhan. Bulatan yang akan dioperindahkan ialah Bulatan selepas Tol Bangi, Bulatan ke UKM dan Bulatan ke Jalan Reko.

Adun Bangi memuji gotong royong yang diadakan. Beliau menyebutkan wujudnya Bangi dengan wujudnya UKM, sebab itu sejarah Bangi ialah sebahagian dari sejarah UKM.. Kerjasama seharusnya berterusan , lebih-lebih lagi sebahagian dari penduduk di BBB adalah pekerja-pekerja UKM. Adun Bangi juga mengalu-ngalukan pelajar UNIKL yang menjadi sebahagian dari penduduk Bangi, khususnya di kawasan 1/3. Usaha kerjasam seperti kali ini hendaklah diteruskan menurut kesesuaian. Adun menyebut hasrat melihat BBB menjadi Bandar Hijau, Bandar Taman dan Bandar Bersih, disamping Bandar Ilmu. Namun menurut Adun hasrat murni ini tidak dapat dicapai kecuali dengan kerjasama semua pihak sebagaimana pertemuan bagi gotong royong pada hari ini. Adun berharap dengan pertemuan seperti ini lebih megeratkan hubungan dan kerjasama bagi kepentingan penduduk. Dengan lafaz Bismillah Adun merasmikan Gotong Royong Perdana di kawasan 1/3.

Selepas perasmian dan minum pelajar-pelajar diberi taklimat dan dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Satu kumpulan dikhaskan bekerja membersih surau dan kawasan sekitarnya, mereka juga dikehendaki mengecat surau. Beberapa pasukan dikehendaki membersih kawasan dan bergerak dari lorong ke lorong, manakala pihak Kesihatan mencari bukti-bukti wujudnya pembiakan nyamuk eides. Pasukan MPkj pula memotong pokok-pokok dan mengangkut barang-barang yang dibersihkan. Gotong royong berterusan dari jam 8.30 pagi sehingga 1,00 tengahari dalam mana mereka disediakan makan tengahari.

Sementara itu pada pagi Ahad 16 April Adun Bangi menyertai Majlis Pelancaran gotong royong di Taman Tun Perak Balakong bagi membersih kawasan dan mempastikan tapak untuk dimohon bagi mendirikan Dewan Orang Ramai di sini. Majlis anjuran Rukun Tetangga dengan kerjasama MPKj dan diadakan di sebuah bangunan swasta di sini. Hadir sama ke Majlis Gotong royong ialah YB Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, saudara Yap Adun Balakong, Adun Bangi, En. Abdul Ghani Pengerusi Rukun Tetangga, Dato`Hisham dan saudara Ah Seng Ahli-Ahli Majlis MPKj. Semua yang bercakap mulai dari YB Yap, YB Teo Nie Ching, Adun Bangi dan En.Abdul Ghani menyokong tentang perlunya diadakan Balai Komuniti bagi kawasan Tun Perak yang mula dihuni pada tahun 2000 yang kini mempunyai seramai 10,000 orang penduduk. YB-YB Parlimen, Balakong dan Bangi diminta ambil perhatian bagi mendapatkan tanah bagi mendirikan Balai Komuniti di sini. Selepas dari Majlis Perasmian penduduk bergotong royong dan mengenal pasti tapak bagi dipohon untuk didirikan Balai Komuniti berkenaan. Pihak MPKj menyediakan lori dan pekerja bagi pembersihan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment