September 22, 2011

Syarahan Alumni UKM Ke 5: Kepuasan Dengan Kejayaan Bekas Pelajar (Dato` Paduka Dr. Junaidi Bin Abu Bakar) - Penyampai Syarahan

UKM, 22 Syawal = 20 September (Selasa):

Seorang guru – termasuk pensyarah merasa puas dengan kejayaan pelajar-pelajarnya, apalagi jika berjaya di dalam kerjaya mereka. Adun sendiri bersyukur kerana diberi Allah kesihatan dan panjang umur dan menikmati kepuasan apabila melihat pelajar-pelajar yang diasuh sendiri dan berjaya di dalam kerjaya mereka. Adun misalnya merasa puas sepanjang menjadi pensyarah di UKM, semasa menjawat jawatan sebagai Profesor Madya diberi kepercayaan oleh Jabatan dan Fakulti membimbing sejumlah lima pelajar pada peringkat Dr. Falsafah sehingga mereka lulus. Adun berbangga dua daripada mereka bukan saja lulus, tetapi selepas lulus cemerlang dalam kerjaya sehingga diangkat menjadi Sasterawan Negara. Empat orang dari lima ini menjadi pensyarah di universiti. Dua daripada lulusan PhD ini menggunakan Teori Takmilah bagi tesis PhD yang Adun sendiri binanya. Ramai lagi yang berjaya yang membuat Ijazah Masters dan Ijazah Pertama sama ada menjadi tenaga pengajar, pentadbir atau terlibat dalam politik sehingga menjadi Timbalan Menteri dan berjaya di dalam kerjaya-kerjaya yang lain.

Demikianlah pada hari ini Adun dijemput menghadiri Syarahan Alumni Ke 5 UKM yang tokoh jemputan menyampaikan Syarahan ialah YBhg. Dato` Paduka Dr. Junaidi Bin Abu Bakar. Beliau adalah salah seorang pelajar Adun di dalam bidang sastera semasa Adun menjadi pensyarah. Ini disebut sendiri oleh Dato` Paduka Dr. Junaidi di dalam Syarahan Alumninya. Beliau sekarang berjawatan selaku Timbalan Naib Canselor (HEPA), Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim Perak.

YBhg. Dato` Paduka Dr. Junaidi dilahirkan pada 12 Mac 1963 di Kuala Krai, Kelantan. Beliau memperolehi Ijazah Sarjanamuda (Kepujian) (1988) dan Ijazah Sarjana (1991) di dalam bidang Sains Politik UKM. Beliau meneruskan pengajian pada peringkat Diploma Siswazah (1992) dan Dr. Falsafah 2004 kesemuanya dari UKM. Beliau pernah menjadi Tutor di UKM (1991-1992), Pegawai di Perusahaan Proton (1992-1993), Pengurus Jabatan Sumber Manusia Hasu Industries Sdn. Bhd. (1993-1995), Pensyarah Jabatan Sains Politik UKM (1995- 2002), Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Media dan Komunikasi UKM, Felo Institut Kajian Etnik Malaysia, UKM dan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia (2006-2011) diikuti dengan perlantikan beliau menjadi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar di UPSI baru-baru ini.

Fokus ucapan Dato` Paduka Dr. Junaidi ialah peranan beliau di dalam memupuk dan mengekalkan hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia semasa menjadi Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia. Majlis dihadiri antaranya Prof. Drs. Rosdi Atasye Indonesia ke Malaya, Prof. If. Dr. Othman A. Karim Wakil Naib Canselor, UKM, Dr. Azmi Abdullah Ahli Lembaga UKM, Prof. Dr. Laily Pengarah Pusat Pengajian Siswazah, pegawai-pegawai universiti, kalangan alumni dan pelajar-pelajar. Syarahan pada petang ini adalah anjuran Pejabat Perhubungan Alumni UKM dengan kerjasama Persatuan Pelajar Indonesia, UKM bertempat di Auditorium, Pusat Pengurusan Siswazah, UKM.

Menurut Dato` Paduka Dr. Junaidi tugas beliau selama lima tahun di Indonesia ialah berusaha membina hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia. Mengelak dari konflik sempadan yang melibatkan kepentingan ekonomi antara kedua Negara, membantu mengatasi masalah yang timbul dari salahlaku majikan di Malaysia terhadap pekerja Indonesia, menyelesaikan dakwaan asal-usul lagu-lagu yang didakwa kedua belah pihak milik mereka. Soal kemasukan pekerja-pekerja Indonesia ke Malaysia. Begitu juga soal wanita Malaysia dikahwini rakyat Indonesia yang dibawa pulang ke Indonesia. Terlibatnya beliau dengan isu-isu ini kerana rapatnya beliau dengan Duta Indonesia dan Malaysia di kedua-dua Negara dan pegawai-pegawai atasan di Indonesia yang sebahagian daripada mereka berkelulusan UKM. Tetapi sebagai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia tugas asasi beliau ialah menjaga kepentingan dan kebajikan pelajar Malaysia yang menuntut di Indonesia, iaitu berjumlah 5,900 orang, juga terlibat dengan urusan pelajar Indonesia ke Malaysia yang berjumlah 14,000 orang. Menurut Dato` Paduka Dr. Junaidi jumlah alumni Indonesia yang belajar di Malaysia sekarang ialah 6,000. UKM adalah universiti utama bagi pelajar-pelajar Indonesia di Malaysia. Mereka menjawat berbagai-bagai jawatan penting dari menteri, tenaga pengajar di universiti dan pegawai-pegawai. Beliau juga bertanggungjawab mengatur kerjasama antara universiti-universiti di Malaysia dengan universiti-universiti di Indonesia, mengatur seminar, bahkan kehadiran tenaga pengajar ke Indonesia dan sebaliknya.

Sebelum penyampaian syarahan Prof.Ir. Dr. Othman A. Karim menyampaikan ucapan alu-aluan mewakili Naib Canselor UKM. Turut berucap Y.Bhg. Prof. Drs, Rusdi M.A., Ph.D Atase Pendidikan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur.

Sekian.

No comments:

Post a Comment