September 18, 2011

Haji Tahir Ketua Kampong Simpang Balak Meninggal Dunia: Sambutan Raya Ketua-Ketua Kampong Bertukar Majlis Tahlil

Simpang Balak, Balakong, 19 Syawal = 17 September (Sabtu):

Pada pagi hari ini beliau masih seperti baiasa keluar minum pagi di warung bersama penduduk setempat dan bercakap-cakap dengan mereka. Pada petang nanti Sambutan Raya Ketua-Ketua Kg. Hulu Langat akan diadakan. Beliau turut ditugaskan menyediakan menu khusus bagi pertemuan Hari Raya Ketua-Ketua kampong Mukim Kajang di Kompleks Penghulu di Teras Jernang di sini. Tiba-tiba pada tengahari semasa kami sedang meraikan warga-warga emas bershopping di Pasarraya Econsave, Jalan Reko, kami mendapat berita mengejutkan bahawa Tuan Haji Tahir bin Salleh (49) meninggal dunia selepas terjatuh dalam bilik air di rumahnya jam 12.00 tengahari ini. Beliau telah dikejarkan ke Klinik KPJ dan dirujuk ke Hospirtal Serdang dan disahkan kematiannya oleh Doktor. Tuan Haji Tahir meninggalkan seorang Balu Puan Hamidah binti Abdul Majid dan empat orang anak - 2 lelaki dan 2 perempuan. Beliau dilantik menjadi Ketua Kampong Simpang Balak, Balakong pada 1.8.2008 lepas dan perkhidmatannya diteruskan hingga ke kematiannya. Sebelumnya beliau adalah seorang pekerja di Petronas di Bangi sebelum bersara. Pada awal tahun 2011 penunubuhan Cawangan Pas di Simpang Balak dilakukan oleh Adun Bangi selaku YDP Pas pada masa itu dan beliau dilantik sebagai Pengerusi Protem Komiti, manakala seorang anaknya dilantik menjadi Setiausaha.

Jenazah Tuan Haji Tahir diuruskan segera dan dikebumikan segera pada petang ini juga di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat, Kajang. Adun Bangi yang turut sama ke kubur berada di dalam hujan rahmat yang lebat dan pengkebumian di dalam keadaan hujan lebat tersebut. Pembacaan talqin dan tahlil terpaksa diadakan di bawah khemah di atas kubur al-Marhum di dalam keadaan berdiri, kerana tanah basah dan becak. Adun berkesempatan mengucap takziah kepada anak-anak al-Marhum yang sama menguruskan pengkebumian jenazah ayahanada mereka yang dikasihi. Adun pulang ke Pejabat Adun di Bangi jam 6.00 petang.

Sementara itu pada malam ini satu Majlis Perayaan Hari Raya Idul Fitri Ketua-Ketua Kampong Mukim Kajang diadakan di Kompleks Penghulu Mukim Kajang di Teras Jernang di sini. Menurut Tok Rusli Muhibat Ketua Penghulu Mukim Kajang, Tok Haji Tahir, menurut keputusan, JKKK di bawahnya sepatutnya menyediakan nasi beriani, di samping ketua-ketua kampung yang lain menyediakan menu-menu yang lain. Adun Bangi yang hadir ke Majlis tersebut mendapati menu nasi beriani bertukar kepada nasi putih biasa. Menurut Tok Rusli, Majlis Perayaan pada malam ini ditukar kepada Majlis Tahlil selepas Maghrib. Nyanyian-nyanyian raya patut dipasang pada malam ini ditarik balik. Namun jamuan raya tetap diteruskan.

Kita mengucapkan TAKZIAH kepada keluarga Tok Haji Tahir – Al-Fatihah.

Sekian.

1 comment:

  1. Boleh saya tahu siapa penggantinya(ketua kampung yang baru) dan alamat rumahnya

    ReplyDelete