September 28, 2011

Berhariraya & Masalah Denggi

Bangi, 26 &27 Syawal = 24 & 25 September (Sabtu & Ahad):

Berhariraya biasanya dikaitkan dengan kegembiraan, tetapi padah dan malang boleh berlaku tanpa kira waktu, misalnya kecuaian dari menjaga kebersihan boleh mengundang padah dan malang. Demikianlah dalam masa umat Islam sebok merayakan Idul Fitri ada pula yang diserang denggi.

Demikianlah pada hujung minggu ini Adun hadir ke dua tempat yang dikaitkan dengan kes denggi.

Pertama: Menghadiri Hari Terbuka Hariraya Vista Seri Putra (VSP 2011), pada malam 24 September bertempat di Dewan Serbaguna Vista Putera Apartment. Bangunan Apartment di sini yang terdiri dari 2 bangunan tinggi dan 10 bangunan 4 tingkat adalah antara bangunan yang awal disiapkan apabila Bandar Seri Putera dibangunkan (2001). Kesemuanya mengandungi 700 unit dengan penghuni seramai 2,000 orang. Hadir ke majlis berkenaan Tuan Haji Ahmad Yusof Pengerusi Persatuan Penduduk Induk, Pengerusi Persatuan Penduduk Vista Apartment Kapten Rahim dan En. Noriz Wakil dari pihak Pemaju Bangi Height. Bersama sambutan raya dimaklumkan terdapat kes denggi di apartment berkenaan. Lantaran itu dalam Majlis Hari Terbuka Sambutan Raya pada malam ini dijemput sama Pegawai Kesihatan Hulu Langat, iaitu En. Rusli bin Hassan untuk memberi penerangan berkenaan bahaya denggi dan cara mencegahnya. Beliau mengambil masa lebih kurang setengah jam menerangkan mengenai bahaya, cara-cara merebak dan mencegahnya dengan membasmikan segala bekas dan tempat yang merebakkan denggi. Adun berckap ringkas mengucap terima kasih di atas jemputan dan mengucapkan selamat Hariraya.

Sementara itu pada pagi Ahad 25 September, Adun ke Kampong Bangi menyertai gotong royong membasmi denggi di kampong tersebut. Ini ialah kerana berlakunya kes denggi di kampong tersebut. Hadir ke Balai Raya tempat taklimat lebih kurang 50 orang, Antara mereka selain dari Adun Bangi, ialah Tuan Haji Zakaria Ketua Kampong Bangi, En. Zul Ketua kepimpinan setempat, Encik Rusli bin Hassan Pegawai Kesihatan dari Daerah Hulu Langat, turut hadir Bekas Pesakit Denggi yang baru sembuh ialah Encik Husin bin Kayyum.

Penerangan disampaikan oleh Encik Rusli. Beliau merujuk contoh pengalaman kepada En. Husin Kayum yang pernah mengalami denggi. Adun juga bercakap ringkas berterima kasih kepada AJK yang menjemput Adun. Adun bercakap tentang pentingnya kesihatan. Antara faktor yang memberi sumbangan kepada kesihatan ialah kebersihan. Islam amat mementingkan kebersihan, kerana kebersihan membawa kepada kesihatan. Berlakunya denggi di tempat kita barangkali ada tempat-tempat tidak bersih yang mengundang nyamuk aedis bertelur. Saya melihat tanah di sepanjang jalan Kampong Bangi ini begitu subur, kerana dulu merupakan kawasan yang sering banjir, sebab itu tanahnya subur dan kawasan ditumbuhi semak dan lalang. Saya percaya antara cara membersih kawasan di sini ialah dengan menanam pokok-pokok buah-buahan dan bertani. Dengan demikian tanah bersih, ada hasil pertanian dan membentuk warga yang sihat.

Selepas menikmati sarapan mereka yang hadir dipecahkan kepada empat kumpulan,

Iaitu pasukan yang memberi tumpuan memungut tin-tin dan bekas-bekas yang boleh membiakkan nyamuk, pasukan yang memungut sampah, memeriksa parit dan longkang dan memotong dahan. Gotong royong berterusan sehingga tengahari – jam 12.00.

Sekian.

No comments:

Post a Comment