September 11, 2011

Anakku Yang Wangi: Tuan Guru Bawa Bingkisan Simpati















Tatkala Tuan Guru turun khas dari Kota Bharu
Menyampaikan TAKZIAH khas darinya & isteri
Kepada isteri ibu bapa keluarga Noramfaizul
Suasana sedih menyelubugi kami yang menyertai
Khusus apabila ibu mengungkap pilu
Bahawa Noramfaizul satu-satunya putera kami
Tidak ada gantian, tidak ada tandingan kasih sayang
Bila dekat bermesraan, bila jauh berhubungan
Tiba-tiba si ibu jatuh berteleku di hadapan Tuan Guru
Dipapah dikawal dan ditenteram muslimat kelilingan
Tuan Guru pula dengan tenang mohon kesabaran
Membaca Hadith-Firman insya Allah dia Syahid di sisi Tuhan.















Si ibu kemudian dalam sendu meluahkan isi kalbu
Sambil meraih stoking, kasut dan baju dipakai Al-Marhum
Ketika serangan berlaku dengan darah penyaksian
Dipulang sebagai sovenier sentimental bukti penyaksian
Dicium ibu melepas rindu mengungkap pilu
Bahawa bau kesan darah mewangi sewangi kasturi hati
Tubuh Noramfaizul ketika dimandi bersih sesuci bayi
Dan wajahnya terus menguntum senyum
Persis kelopak mawar menebar wangi
Dalam sendu Tuan Guru dipohon doa restu
Seluruh ruang bagai dihentikan sekejap
Tangan-tangan bersama tangan-tangan Malaikat
Terangkat bermunajat mengaminkan doa
Semoga Noramfaizul diberi keampunan
Dikira sebagai syahid gugur dalam tugasan
Diberi kekuatan iman dan kesabaran
Bagi yang hidup meneruskan kebaikan
Berapa dari wajah bergenangan airmata
Terkesan dengan doa munajat Tuan Guru
Hingga beliau kemudian memohon diri
Meninggalkan kesan mendalam simpati.















Setelah selesai menyertai episod ini
Tunduk tafakkur aku bertanya
Sejauhmana kewajaran dan tindakan dilaksana
Bila tujuan, objektif, misi dan visi tak nyata
Bila premis kemanusiaan diselewengkan
Antara mangsa diperguna demi publisiti
Dan keluarga menerima kesan panjang
Apakah penyelesaian yang berkenaan berikan ?
Noramfaizul telah pergi menemui Rabbul Jalil
Pengorbanannya disanjung semua pihak
Atas misi kemanusiaan dia terkorban
Dia adalah wira Media – contoh teladan
Semoga rohnya di kalangan salihin ditempatkan.
Amin !!!

















Shafie Abu Bakar,
Serdang Raya,
12 Syawal 1432
10 September 2011.

No comments:

Post a Comment