August 24, 2011

Tuanku Sultan Selangor Turun Beriftar Dan Bertarawih Di Masjid Cheras Jaya, Adun Bangi Persembahkan Buku

Adun Bangi Persembahkan Buku

Masjid Cheras Jaya, 24 Ramadhan = 24 Ogos ( Rabu):

Lebih kurang Jam 6.00 petang Adun Bangi tiba di Pekarangan Masjid Cheras Jaya bersama pembesar-pembesar Negeri, pegawai-pegawai dan kakitangan dan AJK Masjid Cheras. Jam 6.15 turut menyambut ketibaan Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor dan lebih kurang jam 6.45 petang Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah tiba dan disambut oleh YAB Dato` Menteri Besar Selangor dan pembesar-pembesar Negeri Ahli Parlimen dan Adun-Adun dan pegawai-pegawai. Sebaik Baginda bersemayam, acara majlis dimulakan pembukaan dengan doa dan Baginda menyampaikan bantuan kepada faqir miskin, ibu tunggal, anak yatim dan saudara baru berjumlah 398 orang.

Berikut dari itu ialah persembahan kepada Tuanku dari pihak Pejabat Daerah, MPKj, Ahli Parlimen YB Dr. Rusli Che Mat dan dikuti dengan persembahan dari Adun Bangi.

Sesuai dengan Bangi Bandar Ilmu, maka persembahan dari Adun Bangi ialah satu set buku-buku yang terdiri dari tujuh buah iaitu:

Panduan Hidup Bersyariat
Khalifah Ar-Rashidin
Tokoh-Tokoh Di Dalam Al-Qur`n
Perundangan Islam
Sambutan 30 Tahun Bandar Baru Bangi (1977-2007)
Madu Ilmu
Wajah Diri

Dua buku terakhir ialah hasil karya Adun sendiri. Madu Ilmu ialah Kumpulan Puisi terilham berhubung dengan UKM mulai 1968 – dari peringkat awal tuntutan agar UKM didirikan hinggalah 1998. Ianya merupakan pengalaman Adun di UKM semasa menjadi pelajar dan tenaga pengajar UKM sehingga ke peringkat Profesor Madya. Buku ini Adun persembahkan kepada UKM sempena persaraan pada 28-5.1999. Buku ini diterbitkan oleh Jabatan Persuratan Melayu UKM (1999).

Buku yang kedua juga Kumpulan Puisi – Wajah Diri yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1995). Ianya merupakan puisi-puisi pilihan Adun yang bernafaskan keislaman.

Sebelum tiba waktu beriftar Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat Tuan Haris bin Kasim menyampaikan ucapan berhubung dengan pembangunan di Daerah Hulu Langat. Beliau menyatakan bahawa kehadiran Tuanku Sultan Sharafuddin ke Masjid Cheras Jaya adalah bagi kali kedua, selepas kali pertama ialah Pemukaan Masjid Cheras Jaya pada 23 April 2010. Menurut Tuan Haris, di Hulu Langat terdapat sebanyak 45 masjid dan 401 surau dan 10 daripada surau dibenarkan mendirikan solat Juma`at..

Di Hulu Langat jua terdapat 32 sekolah rendah agama, 1 menengah, 30 tahfiz, 58 kafa dan 3 buah Sekolah rendah agama dalam pembinaan yang melibatkan peruntukan sebanyak RM20.6 juta. Di Selangor juga terdapat Pengajian Tinggi Islam, iaitu Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Fakulti Islam dan Maktab Perguruan Islam. Sebuah Kompleks Islam sedang dalam pembinaan di Bandar Baru Bangi yang kosnya ialah RM17.9 juta.

Jalan-jalan yang sedang pembinaan di Selangor ialah MRT dari Sungai Buluh ke Kajang yang akan menelan belanja ialah RM36.6 billion, KL-Gombak (KLOR) RM1.5 billion,

Dan projek Air dari Pahang ke Hulu Langat berharga RM8.6 billion, manakala Projek Tebatan Banjir berharga RM208 juta. Tuan Pegawai Daerah berharap daripada berbagai projek terbuka peluang pekerjaan dan kemakmuran mengalir sama kepada rakyat.

Selepas Taklimat dan beriftar Bginda Tuanku As-Sultan menunaikan solat Maghrib dan Isyak seterusnya Tarawih bersama rakyat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment