August 13, 2011

Tarawih Di Surau Antarabangsa: Bercakap Dengan Pelajar Iraq, Cina Dan Turki

Taman Tenaga, 12 Ramadhan = 12 Ogos (Jumaat):

Malam ini bersolat Isyak dan Tarawih di Surau As-Syakirin, Taman Tenaga berdekatan dengan Hentian Bas Jalan Reko. Surau As-Syakirin yang didirikan solat Jumaat ini Adun namakan sebagai `Surau Antarabangsa` oleh kerana bersempadan dengan surau ini ada Kolej Kediaman UKM yang dihuni oleh pelajar-pelajar antarabangsa. Adun tiba di Surau As-Syakirin, Taman Tenaga 9.45 sebelum sedikit waktu Isyak. Adun disambut oleh saudara Shamsul Bahrain bin Mohd Nasir Pengerusi Surau. Ketika itu surau mulai memenuh dengan para jamaah. Saudara Shamsul memaklumkan kepada Adun surau diimarah oleh pelajar-pelajar luar Negara yang kebanyakannya dari Asia Barat. Jumlah mereka di Kolej Kediaman UKM di sini lebih kurang 150 orang. Mereka memakmurkan surau bukan setakat bulan Ramadhan, tetapi juga bulan-bulan bukan Ramadhan. Menurut saudara Shamsul, mereka tidak bersolat di kediaman Kolej, sebaliknya datang bersolat di Surau setiap waktu.

Pelajar-pelajar yang tinggal di Kolej kediaman di sini adalah pelajar-pelajar Ijazah Lanjutan yang datang dari berbagaibagai Negara seperti Iraq, Jordan, Libya, Turki, Bangladish, Iran, Cina, Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei. Kini mereka dalam sesi pengajian. Sebelum solat Isyak yang diminta Adun mengimami memang kelihatan ramai pelajar-pelajar dari Asia Barat dan mereka terus kekal bersolat Tarawih yang dipimpin seorang Imam Muda. Pada pertengahan Tarawih Imam Ustaz Ibrahim menyampaikan tazkirah ringkas berhubung dengan Iman dan Amal Saleh. Beliau menggesa semua berlumba-lumba membuat kebajikan dengan bersadaqah. Menurutnya kerja kebaikan jangan ditangguh-tangguh seperti tunggu masa tua atau bila sakit baru hendak bersadaqah.

Adun berhasrat mau menemui pelajar-pelajar antara bangsa yang sama memenuhi saf-saf, akan tetapi selepas selesai bersolat witir dan Adun mengambil sedikit masa menyampaikan peruntukan dan bantuan, pelajar-pelajar antarabangsa ini mulai beredar ke Kolej kediaman mereka. Walau bagaimana Adun berkesempatan bercakap-cakap dengan sekumpulan pelajar-pelajar dalam satu bulatan lebih kurang 6 – 8 orang. Mereka semuanya pelajar-pelajar Iraq. Adun berkesempatan bertanya khabar. Mereka kesemuanya pelajar Ijazah Lanjutan yang majoring di dalam bidang sains.

Adun juga berkesempatan berbual dengan dua orang pelajar muda yang tersandar rihat. Seorang daripada mereka, bernama Abdul Rashid Al-Din pelajar dari negeri Cina dan seorang lagi ialah Ibrahim al-Jawadi Tarkit dari Turki.

Adun bertanya tentang kursus yang diikuti oleh Abdul Rashid, menurutnya dia mengambil Tesl, Beliau sudah berada 4 tahun di Malaysia. Kini telah menguasai bahasa Melayu. Kami bercakap dengannya menggunakan bahasa Inggeris di samping berbahasa Melayu. Manakala saudara Ibrahim sedang mengikuti kursus dalam bidang Sains. Beliau fasih berbahasa Arab. Lantaran itu sekali sekala kami berbahasa Arab, di samping bahasa Inggeris dan Melayu. Apabila kami dijemput ke dalam bilik rehat sambil minum, kedua-dua pelajar ini mengikuti kami masuk dan minum bersama.

Pada mula Adun menyangka saudara Abdul Rashid dari bahagian barat Cina dari Sinkiang berketurunan Urumqu, tetapi menurutnya beliau dari bahagian Timur dan berdekatan dengan Korea. Beliau belajar di UKM atas perbelanjaan sendiri (keluarga). Bila tamat pengajian beliau berharap dapat bekerja dalam bidang yang mempunyai hubungan antara Cina dan Malaysia dan beliau bercadang akan berulang alik antara Cina dan Malaysia. Bila ditanya bagaimana pandangannya berhubung dengan situasi penghidupan di Malaysia. Beliau amat tertarik dan suka berada di Malaysia. Beliau juga mau meningkatkan dakwah keislaman di negerinya melalui pengalaman di Malaysia. Menurutnya bilangan penduduk Islam di Cina adalah 10%, sebagaimana pelajar Cina di UKM 300 orang, maka 30 orang atau 1`0 % sahaja daripada mereka beragama Islam, tetapi menurutnya pelajar Cina Muslim yang ramai belajar di sini adalah di UIAM. Bila ditanya kemungkinan beliau kahwin dengan wanita Malaysia? Beliau menjawab, ``Mungkin``.

Saudara Ibrahim tidak kurang peramah berbanding saudara Abdul Rashid, Bila ditanya, mengapa memilih menyambung pengajian di Malaysia, pada hal Turki dekat dengan Eropah. Beliau menjawab, `Perbelanjaan di Malaysia lebih murah bertbanding belajar di Negara Barat,` lagi pula menurutnya, ``Pemilihan dipengaruhi faktor agama, lebih-lebih lagi Malaysia giat dengan perkembangan Islam sama dengan Turki sekarang diperintah oleh kerajaan yang lebih Islam berbanding dengan sebelumnya. Beliau bersetuju bahawa Malaysia Negara yang aman dan maju. Bila ditanya tentang kecantikan Negara Malaysia, beliau berkata, `Turki lebih cantik` dan bila ditanya tentang wanita, beliau juga menegaskan, ``Wanita Turki lebih cantik`. Secara bergurau Adun berkata, `Saudara Ibrahim akan berkahwin dengan wanita Turki dan bukannya Malaysia. ``Ya,` kata beliau bersetuju.

Sekian.

No comments:

Post a Comment