August 1, 2011

Ramadhan Dirindui Kembali Menemui


Setiap kali melepasmu pergi terdetik di hati
Dengan usia bersisa kembalikah kita bermesra
mengisi Ramadhan al-Mubarak dengan ibadat
Kini di hujung saat-saat sarat kerinduan
Dengan wajah bersih berhilal kau datang
Menggugurkan daun-daun rindu diperjalanan.

Ramadhan kunjunganmu kali ini amat bererti
Dengan pendakian ke tujuh dekad
Dan semakin berkurangnya kudrat
Tangan tuaku masih mampu
Menyentuh lembut wajahmu
Dan mendakap mesra erat
Untuk sepurnama berdekat.

Dengan kehadiran
Ingin kujalani Ramadhan ini
Seputih iman sepenuh ihtisaban
Mengisi waktu dengan ibadat
Membasah bibir bertilawat
Berzikir dengan mata fikir
Bertahmid dengan kebesaran
Bertahajud dengan kekhusyukan.

Ramadhan yang menjelang
Mengembali mesra tatkala berbuka
Berduyung ke masjid-surau bersolat
Berlamaan qiyam bersama imam
Mengulang salawat terhadap Junjungan
Memanjatkan doa pohon dikabulkan.

Kembalimu Ramadhan ke pangkuan
Mesra Ramadhan sarat pengisian
Lajnah Kebajikan menyusun kunjungan
Mengagih masjid-surau dengan peruntukan
Menziarah faqir-miskin memberi bantuan
Kunjungan mesra ke pasar dan perhentian
Mengedar kurma sekadar buahtangan
Sempena berkatnya Ramadhan.

Ramadhan yang datang
Di sebalik mesra itu ada kesayuan
Mungkinkah ini khidmat terakhir
Memesrai diri dengan masyarakat ?
Atau lebih dari itu
Inikah peluang terakhir beribadat
bersama Ramadhan al-Mubarak ?

Ramadhan dirindui kembali menemui
tengadah kesyukuran peluang dilanjutkan
mohon kesihatan meneruskan ketaatan
mohon kekuatan meneruskan perkhidmatan
segalanya biarlah dalam keredaan-Mu Rabbi
meneruskan ketaatan dan khidmat ini.

Shafie Abu Bakar,

Bandar Baru Bangi,
01 Ramadhan 1432
01 Ogos 2011.

No comments:

Post a Comment