August 8, 2011

Dua Kali Ke Program Di Seksyen 4, Bukit Mahkota Dalam Seminggu

Seksyen 4, Bukit Mahkota, BBB, 06 Ramadhan = 06 Ogos (Sabtu):

Seperti program biasa, pada setiap malam Adun bergerak berubah masjid atau surau menziarah para jamaah sambil menyampaikan peruntukan dan bantuan. Pada malam ini Adun ke Surau Apartment Nuri, bersembahyang Isyak dan bertarawih bersama-sama jamaah. Agenda tambahan pada malam ini ialah menyampaikan bantuan kepada penduduk setempat yang berkelayakan dan Mesyuarat Agung AJK Surau Kali Kelima di Surau. Hadir sama pada malam ini ialah Tuan Haji Mazwan Johar Ahli MPKj, saudara Hasrul Effandi bin Abd. Manap Pengerusi Surau, sdr. Nizar Abd. Manan Setiausaha, AJK, ahli-ahli jamaah dan penerima-penerima bantuan. Sebelum majlis penyampaian diadakan tayangan multimedia tentang kegiatan surau sejak setahun yang lalu.

Berucap pada malam ini, Tuan Haji Mazwan mengucapkan syabas di atas kegiatan di surau. Adun juga memuji di atas inisiatif AJK mengadakan kegiatan di surau dan penambahan ruang surau yang menandakan pada jamaah makin bertambah. Berdasarkan kepada buku laporan yang diedarkan jelas banyak kegiatan yang dilakukan sepanjang tahun. Antaranya yang melibatkan Adun. Diharap selepas mesyuarat banyak lagi rancangan-rancangan akan dijalankan. Selepas penyampaian sumbangan, para ahli jamaah bermesyuarat dan para jemputan minum dan beredar.

Sementara pada Ahad 31 Julai yang lepas, pada sebelah pagi, iaitu sehari sebelum berpuasa Adun juga dijemput oleh AJK ke pertandingan bola sepak di sini bagi merasmikan pertandingan. Pertandingan dianjurkan oleh Pas Cawangan Bukit Mahkota. Sebanyak 17 pasukan bertanding yang dipecahkan kepada Pasukan Terbuka, Veteran dan Remaja. Hadiah-hadiah disediakan dalam bentuk wang tunai RM350/= bagi johan dan RM150/= bagi naib johan dan medal bagi pasukan yang meraih no. 3. Hadir menyaksikan pertandingan ialah saudara Aidil Ketua Cawangan Pas di sini selaku Penasihat, Pengarah Pertandingan saudara Hamidon dan Wakil dari Syarikat Mectten Syarikat Burung Walit yang mengsponsor pertandingan. Selepas ucapan alu-aluan Pengerusi, Adun secara bergurau menyatakan, ``Pas Cawangan Bukit Mahkota menganjurkan Pertandingan Bola Sepak Menyambut puasa.`` Kata Adun , ``Walaupun nampak sedikit berlainan tidak mengapa.

Bila berpuasa tidak semestinya kita mengubah rutin kegiatan, sebaliknya perlu diteruskan di samping menambahkan ibadat. Bersukan tidak salah dalam bulan puasa bagi memelihara kesihatan dan kelihatan cergas.

Sebelum Adun memohon diri pada pagi itu ke program yang lain, sengaja diadakan pertandingan antara remaja dan campuran. Pasukan orang muda nampaknya menguasai padang ! Dan Adun menyampaikan hadiah kepada mereka terlebih dahulu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment