July 14, 2011

Rasmi Kem Nadwah As-Salihin Kafa Integrasi Al-Hidayah Di Sungai Congkak

Hulu Langat, 6 Sya`ban = 8 Julai (Jumaat):


Jam 6.30 petang kami bertolak dari Pejabat Adun BBB menuju ke Kem Herba, Batu 20, Sungai Congkak, Hulu Langat dan tiba elok sebelum sedikit waktu maghrib. Kami ke sini bertujuan merasmikan Kem Nadwah yang dianjurkan oleh Sekolah Agama Kafa Integrasi Al-Hidayah, Kajang Utama. Kem Nadwah berlangsung selama 3 hari dua malam, 8 – 10 Julai di sini. Ketibaan kami disambut oleh Tuan Haji Ibrahim Martibi selaku Pengerusi Sekolah, Ustazah Tumijah Guru Besar, Ustaz Sharifuddin dari Unit Dakwah, Pejabat Agama, Hulu Langat, Encik Azahar Timbalan Pengerusi yang juga selaku Imam Surau Al-Muhajirin Kajang Urtama, Ustaz Halim, Ustaz Hafiz, guru-guru dan pelajar-pelajar - jumlah yang datang adalah 100 orang. Kem kelihatan bersih dan teratur serta dijaga dengan baik.


Semasa tiba pelajar-pelajar lelaki dan perempuan sedang berada di dewan terbuka, Kem Herba. Mereka tiba lebih awal sejam dari kami. Seelok Maghrib masuk Azan Maghrib dikumandangkan dan Adun memimpin solat berjamaah. Selepas solat Maghrib Majlis perasmian dimulakan. Adun tidak dapat berlamaan, oleh kerana mempunyai agenda mesyuarat di pejabat jam 9.30 malam ini.


Dalam ucapan alu-aluan Tuan Haji Ibrahim Martibi, memaklumkan pihak Sekolah mengadakan Kem Nadwah dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Daerah, ialah bagi tujuan mendedahkan pelajar-pelajar dengan kegiatan ko-kurikulum dan pelbagai program ibadat dan tarbiah. Mereka juga didedahkan dengan kegiatan fizikal dan sukan dan memupuk kerjasama di kalangan pelajar-pelajar sebagai satu kumpulan jamaah.


Adun Bangi dalam Ucapan Perasmian memuji AJK yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Ibrahim dan guru-guru yang diketuai Guru Besar Ustazah Tumijah yang dapat mengadakan Kem Nadwah di tempat yang begitu eksklusif. Adun berharap pihak AJK dan Guru dapat mengisi program yang diatur sebaik mungkin. Walau bagaimana diharap pelajar-pelajar menjaga keselamatan diri agar tidak menimbulkan masalah. Sebab itu pengawalan juga perlu diatur sebaik mungkin. Pada akhir pertemuan selepas pelancaran secara rasmi kem Nadwah, Adun menyampaikan cek untuk menampung perbelanjaan . Selepas jamuan Adun dan pengiring-pengiring mohon diri untuk pulang ke Pejabat.


Sekian.

No comments:

Post a Comment