July 6, 2011

Pelajar UNITEN Turun Ke Labu Lanjut, Sepang Berkhidmat Masyarakat

Labu Lanjut, Sepang, 30 Rajab = 02 Julai (Sabtu):


Seramai 700 pelajar UNITEN turun ke Labu Lanjut, Sepang sempena Projek Interaksi Masyarakat bermula dari jam 7.00 pagi hingga jam 2.00 petang. Projek sedemikian bukanlah baru, sebaliknya kegiatan sedemikian merupakan acara regular bagi pelajar-pelajar mengadakan khidmat Masyarakat di lokasi-lokasi pilihan. Kegiatan sedemikian pernah dilakukan di Sungai Ramal Luar dan perkampungan berdekatan dengan UNITEN. Kegiatan sedemikian adalah merupakan keperluan kursus dan dinilai. Sebab itu pelajar-pelajar tidak boleh memandang enteng kegiatan ko-kurikulum sedemikian. Adun Bangi dijemput atas kapasiti Adun sebagai Adun Angkat bagi Kawasan Sepang, terutama berhubnng dengan pentadbiran kampong dan Hal Ehwal Agama, juga UNITEN adalah berjiran dengan Bangi.


Semasa kesampaian Adun jam 12.30 tengahari berbagai-bagai kegiatan telah dijalankan oleh pelajar yang berjumlah 700 orang itu yang dihantar dengan 18 buah bas. Sejak 7.00 pagi lagi mereka telah berhimpun di Masjid UNITEN dan mendaftar. Selepas sarapan mereka dipecahkan kepada kumpulan program, mereka bertolak ke Labu Lanjut dan tiba lebihkurang jam 8.30 pagi. Kegiatan pertama mereka ialah bergotong royong dari jam 9.00 hingga jam 12.00 tengahari (Peralatan disediakan oleh JKKK), manakala satu pasukan lagi ditugaskan membantu urusan memasak sebagai program Kenduri Kampung.


Adun tiba agak lewat, kerana mempunyai beberapa program di tempat lain sebelumnya. Semasa tiba program Sukanika sedang dijalankan antaranya tarik tali antara JKKK dengan pelajar-pelajar sedang dijalankan. Sebelumnya acara `Bowling Kelapa` telah dijalankan. Bagi Acara Perasmian semua aktiviti dihentikan sementara dan semua pihak diminta berkumpul bagi acara perasmian. Hadir bagi Acara Perasmian bersama Adun Bangi ialah Encik Yusni Hashim Penolong Pegawai Daerah Sepang, NYDP Sepang Encik Bahari, Ketua Kampong Labu Lanjut Encik Damarwulan, Encik Wong dan En. Titus yang mereka berdua adalah Ahli-Ahli Majlis Sepang, Ustaz Aznan dan Ustazah Hanizah sebagai pengiring-pengiring pelajar bagi lelaki dan perempuan dan Saudara Saifuddin sebagai Penghulu Pelajar. Keseluruhan pelajar adalah mereka yang berada pada tahun satu bagi peringkat Ijazah Pertama yang rata-rata umur mereka antara 20 -21 tahun. Lokasi kegiatan gotong royong adalah dalam kawasan 2 km radius yang menurut Ketua kampong jumlah penduduknya ialah sekitar 1,500 orang. Peruntukan adalah dari UNITEN dan dengan kerjasama JKKK. Turut memberi sponsor ialah pihak PLUS.


Bagi Majlis Perasmian, Tuan Penolong Pegawai Daerah Encik Yusni Hashim berterima kasih kepada pihak UNITEN yang telah memilih Labu Lanjut sebagai Lokasi Khidmat Masyarakat, khusus gotong royong. Sesungguhnya menurut En. Yusni, ``Selepas Gotong royong jelas kelihatan bersih berbanding dengan keadaan sebelumnya. Beliau berterima kasih kepada semua pihak termasuk JKKK, Ahli Majlis Daerah yang telah bekerjasama bagi menjayakan Kegiatan Kemasyarakatan. Selaku Tuan Rumah beliau memohon maaf di atas kekurangan yang ada.


Adun Bangi yang diminta merasmikan Khidmat Masyarakat memuji pihak UNITEN dan Pelajar yang turun padang di Kampong Labu Lanjut. Pada pandangan Adun mereka penuh disiplin dan berinteraksi dengan penduduk dengan baik. Tentulah banyak pengalaman dari hubungan sosial hasil dari interaksi pelajar dengan JKKK dan penduduk setempat. Adun merasa terhibur dengan Sukan Rakyat, terutama acara tarik tali. Secara bergurau Adun berkata, ``Nampaknya orang Kampung lebih bertenaga dari pelajar,`` Tambah Adun, ``Kekalahan bukan kerana apa, ini ialah kerana pelajar-pelajar telah menghabiskan tenaga bergotong royong sejak 3 jam yang lepas, kalau tidak mungkin pelajar boleh menang tarik tali.``

Kata Adun, ``Tapi tak apa, nanti bila jamuan rakyat, kita makan kenyang-kenyang bagi mengembalikan tenaga yang hilang !``

Sebelum jamuan, penyampaian hadiah-hadiah dan cenderahati disampiakn oleh Tuan Penolong Pegawai Daerah, Encik Saifuddin dan Adun sendiri.


Sekian

No comments:

Post a Comment