July 19, 2011

Merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Dan Melawat Jalan Dari Projek ADUN Sedang Diturap

Desa Surada: 14 Sya`ban = 16 Julai (Sabtu):


Pagi ini menghadiri Mesyuarat Agung Persatuan Penduduk Desa Surada. Semasa tiba mesyuarat sedang berjalan bertempat di Dewan Orang Ramai berdekatan dengan Surau Al-Muhajirin. Kehadiran lebih kurang 30 orang termasuk Tuan Haji Ghazali Ketua Persatuan Penduduk, Saudara Shukor Atan Pengerusi Surau dan En. Jalil Wakil Pegawai Daerah. Adun dimaklumkan oleh YDP pihak Persatuan sekarang sedang memperjuangkan sebuah Tapak Rekreasi di Seksyen 8 yang akan didirikan sebuah Bangunan Serbaguna, tempat permainan kanak-kanak dan sebagainya.


Pihak Persatuan berterima kasih kepada Adun banyak memberi bantuan termasuk pembinaan Tempat Menunggu Kenderaan, Pondok Pengawal dan bantuan sukan dan rekreasi. Pengerusi menyifatkan hubungan Persatuan dengan Adun amat baik dan hubungan seperti ini perlu diteruskan.


Adun ketika berucap bagi perasmian mengucap terima kasih di atas jemputan dan mengucap tahniah kerana berjaya mengadakan Mesyuarat Tahunan. Sebagai sebuah NGO, peranan persatuan adalah penting sebagai saluran bagi semua rakyat yang tidak terlibat dalam politik menyampaikan aduan. Ahli persatuan bebas untuk memberi pandangan dan kritikan. Pihak Adun dengan hati terbuka menerima pandangan, cadangan dan kritikan. Persatuan hendaklah memberi tumpuan kepada kepentingan penduduk setempat dan wajar bekerjasama dengan badan-badan yang lain bagi kepentingan penduduk. Contohnya bekerjasama dengan pihak surau dan sebagainya.

Adun menyatakan bahawa Taman Desa Surada sesungguhnya jauh berubah dari keadaan dalam tahun 1980an dalam mana perumahan di sini hampir terbengkalai di bawah Pemaju Swasta – Rombas, bahkan hingga awal 2000 masih lagi kurang dari infrastruktur. Tetapi berkat kesungguhan penduduk dan pilihan Desa Surada berada di bawah Seksyen 8 Bandar Baru Bangi dan menerima khidmat MPKj, maka Surada yang dulu terasing dan tak ada jalan akses ke BBB, telah disambung dengan jalan dan segala kemudahan melempah ke Desa Surada. Ini tentunya berkat dari kerjasama penduduk dan persatuan dan institusi-institusi di Desa Surada. Pihak Adun akan terus memberi kerjasama bagi pembangunan dan keselesaan penduduk.


Adun juga memaklumkan Jalan dari Sungai Ramal Dalam ke Surada sedang dibaiki dan diturap dengan tar pada hari ini. Panjangnya lebihkurang satu km. Ini memudahkan penduduk keluar masuk ke Sungai Ramal Dalam. Kemudahan ini lebih terasa bagi Pusat Pengajian Tinggi Dar Al-Hikmah. Pembaikan dan penurapan jalan ini adalah dengan menggunakan sebahagian dari peruntukan RM satu juta Adun Bangi bagi membaiki jalan-jalan di DUN Bangi. Dengan siapnya penurapan jalan berkenaan memudahkan keluar masuk bagi penduduk sekitar, termasuklah penduduk Desa Surada.

Selepas Perasmian Adun bersama saudara Azizi bergerak ke Jalan ABIM Dar Al-Hikmah. Pada masa Adun tiba jalan dari Sungai Ramal Dalam ke hadapan Kampus Dar Al-Hikmah sedang progress diturap. Kontrektor bagi jalan ini adalah dari Syarikat Abadi. Cadangan awal dari Adun bagi membina dan membaiki Jalan Kampong Sungai Ramal Dalam ialah berjumlah sebanyak RM198,200/=. Jalan yang sedang dibaiki adalah sebahagian daripadanya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment