July 31, 2011

'AMAL' Adalah Menurut Prinsip Islam: TG Nik Abdul Aziz

Kompleks Sukan, Seksyen 15, BBB, 27 Sya`ban = 29 Julai (Jumaat):

"Penubuhan 'AMAL' sebagai Jabatan di bawah Pemuda Pas Malaysia adalah menurut prinsip Islam, baik dari segi Istilah, maupun dari segi praktik", demikian pendapat Tuan Guru Dato` Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan. Beliau berkata sedemikian ketika menyampaikan ceramah ringkas sempena Makan Malam anjuran Amal di sini malam ini. Dari segi istilah menurutnya banyak sekali istilah Amal terdapat di dalam Al-Qur`an. Contoh:

`Bahawasanya orang yang beriman dan BERAMAL salih (Maryam: 96)

Amal berasal dari akar kata `amila, ya`malu, Amal bermaksud beramal, bekerja dan berusaha.

Dari segi praktik bersungguh dengan bekerja memang dituntut oleh Islam. Nabi memuji:

`Sesungguhnya Allah menyukai seseorang yang apabila bekerja dia bekerja bersungguh – dengan tekun, dan hasil dari kesungguhan menghasilkan natijah yang baik’

Kata Tuan Guru, ``Selain dari ayat Qur`an, kita mengambil dari turath dan sejarah Islam bagi dijadikan contoh dan tauladan bagi tindakan. Misalnya Saydatina Khadijah Isteri Nabi seorang koperat yang berjaya di dalam perniagaan. Kita ambil nama Khadijah dan gunakan bagi pasar di Kota Bharu yang dulu dikenali sebagai Pasar Kubu Buluh kepada `Pasar Saidatina Khadijah !`

Jadi penubuhan Jabatan Amal di bawah Pemuda Pas bagi menjalankan kerja-kerja kebajikan, menolong mereka yang mengalami kemalangan dan kesusahan dan menjalankan khidmat kemasyarakatan adalah tugas-tugas mulia dan terpuji yang tidak bercanggah, bahkan digalakkan di dalam Islam. Sebab itu kita menyokong AMAL dengan berbagai aktiviti.

Tuan Guru menyebut, ``Kita di Kelantan mempraktikkan dari segi pemerintahan berdasarkan tiga prinsip, iaitu Ubudiyyah, Itqan dan Mas`uliyyah.

Konsep Ubudiyaah adalah prinsip pandangan Islam yang kita bekerja dan berkhidmat mematuhi kehendak Allah: Ini adalah berasaskan firman Allah bermaksud:

`Tidaklah Aku ciptakan manusia melainkan untuk menyembah/mematuhi perintah Aku (Al-Zariyat: 56).

Konsep Itqan kita terapkan ke dalam budaya kerja masyarakat orang Kelantan, khususnya orang-orang Islam supaya bekerja dengan dedikasi dan bersungguh-sungguh. Dengan bersungguh-sungguh insya Allah membuah penghasilan yang baik dalam apa jua bidang pekerjaan, pengusahaan dan sebarang pekerjaan yang dilakukan.

Konsep Mas`uliyat ialah kebertanggungjawaban atau accountability di dalam apa juga bidang diceburi. Kerja-kerja yang dilakukan hendaklah dilakukan dengan sukacita dan mesra serta dihizbah bagi mengelak dari kesilapan dan kecuaian. Dengan ini boleh mengelak dari pembaziran, kehilangan apalagi rasuah dan sebagainya. Tuan Guru memetik ayat Al-Qur`an bagi menyokong pendapatnya:

Kemudian kamu selagi akan dipersoalkan pada masa itu dari hasil amalan yang kamu lakukan (At-Takathur: 8).

Dengan berpandukan prinsip-prinsip ini kita dapat mengawal perjalanan pentadbiran. Dapat memupuk pekerja yang beramanah dan tertanggungjawab terhadap Allah. Dalam tugasnya pula selalu mengambil tindakan pro aktif dengan check dan balance, menilai pencapaian dan muhasabah dalam tindakan.

Sebelum dari itu Tuan Haji Mat Sabu Timbalan Presiden Pas mempersoalkan cara kita selama ini terikut-ikut dan mengagungkan barat dari kerja-kerja kebajikan seperti oleh Saint John, Pengakap yang diasas oleh Lord Badent Powel, kita umat Islam sepatutnya mengambil contoh dari sejarah dan turath Islam. Tokoh-tokoh seperti Asma`, Saidina Ali Umar Ibn Abdil Aziz dan banyak lagi. Beliau juga menyebut kehilangan sifat amanah dan bertanggungjawab di dalam masyarakat Islam, sebaliknya sifat-sifat sedemikian diamalkan oleh Barat. Beliau mau umat Islam mencontohi Gentleman Salahuddin Al-Ayubi terhadap Richard The Lion dalam peperangan Salib, lalu beliau menyindir terhadap polis berhubung dengan episode yang berlaku ke atas dirinya dalam tunjuk perasaan Bersih 9 Julai lalu. Polis tidak bersikap gentleman langsung berhubung kemalangan yang berlaku ke atas dirinya, bahkan memalsukan fakta. Kata Tuan Haji Mat Sabu, ``Aku dituduh berlakun. Kalau aku berlakun tentu aku tidak dibedah dilutut dan tentu aku tak datang ke sini pada malam ini berkaki tiga !`` (Beliau bertongkat).

Beliau juga menyentuh sikap bohong pemimpin Negara berhubung dengan tawaran terhadap Bersih, sanggup menahan peguam berhubung dengan Scorpion, kerana takut terbongkar rahsia.

Turut bercakap pada malam itu beberapa pemimpin Amal seperti saudara Johari Othman, saudara Suhaizan Kayat dan Adun Bangi sebagai Tuan Rumah yang mengalu-ngalukan kehadiran semua pihak dan berterima kasih kerana memilih Bangi sebagai tempat Sambutan Dua Dekad Amal.

Sekian.

No comments:

Post a Comment