June 14, 2011

Tahniah YB Dr. Rani Osman Kerana Menerima Amanah Dan Tanggungjawab Selaku Pesuruhjaya PAS Selangor

BBB, 11 Rajab = 13 Jun (Isnin):


Berikutan dari Muktamar Pas ke 57 pada 3-5 Jun lepas di Melewer dan pemilihan, maka ianya diikuti dengan perlantikan-perlantikan bagi mengisi jawatan-jawatan pada peringkat Pusat dan jawatan Pesuruhjaya pada peringkat negeri. Pemilihan pada tahun ini banyak menonjolkan perubahan. Perwakilan mau saf kepimpinan yang mantap bagi menghadapi pilihanraya ke 13. Selari dengan perubahan yang berlaku pada saf kepimpinan peringkat pusat, maka Presiden sebagaimana diperuntukkan dalam perlembagaan diberi kuasa melantik pesuruhjaya-pesuruhjaya negeri, maka selari dengan kemahuan perwakilan yang maukan perubahan, maka pada kali ini lima pesuruhjaya baru dilantik menggantikan pesuruhjaya yang lama. Fokus tulisan ini pada perlantikan Pesuruhjaya baru YB Dr. Abd. Rani bin Osman Adun Meru menggantikan YB Dato` Dr. Hasan bin Mohamed Ali.


YB. Dr Rani seorang lulusan perubatan dari Mesir terkenal seorang yang aktif dalam Yayasan Amal Malaysia. Di mana saja berlaku banjir, gempa atau sebarang bencana alam di sana beliau berada bersama rombongannya membantu orang yang malang, terutama dari segi perubatan dan kebajikan. Beliau juga adalah Ketua Back Bencher di Dewan Negeri Selangor. Perlantikannya adalah sesuai dan kita berpendapat beliau mampu menjalankan tugas – insya Allah dengan baik. Bagi menjalankan tugasnya beliau berdepan dengan beberapa alternatif dan beliau boleh menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepadanya.


Dengan perlantikannya bererti Jawatankuasa pada peringkat negeri sebagaimana jawatankuasa pada peringkat Pusat terbubar dengan sendirinya. Adakah Dr. Rani akan mengubah dan menukar semua AJK yang lama dengan AJK yang baru ? Kita percaya Dr. Rani tidak hanya menerima perlantikan dan terus menggerakkan AJK perhubungan Negeri yang lama. Jika demikian tidak banyak perubahan sebagaimana yang lama dan tidak mampu membawa perubahan baru bagi membina imej dan identiti pentadbiran peringkat negeri di bawah Pesuruhjaya yang baru. Kita berpendapat perlu dilakukan perubahan menurut keperluan.


Dalam kata yang lain perubahan bukan secara total, tetapi penggantian yang baru perlu dilakukan terutama bagi jawatan-jawatan penting yang selama ini tidak dijalankan dengan baik oleh penyandangnya. Sebaik-baiknya dirunding dengan penasihat dan mereka yang mampu memberi pandangan dan kritikan. Jawatan-jawatan penting di dalam perhubungan negeri hendaklah diberi kepada mereka yang betul-betul mampu menjalankan tugas.. Seboleh-bolehnya semua AJK Perhubungan negeri diberi tugas membantu fortfolio-fortfolio yang wujud atau diwujudkan bagi memaksimumkan tenaga dan kepakaran sehingga setiap orang merasa ada komitmen yang dipertanggungjawabkan.

Dr. Rani akan berdepan dengan jawatan-jawatan di dalam kerajaan negeri yang dilantik. Memang Pesuruhjaya ada hak mencadangkan perubahan misalnya bagi ahli-ahli Exco dari Pas dan lantikan-lantikan dari kerajaan negeri. Kita berpendapat perubahan drastik tidak boleh dilakukan, kerana akan mengganggu pentadbiran yang sedang berjalan, kecuali jika difikirkan jawatan berkenaan perlu dirtukar segera, kerana maslahah dan kepentingan tertentu. Pokoknya dalam masa suasana pilihanraya mendekat, konsentrasi hendaklah ditumpukan kepada pilihanraya dan jangan ada sesuatu yang memudaratkan suasana yang mengganggu perjalanan parti dan kerajaan.


Puncak dari harapan kepada Pesuruhjaya yang baru dilantik, ialah memacu negeri di dalam pilihanraya yang ke 13. Negeri Selangor memang sudah ditawan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi dengan perlantikan Pesuruhjaya yang baru diharap dapat memacu jentera Parti Pas bersama Pakatan ke arah kemenangan yang lebih tinggi, bukan sebaliknya.. Apa pun Pesuruhjaya lama di bawah YB Dato` Dr. Hasan Ali seorang yang berjasa, fikiran dan pandangannya perlu dirujuk, bahawa beliau membawa banyak kejayaan bagi zamannya. Pada zamannya Pas mulai menang dengan lima kerusi (1999-2004) dan menang 2008 dengan lapan kerusi hingga dapat membentuk Kerajaan Pakatan. Kita berharap pada era Dr. Rani Pas akan memenangi lebih banyak kerusi dan lebih kukuh dalam pemerintahan negeri dan jangan sekali-kali menjadi sebaliknya. Beliau perlu memperkukuhkan parti dan memperkasakan penerangan yang kini pihak musuh sedang menyerang berhubung dengan pendekatan baru Pas ke arah membentuk Negara Islam melalui pendekatan Negara Berkebajikan itu.

Satu tugas yang besar bagi Dr. Rani ialah usaha pihak Pas membeli sebuah bangunan bagi Pas negeri, bahkan sudah dibeli dan telah mula digunakan, tetapi kos bangunan sebanyak RM1.3 juta itu memerlukan usaha yang berterusan bagi menghimpun dana bagi melunaskan harga bangunan berkenaan.


Kita percaya dengan perlantikan Pesuruhjaya Pas negeri Selangor yang baru dan berkat dengan kerja berpasukan, insya Allah Pas di Selangor terus berkembang maju dan mencapai banyak kejayaan – Insya Allah.

Selamat bertugas – Barakallahu lakum.

No comments:

Post a Comment