June 21, 2011

Merasmikan Penutup Kursus Asas Haji Di Dua Masjid Di DUN Bangi

Sungai Ramal Luar & BBB, 16 Rajab = 18 Jun (Sabtu):


Pagi ini Adun Bangi mempunyai dua program berturut-turut merasmikan Majlis Penutup Kursus Haji di Masjid Berkembar Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar dan berikutnya di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi. Jam 9.30 pagi diiringi saudara Azizi, Adun tiba di Masjid Haji Mat Saman yang bersejarah sebagaimana dikehendaki. Bersama dalam Majlis Penutup di sini ialah Tuan Haji Nik Pa Nik Leh Nazir Masjid Haji Mat Saman, Tuan Haji Mohd. Yusof bin Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Tuan Haji Salihin bin Safwan Guru dan Pembimbing bagi kursus Haji masjid di sini, saudara Fuad AJK Masjid dan kemudian turut sama hadir Tuan Haji Ahmad Johan bin Mohd Noh Pengurus Tabung Haji Daerah Hulu Langat serta mereka yang mengikuti kursus lelaki dan perempuan. Semasa kami tiba Ustaz Salihin sedang menerangkan perbezaan antara Haji Tamattu`, Ifrad dan Qiran, diikuti sebahagian dari peserta kursus menjalani praktikal bertawaf.

Perasmian penutup bermula dengan ucapan disampaikan oleh Tuan Haji Mohd Yusof bin Abdul Kadir yang mengucap terima kasih di atas kehadiran Adun dan memaklumkan bahawa ini adalah pertama kali Masjid Haji Mat Saman mengendalikan kursus Haji dengan kerjasama pihak Tabung Haji yang jumlah peserta 80 orang. Menurut Tuan Haji Mohd Yusof kursus berlangsung pada setiap Sabtu mulai pada 26 Februari 2011 dan berterusan hingga hari terakhir hari ini (18 Jun 2011). Jumlah kursus adalah sebanyak 17 siri (minggu). Menurut Tuan Haji Mohd Yusof, kursus sedemikian akan diteruskan pada masa akan datang bersifat tahunan dan lebih merupakan khidmat kepada masyarakat.

Tuan Haji Ahmad Johan yang tiba lewat juga dijemput berucap dan memaklumkan bahawa beliau baru pulang dari Umrah dan menerangkan kemudahan di Makkah yang disediakan oleh Tabung Haji. Menurutnya sebahagian dari tawaran menunaikan Haji telah dkeluarkan. Pihak Tabung Haji sedang menunggu jawapan bagi penyelarasan seterusnya.

Adun Bangi mengucapkan tahniah kepada para peserta yang menerima tawaran menunaikan Haji dan mengucapkan terima kasih di atas bimbingan yang diberi oleh Ustaz Salihin dan berharap peserta dapat memahami kursus-kursus asas yang telah disampaikan. Adun berharap peserta tidak memada dengan kursus yang diterima. Dengan masa yang masih ada – lebih kurang 4 bulan lagi hendaklah digunakan masa ini bagi menambah pengetahuan bagi lebih menyempurnakan amalan. Tiap seorang hendaklah menanam azam bagi menyempurkan Haji sebaik mungkin.
Selepas perasmian Kursus Haji di Masjid Haji Mat Saman, Sungai Ramal Luar, Adun bergerak ke Masjid Al-Hasanah yang dijadualkan Adun berada di sana bagi Majlis Penuntup Kursus Asas Haji ialah jam 11.30 tengahari. Hadir sama di Masjid Al-Hasanah ialah Tuan Haji Ahmad Johan yang turut bergerak ke sini selepas Majlis Penutup Kursus Asas Haji di Sungai Ramal, turut sama Profesor Madya Dr.Muhammad Najib bin Abdul Kadir, Ketua Jabatan Al-Qur`an dan Sunnah UKM yang juga sebagai pembimbing kursus Haji pada kali ini. Hadir sama ialah Tuan Haji Hanafiah Shar`rani, Nazir Masjid Al-Hasanah, selaku Tuan Rumah.

Majlis Penutup bermula dengan ucapan Tuan Haji Hanafiah, beliau mengalu-ngalu para hadirin. Menurutnya kursus berjalan selama 17 siri/minggu menurut program yang disusun oleh Tabung Haji, iaitu bermula dari 26 Februari 2011 hingga hari ini. Beliau juga berterima kasih kepada Dr. Muhammad Najib kerana sudi datang menyampaikan kuliah. Menurut Tuan Haji Hanafiah Nazir Masjid pada tahun ini peserta adalah ramai, iaitu 800 orang dan kedudukan Kewangan adalah baik (dibentang oleh Setiausaha Tuan Haji Kamaruddin). Beliau meminta maaf jika ada kekurangan semasa mengikuti kursus. Tuan Haji Ahmad Johan yang dijemput berucap memaklumkan serama 1,200 telah ditawarkan untuk menunaikan Haji dan jawapan daripada mereka ditunggu sama ada menolak atau menerima untuk dibuka tawaran seterusnya. Beliau menyebut beberapa kediaman yang telah disewakan oleh Tabung Haji di Makkah dan juga di Madinah. Menurutnya semua tempat adalah selesa dan berdekatan dengan Masjid.

Adun Bangi yang berucap bagi Majlis Penutup mengucap tahniah kepada yang menerima tawaran pada tahun ini. Adun menyifatkan mereka sebagai Duta bagi Hulu Langat, bahkan bagi Negara. Sebagai Duta beliau mengharapkan semua pihak semasa di Tanah Suci berkelakuan baik. Selama ini jamaah Haji dari Malaysia terkenal berdisiplin dan beliau berharap imej ini terus dipertahankan, bahkan dipertingkatkan. Adun meminta dari pengikut kursus semasa menunaikan Haji meningkatkan amalan dan sentuhan kerohanian hingga ibadat meningkat keperingkat ke khusyukan yang tinggi. Beliau berharap dengan menunaikan Haji kefahaman tentang Islam lebih mendalam kerana berdepan dengan kesan-kesan perjuangan Rasulullah yang dapat disaksi sendiri sama ada semasa di Makkah dan juga Madinah. Dengan ini makin mengukuh keimanan dan keyakinan – Insya Allah. Beliau berdoa kepada Allah semua jamaah diberi Allah kesihatan yang baik dan dapat menunaikan fardu Haji dengan sempurna dan diterima amalan Haji sebagai Haji Mabrur – Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment