June 15, 2011

Mengenangi 10 Tahun Surau Al-Hidayah

Taman Bukit Kajang Baru, 09 Rajab = 11 Jun (Sabtu):

Pagi ini Adun dijemput merasmikan Sambutan 10 Tahun Surau Al-Hidayah, Taman Bukit Kajang Baru, Kajang. Adun tertarik untuk hadir, kerana agak jarang masjid atau surau mengadakan sambutan ulang tahun didirikan. Adun hadir pada jam 9.30 pagi sebagaimana dikehendaki, disambut oleh Yang Berbahagia Dr. Farid Mohd Onn Pengerusi Jawatankuasa Surau (Bekas Profesor Linguistik UKM), Tuan Haji Wan Johari, Tuan Haji Hatim dan Tuan Haji Salleh Yusof, mereka dari kalangan pengasas surau, Ustaz Fazli, Ustaz Saim, Tuan Haji Rashid, saudara Wan Zawawi, para jamaah dan penduduk lelaki, perempuan dan anak-anak.

Pada masa kesampaian Adun beberapa acara telah berjalan seperti jogging dari kalangan lelaki dan veteran, peraduan menganyam ketupat bagi wanita dan peraduan melukis bagi anak-anak. Perasmian Sambutan 10 tahun Surau Al-Hidayah bermula dengan ucapan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Surau, Dr. Farid yang berterima kasih di atas kehadiran Adun. Menurut Dr. Farid, surau Al-Hidayah mulai dibina pada tahun 1997 di atas tanah memang digezetkan untuk surau, luasnya lebih kurang 2 ekar dengan kos RM600 ribu dan mulai digunakan pada tahun 2000. Surau ini ditingkatkan tarafnya sebagai surau mendirikan Jumaat mulai dari 2 Jun 2006. Menurut Dr. Farid, pada peringkat awal pada 1980an penduduk di sini menggunakan surau di Kajang Utama, tetapi apabila SILK membina jalan yang memecahkan kawasan Kajang Utama dengan Taman Bukit Kajang Baru dan untuk pergi terpaksa berkeliling 6 batu, maka timbullah hasrat mau mendirikan surau di sini. Surau Taman Bukit Kajang Baru digunakan oleh 5 taman sekelilingnya yang jumlah penghuni Islam sebanyak 500 keluarga. Taman-taman dimaksudkan ialah Taman Kajang Jaya, Taman Bukit, Kajang Baru, Taman Bukit Permai dan Taman Kajang Sentral.

Dalam ucapan perasmian, Adun berterima kasih di atas jemputan. Menurut Adun mengingati 10 tahun Surau Al-Hidayah adalah perkara yang baik, ianya sebagai sirah bagi Surau atau penduduk. Dengan sambutan, program diadakan dan banyak sejarah yang berhubung dengan surau dapat diketahui yang selama ini tidak diketahui. Dengan sambutan dapat mengeratkan hubungan ukhuwwah dan memperkukuhkan silaturrahim. Di surau juga dapat diadakan berbagai kegiatan keilmuan, boleh diadakan berbagai kegiatan kemasyarakatan sebagaimana sedang dijalankan. Kelas tuisyen dan bimbingan juga diadakan, Dengan berbagai kegiatan diharap dapat menarik minat masyarakat setempat untuk menghadiri kelas-kelas ilmu, bahkan bagi setengah orang menjadikan surau dan masjid sebagai rumah kedua. Adun memaklumkan bahawa pihak kerajaan negeri Selangor amat prihatin dengan pendidikan Islam. Sejumlah besar peruntukan diberi untuk agama, termasuk pembinaan masjid-Surau dan pengajian agama. Kita bersyukur kata kepada Allah, kata Adun perkembangan agama Islam dan pertambahan surau-masjid berlaku di Dun Bangi (105 buah). Lantaran itu identiti keislaman begitu ketara di Bangi. Kita beri galakan bagi berbagai kegiatan keislaman di Bangi. Adun mengucap syabas kepada AJK sambutan yang bekerja bertungkus lumus bagi menjayakan sambutan.

Berikut dari perasmian Adun diminta menandatangani pada plak sebagai perasmian, Adun juga diminta menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang, cenderahati kepada mereka yang berkenaan, juga menyampaikan bantuan kepada kalangan faqir dan miskin. Selepas itu Adun melawat pameran yang menggalurkan sejarah surau di Taman Bukit Kajang Baru bermula dengan menggunakan rumah yang dibenarkan oleh pemiliknya bagi kegunaan sebagai surau (dua buah rumah) hinggalah kepada pembinaan Surau Al-Hidayah. Pameran juga merakamkan kenangan kalangan mereka yang terlibat membangunkan surau dari peringkat awal.

Sekian.

No comments:

Post a Comment