May 7, 2011

YAB Dato` Menteri Besar Selangor Dan Exco Melawat Daerah Hulu Langat

BBB, 02 Jamadil Akhir = 05 Mei (Jumaat):


Pagi ini bertempat di halaman Pejabat Daerah Hulu Langat, BBB, YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor diiringi Exco-Exco YB Dr. Xavier, YB Iskandar dan YB Ronnie Liu. Turut sama Tuan Speaker Datuk Teng Chang Khim, Datuk Khusrin Munawi Setiausaha Kerajaan Negeri, YB Azmin ADUN Bukit Antarabangsa, YB Dr. Shafie Abu Bakar ADUN Bangi, YB En. Lee Kim Sin ADUN Kajang, YB Tuan Khasim ADUN Lembah Jaya, Pegawai-Pegawai Daerah YDP-YDP Majlis Tempatan, Ahli-Ahli Majlis, Penghulu-Penghulu, Ketua-Ketua Kampong dan pegawai-pegawai Kerajaan.


Dalam ucaputama sebagai pembukaan bagi lawatanya YAB Dato` Menteri Besar bermula dengan menjawab rungutan Pegawai Daerah Hulu Langat yang baru Tuan Haris bin Kassim tentang ketiadaan Dewan Besar yang selama ini dipohon oleh ADUN Bangi melalui berbagai mesyuarat dan pertemuan, bahkan beberapa kali dibangkit di Dewan Negeri Selangor, ketiadaan Dewan menyebabkan bagi mengadakan majlis terpaksa didirikan khemah di padang seperti majlis pada pagi ini. YAB prihatin dengan masalah dan bersetuju memberi perhatian. YAB menyentuh tentang kutipan cukai di negeri Selangor tak lebih dari RM400 juta, tetapi perbelanjaan adalah sebanyak RM700 juta. Menurutnya kita tidak penting untung rugi – kurang RM300 juta, tapi yang kita pentingkan ialah perkhidmatan yang baik. Dengan perkhidmatan baik kita mendapat pulangan yang baik dari berbagai pihak yang mendapat perkhidmatan yang baik dari kita.


YAB menyentuh hasil dari perkhidmatan baik memberi pulangan pendapatan kasar negeri RM100 bilion dan kita memberi sumbangan hasil Negara sebanyak RM25 bilion. Namun Kerajaan Persekutuan memberi balik kepada kerajaan negeri Selangor tidak setempal hanya 2% sahaja. Kerajaan negeri menurutnya mementingkan ketelusan yang maklumat boleh didapati rakyat. Kerajaan juga merakyatkan ekonomi negeri Selangor serta melicinkan pentadbiran. Contoh kalau dulu bila berurusan dengan Pejabat Daerah berhubung dengan tanah memakan masa untuk pencarian fail, kini maklumat dikomputerisekan dengan memasukkan 1.5 juta data mengenai tanah dan maklumat boleh didapati melalui hujung jari. Dengan ini urusan dapat dilakukan secara `pejabat bergerak`


Selangor menurutnya berusaha mencapai prestasi tertinggi dalam memberi khidmat kepada rakyat bukan menandingi Johor, negeri Sembilan dan negeri-negeri lain, tetapi kita mau menandingi negera-negara luar seperti Singapura, Hong Kong, London, Tokyo. Berhubung dengan kebajikan kita telah mengemaskinikan maklumat mengenai warga mas yang kini sudah berjumlah 260,000 orang dan kita merangka kebajikan kepada mereka bukan setakat selepas kematian, tetapi satu mekanisme baru disusun untuk memberi bantuan kepada mereka sebelum meninggal. YAB juga memaklumkan Kerajaan negeri mempercepatkan kelulusan permohonan tanah yang tertonggak sejak begitu lama. Kita telah luluskan banyak permohonan tanah sedemikian. Berhubung dengan bayaran premium yang tinggi, oleh kerana tanah itu mempunyai nilai yang tinggi, tentulah premium tinggi, tetapi kita sedang berusaha bagi mengatasi masalah premium dengan menyekat tanah itu dari dijual dan kiranya dijual, maka premium yang lebih tinggi dikenakan dari jualanm yang dibuat. Berhubung dengan MRT melalui Hulu Langat akan dipertimbangkan laluan yang tidak begitu memberi kesan kepada pemilik hartanah. Berhubung dengan pembangunan Greater Kuala Lumpur dan penyaluran air dari Pahang ke Hulu Langat, kita akan pastikan perkara terbaik untuk penduduk Hulu Langat, walau bagaimana hasil dari Greater Kuala Lumpur dan Klang Valley Hulu Langat akan menerima faedah RM15,000 juta.


Sebelum dari itu ketika mengalu-ngalukan lawatan YAB Menteri Besar dan Exco Tuan Pegawai Daerah Hulu Langat Tuan Haris bin Kassim memaklumkan tentang ketiadaan Dewan sebagaimana disebutkan. Beliau juga memaklumkan bahawa Hulu Langat adalah Daerah Ke lima besar di Selangor dengan keluasan 82,344 hektar dengan penduduk seramai 1.2 juta. Kini Hulu Langat mempunyai 7 mukim, 61 kampong. 12 daripadanya kampong Cina, 4 India dan 8 orang asli. Hulu Langat mempunyai 4 parlimen dengan 9 DUN. Di Hulu Langat terdapat 23 Jabatan Kerajaan Negeri dan 32 Jabatan Kerajaan Persekutuan. Terdapat 10 badan Berkanun. Di Hulu Langat terdapat sebanyak 1.000 kakitangan pekerja kerajaan.


Dari segi khidmat En. Haris memaklumkan kini proses pindah milik dapat dipercepatkan kepada satu hari dan bagi orang kurang upaya hanya satu jam. Di Pejabat Daerah kalau dulu dibuka 3 kaunter kini menjadi 12 kaunter. Mngenai kutipan hasil:

2010 sebanyak 132.5 juta

2011 ¼ tahun 60.4 juta


Pindah milik di Pejabat Daerah Hulu Langat antara 2008 hingga 2010 ialah sebanyak 1,076 hak milik dilakukan. Bagi Projek Luar Bandar sebanyak 64 projek diluluskan dengan peruntukan sebanyak 1.5 juta. Bagi projek perumahan sebanyak 142 projek diluluskan dengan kos RM11.2 juta. Dari segi poentadbiran terdapat 179 pegawai tetap dan masih kekurangan seramai 17 kakitangan.


Bagi keselesaan selain dari perlu kepada Dewan, Pejabat Daerah Hulu Langat ketiadaan lift. Ini menyukarkan OKU dan warga mas untuk turun naik ke tingkat atas untuk berurusan. Sebab itu perlu dipasangkan lif. Satu yang ketara Hulu Langat berjiran dengan Putra Jaya, tetapi dari segi kemudahan, infrastruktur dan berbagai perkhidmatan Hulu Langat jauh ketinggalan berbanding dengan Putrajaya. Adalah diharapkan pembangunan, perkhidmatan dan kemudahan dapat dipertingkatkan, jika tidak sama dengan Putrajaya, sekurang-kurangnya tidak begitu jauh perbezaan.


Selepas perhimpunan di Padang Pejabat Daerah YAB Dato` Menteri Besar dan Exco meneruskan program turun padang berdialog antara Pegawai Kerajaan dengan EXCO di Dewan MPKj, Kajang,, Bersembahyang Jumaat di Masjid Raja Alang, Beranang, Perjumpaan dan penyampaian sumbangan kepada rakyat di Dewan Orang Ramai di Semenyih, Lawatan ke Kilang Satay Dato` Haji Samurio di Sungai Ramal Dalam dan pada malamnya Ceramah Perdana Agenda Negeri Selangor di Dewan Bandaran MPKj, Kajang.


Sekian.

No comments:

Post a Comment