May 27, 2011

Pemberita Akhbar Sinar Diminta Keluar Dari Mesyuarat Penuh MPKj ?

MPKj, 23 Jamadil Akhir = 27 Mei (Jumaat):

Sebaik MPKj memulai mesyuarat penuhnya Bil 05/2011 pagi ini Ahli MPKj dari Dusun Tua saudara Mohd Sany bin Hamzan mengemukakan usul kepada YDP Dato` Hasan Nawawi agar Pemeberita Akhbar Sinar yang hadir bersama-sama Pemberita akhbar-akhbar yang lain pada pagi ini diminta keluar dari Mesyuarat dengan alasan pemberita berkenaan bias.

Menurutnya dalam program gotong royong yang diadakan di tempatnya pemberita berkenaan tidak merujuk maklumat kepadanya yang mengadakan program berkenaan, sebaliknya orang yang tidak berkenaan dari parti pembangkang diambil maklumat. Beliau membuat aduan ke pengarang pusat di Shah Alam, barulah beliau dirujuk. Tetapi usul Mohd Sany dijawab oleh Chandra Mohan ahli majlis yang lain, bahawa mesyuarat MPKj bersifat terbuka dan boleh dihadiri oleh sesiapa. Tidak membenarkan pemberita berkenaan hadir adalah bercanggah dengan clause (35) Peraturan MPKj.

Saudara Tuan Haji Mazwan Johar seorang Ahli MPKj dari Bangi yang juga seorang Peguam, menghujah, jika YDP berpendapat jika kehadiran pemberita berkenaan tidak menyenangkan MPKj, kerana laporan tidak tepat, menyeleweng serta berat sebelah, maka YDP atas kepentingan MPKj boleh menghalang pemberita berkenaan dari hadir. Apa yang diambil boleh dianggap sebagai tindakan disiplin.

Selepas ramai memberi pendapat, pihak Ahli-Ahli MPKj bersetuju,oleh kerana cadangan seperti in pertama kali berlaku di MPKj, maka isu yang ditimbulkan pada hari ini adalah sebagai ingatan bukan saja kepada Akhbar Sinar, tetapi bagi akhbar-akhbar yang lain. Pemberitaan hendaklah bersifat adil dan tidak berpihak dan bias. Kawasan MPKj adalah kawasan berdaulat. Sebarang isu yang berhubung dengan MPKj hendaklah dirujuk kepada MPKj dan bukan dari sumber yang lain. Dengan keprihatinan semua pihak diharap insiden seumpama ini tidak berlaku lagi seperti hari ini. Sidang berlangsung dan pemberita berkenaan tidak keluar.

Sekian.

No comments:

Post a Comment