May 30, 2011

Indah & Agungnya Setia & Kasih Sayang!

Anekdot (30.5.2011)

Dia seorang anak muda terkenal dengan Setia di kawasannya. Bekerja di sebuah institusi pengajian tinggi sebagai pegawai biasa. Setianya terserlah dengan kesetiaannya terhadap kerja. Selain dari kerja rasminya, dia diberi amanah sebagai setiausaha surau ditempatnya, bahkan juga diberi amanah mengetuai cawangan bagi parti di kawasannya.

Dia sangat setia kepada kedua ibu-bapanya dengan mengirim nafkah bantuan setiap bulan ke kampong, tetapi bila mereka uzur, maka kedua ibu bapanya di Perak dibawa tinggal bersama di Bangi. Anak setia ini menjaga kedua ibu bapanya dengan penuh kasih sayang dan mengabaikan dirinya dari berkahwin. Dalam masa jagaannya bapanya meninggal 24 September 2010 dalam usia 88 tahun. Dia terus menjaga ibunya dan turut dibantu adik dan iparnya yang tinggal di level bawah rumah pangsanya.

Betapa setianya, maka pada pagi Sabtu 28.5.2011 dia membahagi setianya. Pertama pada ibunya yang kelihatan uzur oleh ketuaan (82) dengan mengelap tubuhnya dan menyuap makan pagi dan meminta adiknya dari tingkat bawah menjenguk ibunya. Pada pagi itu dia memaklumkan kepada ibunya untuk keluar untuk membeli cat bagi kerja gotong royong mengecat surau yang dia setiausaha surau berkenaan. Selepas membeli cat dia membahagi lagi kesetiaannya dengan pergi menggabung diri bersama dengan pasukan Lajnah Kebajikan bersama Adun menziarah pesakit di West Country dan Taman Sentosa. Semasa di Taman Sentosa berita mengejut diterima ibunya meninggal. Dia bergegas pulang dan kami dan serombongan Lajnah menurutinya pulang menziarah, membaca Yasin dan tahlil beramai-ramai. Sesudah tahlil semasa mau turun ke bawah Adun terserempak dengan ipar lelakinya. Adun berkata,

``Abang anda telah melengkapkan kesetiaan pada bapa dan ibunya dengan menjaga mereka dengan penuh kasih sayang dan kini keduanya pulang di dalam rahmat Allah, kini anda kena lengkapkan abang anda pula !`` Dia kurang faham dan menjawab (tak tepat dengan maksud dikehendali).
``Dulu analah yang memaksa dia (abang) membeli rumah yang disewa di atas, bagi melengkap dan memudahkan sebelum membawa kedua ibu bapa ke sini.``
Kata Adun, ``O.K, Jika anda dapat memaksanya membeli rumah di atas, maka lebih besar ertinya, jika anda berusaha mencarinya teman yang dapat menjaganya pula, sebagaimana dia menjaga ibu bapanya.``

Dia faham serta senyum dan menjawab, ``Insya Allah kami akan mengusahakan.``
Petang itu Adun datang ke surau yang bakal dicat secara gotong royong, sebelum sedikit waktu asar untuk menyertai sembahyang jenazah bagi ibu yang meninggal. Selepas itu Adun turut mengiringi jenazah ke perkuburan baru di Sungai Tangkas. Selesai pengkebumian, talqin, tahlil, doa dan keluarga menyiram air mawar di atas kuburan, Adun mendekati si Anak Setia, sekali lagi mengucap takziah dan mau memohon diri dan bertanya, ``Mana kubur ayah anda ? (Meninggal lebih kurang setengah tahun mendahului ibunya). Dia menunjukkan arah dan berkata, ``Semasa ibu saya datang mengiringi jenazah bapa dulu, arwah berkata,
``Cantik kubur-kubur di sini tersusun. Ibu juga kalau dapat bila meninggal mau juga dikuburkan di sini !`` . Al-hamdulillah Allah mengkabulkan hasrat ibu anda ! Tapi, Adun menambah, ``Anda perlu melengkapkan diri anda dengan mencari seorang yang dapat memberi perhatian terhadap anda, sebagaimana anda memberi perhatian terhadap ibu anda dan kiranya anda meninggal, dia juga sebagaimana ibu anda, mau turut dikuburkan di sisi anda ! Insya Allah`` Tepegun dia mendengar nasihat dariku !

Dan Adun sekali lagi dengan semua episod di atas bertembung dengan kesetiaan dan keagungan kasih sayang ! Dan tertunduk tafakkur dengan sentuhan rasa dan terbetik dalam hati kecil, ``Kalaulah kehidupan dipenuhi kesetiaan dan dilempahi kasih sayang, nescaya hidup kita ditepui bahagia dan mesra berpanjangan!``
(Pagi ini di Dewan Sekolah Kafa Integrasi, Surau Istiqamah dia kembali menabur setianya sebagai Pengarah mengendalikan Hari Kesihatan untuk penduduk rumah pangsa kawasannya !).

Sekian.

No comments:

Post a Comment