April 2, 2011

Jalan MRT Sungai Buloh - Kajang: Soalan Dalam Dewan Negeri

(Pertanyaan Mulut Kedua Adun Bangi Dijawab Dalam Dewan Negeri)

Dewan Negeri Selangor, 26 Rabiul Akhir = 31 Mac (Khamis):


Soalan kedua dari 10 soalan yang dikemukakan oleh Adun Bangi bagi Sidang kali ini (28 – 31 Mac & 1 April, 2011) dijawab oleh Y.A.B Dato` Menteri Besar Selangor di dalam sesi pertanyaan-pertanyaan. Soalan yang dikemukakan oleh Adun Bangi adalah sebagaimana berikut:


Tajuk: Jalan MRT Sg. Buloh – Kajang

Jalan MRT akan dibina antara Sungai Buloh ke Kajang.

Bertanya kepada Y.A.B. Dato` Menteri Besar.

a) Sejauhmanakah kerjasama diberi oleh kerajaan Negeri Selangor terhadap projek Kerajaan Persekutuan ini ?

b) Berapakah jumlah kewangan yang terlibat dengan pengambilan tanah milik negeri dan individu ?

c) Apakah kemudahan-kemudahan yang akan dinikmati pengguna perkhidmatan jalan MRT berkenaan ?

Jawapan:

a) Kerajaan Negeri Selangor memberi kerjasama terhadap projek MRT Kerajaan Persekutuan kerana ia adalah projek bagi mengatasi kesesakan yang melibatkan kawasan negeri Selangor. Pihak kerajaan turut dirundingi dan diberi taklimat. Projek akan melibatkan penggunaan dan pengambilan tanah Negeri dan kemungkinan milik individu. Perkara ini perlu kepada perbincangan dan rundingan.

b) Jumlah kewangan belum diketahui dengan tepat. Tetapi tentulah memerlukan kewangan berpuluh bilion ringgit. Cadangan pembinaan melibatkan penggunaan permukaan jalan dan juga bawah tanah. Pembinaan bawah tanah akan melibatkan kos 5 – 7 kali ganda lebih tinggi. Ini tidak termasuk dari segi pampasan.

c) Dapat mengurangkan kesesakan jalanraya dan memudahkan pengguna ke destinasi berkaitan. MRT dijangka diguna oleh 94,000 pengguna di jalan berkenaan dan memberiu peluang pekerjaan kepada 9,000 pekerja. Penggunaan LRT lebih murah dari menggunakan kereta dan kemudahan pengangkutan yang lain.


Adun Bangi mengemukakan soalan tambahan berikut dari jawapan yang diberi oleh Dato` Menteri Besar:

Terdapat bantahan rakyat terutama pemilik tanah, bangunan rumah dan bangunan komersil terhadap pembinaan MRT.


Jawapan: Pembinaan cuba mengelak dari melibatkan tanah dan premis awam. Jika, perlu diambil, tawaran pampasan akan diberi. Jika pemilik hartanah tidak berpuashati mereka boleh membawa kes berkenaan ke mahkamah. Bagi mengatasi pengambilan, maka alternative ialah pembinaan secara bawah tanah. Dalam keadaan sekarang kerajaan cuba mengelak dari berlakunya spekulasi hartanah. Seperti pemilik menjual untuk elak kerugian bagi penjual dan pembelitidak tahu dan turut rugi. Atau ada yang mengambil kesemptan - pemilik membuat binaan di atas tanah untuk membuat tuntutan dan sebagainya.

Turut membuat soalan tambahan Adun Kajang Y.B. En. Lee Kim Sin yang menyebut projek melibatkan 30 buah kedai di Pekan Kajang dan tanah-tanah individu dan mereka membantah pembinaan dan mengharapkan dialih ke laluan ke jalan yang tidak banyak risiko pengambilan. Menurut Y.A.B. Dato` Menteri Besar, usaha mengelak dan mengurangkan pengambilan tanah dan bangunan awam akan dilakukan.


Adun Seri Setia Y.B. Nik Nazmi bin Nik Ahmad, mempersoalkan mengapa diberi hak pembinaan kepada GAMUDA tanpa melalui tender. Beliau bimbang ada elemen kroni dan tindakan memboldoz dan berlaku ketidakadilan terhadap pemilik hartanah yang terlibat.


Menurut Y.A.B. Dato` Menteri Besar, GAMUDA bukan hanya satu-satunya syarikat yang diberi peluang. Kemungkinan dibuka bagi yang lain. Pembinaan jalan bukan atas pertimbangan komersil, tetapi lebih memberi peluang kemudahan pengangkutan, keselesaan dan mengurangkan kesesakan.


Sekian.

No comments:

Post a Comment